Thursday, September 19, 2013

Industri Pelancongan Kesihatan Di Malaysia


Industri pelancongan kesihatan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kini. Fenomena ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat global dan mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah memajukan industri pelancongan kesihatan di Malaysia.


Sebagaimana yang kita sedari, industri pelancongan memainkan peranan yang semakin penting dan dominan sebagai nadi ekonomi dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan memangkinkan pembangunan di Malaysia. Pada tahun 1990, kerajaan Malaysia telah mengadakan Tahun Melawat Malaysia untuk menggamit kebanjiran pelancong baik dari negara atas angin mahupun dari negara bawah angin. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bidang pelancongan mendatangkan manfaat yang tidak ternilai dan menjanjikan pulangan yang lumayan. Selain menjadi sumber pendapatan negara, industri pelancongan berperanan mustahak dalam membaiki, dan meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang perkhidmatan, perhotelan, perniagaan dan penghasilan kraftangan agar rakyat dapat mencari nafkah hidup dan mata pencarian dengan tulang empat kerat dan mengikis sikap menantikan nasi disajikan ke mulut. Atas kesedaran ini, segala sumber kekuatan Malaysia dalam industri pelancongan harus dicungkil, dikembangkan dan dimanfaatkan semaksimumnya dengan terancang agar impian Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang tersohor tercapai secemerlangnya. Dalam konteks ini, salah satu bidang dalam industri pelancongan ialah pelancongan kesihatan. Menurut Kamus Dewan, pelancongan kesihatan bertujuan untuk menarik pelancong berkunjung ke Malaysia atas sebab perawatan dan perubatan di samping makan angin. Persoalan yang berputar-putar dalam kotak minda kita ialah apakah langkah-langkah untuk memajukan industri pelancongan kesihatan di Malaysia? Oleh itu, langkah-langkah memajukan industri pelancongan yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas lebih mendalam untuk kepentingan semua pihak terutama rakyat dan negara kita. 

Jika kita bersedia memeras otak dan berhempas pulas, pendekatan yang berkesan untuk memajukan industri pelancongan kesihatan tentu ada kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sebagai mukadimah perbincangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan harus bekerjasama seperti berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk membina kewibawaan dan kredibiliti Malaysia dalam indutri pelancongan kesihatan. Kerajaan harus mengupah pakar perubatan yang terkenal di luar negara untuk melatih staf sokongan kesihatan misalnya jururawat, juruterapi, jurulatih kecergasan, jurusolek dan tukang urut. Universiti dan kolej perubatan swasta harus ditubuhkan untuk melatih doktor berkelayakan profesional, berdedikasi dan mahir. Dalam hal ini, doktor yang telah bersara patut dilantik semula secara kontrak bagi memberikan tunjuk ajar dan melatih mereka yang pengalamannya baru setahun jagung setampuk pinang dan berpengetahuan cetek dalam bidang perubatan. Doktor yang telah bersara sebenarnya mempunyai pengetahuan yang amat luas kerana mereka dianggap seperti kelapa, makin tua makin berminyak. Di samping itu, kerjasama dan pertukaran kepakaran dengan negar-negara lain harus dijalankan bagi berkongsi maklumat kritikal agar lebih mahir dan cekap dalam merawat penyakit yang sofistikated. Tegasnya, jika kualiti dan kuantiti staf sokongan dapat dicari jalan penyelesaian, negara Malaysia sudah pasti akan diyakini oleh pelancong asing yang datang dari Timur mahupun Barat. 

Sebagai lontaran idea kedua, pengaplikasian teknologi yang canggih dan lengkap dalam bidang perubatan amat penting bagi memajukan industri pelancongan kesihatan seperti yang dikatakan oleh nenek moyang kita mengais hendaklah berkuku kerana tanpa fasilitet dan kemudahan yang canggih, pakar perubatan tidak dapat menunjukkan kepakaran mereka. Dalam hal ini, pusat pemulihan kesihatan yang dapat memenuhi pelbagai keperluan pelancong harus ditubuhkan selengkapnya. Sebagai contoh, Pusat Jantung Malaysia di Kuala Lumpur harus didirikan di bandar utama supaya dapat memberikan perkhidmatan kepada pelancong yang menghidap penyakit kardiovaskular. Seterusnya, pusat penjagaan kesihatan harus ditubuhkan untuk membantu pesakit diabetes mengawal berat badan yang sesuai dan memberikan nasihat serta rawatan kepada mereka tentang pengamalan pemakanan yang seimbang dan mengikisan konsep hidup untuk makan. Bagi pelancong yang mementingkan kecantikan fizikal, pusat perawatan muka dan pelangsingan badan seperti spa harus ditubuhkan dan dikawal secara profesional agar dapat memelihara kecantikan, kelangsingan badan dan kesihatan dari luar dan dalam bak bulan purnama. 

Dalam usaha memajukan industri pelancongan kesihatan, kos perubatan dan perawatan tidak dapat diketepikan. Memang lumrah bahawa kos perubatan dan perawatan yang kompetitif malah lebih rendah tetapi mutu perkhidmatan setanding negara maju yang lain dapat menggamit kebanjiran pelancong asing ke Malaysia. Menurut laporan ‘News Straits Times’, Pusat Pemulihan Mahkota Melaka yang menawarkan perubatan dan perawatan yang tarafnya setanding dengan negara Barat tetapi dengan kos yang rendah telah berjaya menarik pelancong negara serantau yang berjumlah 2 000 orang sebulan. Tidak ketinggalan juga, kemudahan insurans kesihatan harus disediakan secara talian terus supaya pelancong dapat berkunjung ke negara kita untuk mendapat rawatan dan perubatan dengan lebih yakin dan selesa. Berbekalkan cogan kata, mesra pelanggan, industri pelancongan kesihatan di Malaysia akan dapat gah ke puncak kegemilangannya. 

Seperkara lagi, teknik promosi yang pragmatik harus dilaksanakan bagi memajukan industri pelancongan kesihatan di Malaysia. Dalam hal ini, maklumat komprehensif berkaitan dengan perawatan dan perubatan di Malaysia sepatutnya disebar luas kepada masyarakat global. Media massa merupakan wahana dan medium yang amat berkesan dalam penyebaran maklumat kerana berkembang pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Selain itu, maklumat berkenaan juga perlu disebarkan di lokasi yang strategik di tempat awam di luar negara agar dapat menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia. Pada masa yang sama, pihak hospital hendaklah berusaha mendapat pengiktirafan terutamanya di peringkat antarabangsa. Atas kesedaran ini, pihak hospital perlu memenuhi syarat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Tidak kurang penting juga, pihak hospital juga harus mencipta laman web sendiri untuk menonjolkan kecanggihan perubatan dan perawatan hospital masing-masing. Janganlah pihak hospital mencari alasan dan bersikap genggam-genggam bara api rasa hangat dilepaskan kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. 

Kesimpulannya, kudrat dan usaha yang berlipat ganda harus digembleng sepadunya dalam usaha memajukan industri pelancongan kesihatan. Harus kita sedari, setiap bangunan yang tersergam megah tidak bergantung pada sebatang tiang sahaja tetapi tiang-tiang dan pasak-pasak yang saling menopang antara satu sama lain kerana bersatu teguh bercerai roboh. Kejayaan yang semanis madu tidak akan dapat kita kecapi tanpa curahan usaha yang sepahit hempedu kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Atas kesedaran ini, kerajaan perlu bersikap proaktif, progresif dan dinamik dalam memajukan industri pelancongan kesihatan. Seandainya segenap lapisan masyarakat bekerjasama selangkah sederap, bertindak sepakat seia sekata dan bergerak sehati sejiwa, sudah pasti usaha kita dalam membangunkan industri pelancongan kesihatan akan berjaya dan Malaysia akan terkenal sebagai destinasi pelancongan kesihatan antarabangsa di persada dunia.
Cheng  Xi Shan
[956 patah perkataan]

5 comments:

  1. mohon dapatkan info untuk tujuan PdP..TQ

    ReplyDelete
  2. Selamat Sejahtera,

    Artikel anda memang baik! Bolehkah anda luangkan sedikit masa untuk layari laman web kami http://perkhidmatan-lamanweb.operion.com.my/ ?

    Syarikat kami mengadakan promosi yang hebat! Operion servis untuk membina laman web E – Dagangan dan juga web informasi.

    Operion menyediakan perkhidmatan dan reka bentuk laman web,aplikasi e-dagang untuk mengukuhkan perniagaan dan strategi pemasaran internet anda.

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  3. siapa boleh ringkaskan atau sunting karangan ini menjadi 100 patah perkataan

    ReplyDelete
  4. Ada x cabaran perubatan pelancongan

    ReplyDelete