Friday, October 7, 2011

USAHA-USAHA MENGGALAKKAN SEKTOR PELANCONGAN DI MALAYSIA



Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang lumayan kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancong ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.  Pelancong Asia Barat menunjukkan peningkatan pada tahun 2006 berbanding tahun 2005.  Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang kurang memuaskan kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.

      Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.

        Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong . Sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancong ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.

       Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan sekolah dan peranan ibu bapa dalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap melentur buluh biarlah dari rebungnya tidak harus kita ketepikan kerana api tatkala kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan Sejarah harus banyak diperkenalkan oleh guru Sejarah. Kelab Pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat pelancongan tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem tentang adat resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti di Sabah dan di Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak mereka melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.

       Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan. Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati, kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita. Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan aktiviti melancong di dalam negara, kita akan mengetahui apa-apa yang ada, yang kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri, kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negara. Kita harus melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khazanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati.

Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan dan dipergiat untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri pelancongan kerana peribahasa ada mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

[823 patah kata]

Oleh; LEE YEE, XUE LI,SIN YEE, AMUNA – 5 BERLIAN 2011

KEPENTINGAN SUNGAI

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sungai merupakan nadi kehidupan kita. Namun begitu, selaras dengan peralihan zaman, masalah pencemaran air semakin menjadi-jadi. Pencemaran yang berlaku telah mengakibatkan kawasan tadahan air dimusnahkan. Hal ini juga telah banyak memberikan implikasi yang buruk kepada manusia dan hidupan lain, terutamanya hidupan akuatik. Pembuangan sampah sarap dan sisa toksik ke dalam sungai telah membawa kepada pencemaran sungai. Sungai yang tercemar akan menjadi semakin cetak dan mudah menyebarkan penyakit kencing tikus. Lama-kelamaan, dunia juga akan menghadapi krisis bekalan air bersih. Dengan ini, kita wajiblah mengekalkan kebersihan sungai sebelum keadaan sungai menjadi teruk kerana sediakan payung sebelum hujan.


Sejak zaman lampau lagi, sungai telah memainkan peranannya yang penting dalam kehidupan harian kita. Sungai merupakan sumber bekalan air yang utama kepada manusia dan haiwan. Manusia menggunakan air untuk pelbagai tujuan seperti sebagai air minuman dan kegunaan domestik. Bekalan air yang bersih sangat penting dalam kegunaan harian supaya peralatan yang kita guna akan sentiasa dicuci dengan bersih. Hal yang demikian kerana peralatan yang kotor lazimnya mempunyai bakteria pada permukaanya yang akan mempengaruhi kesihatan kita. Jika peralatan berkenaan tidak dicuci sehingga bersih, kuman-kuman seperti pada permukaan pinggan akan masuk ke dalam badan kita. Lanjutan itu,kita akan menghidap sesuatu penyakit. Jelaslah bahawa betapa pentingnya sungai dalam kehidupan harian kita. Oleh itu,cintailah sungai kita dengan memelihara dan memulihara sungai supaya dapat memastikan bekalan air bersih yang berterusan.


Tambahan pula, sungai membekalkan makanan dan pendapatan kepada manusia. Sungai merupakan habitat haiwan akuatik seperti ikan, udang dan ketam yang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, udang dan ketam sangat tinggi. Pengambilan protein yang mencukupi membolehkan tumbesaran badan kita berkembang dengan seimbang. Sementara itu, sungai mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan. Hal ini kerana sungai memberi rezeki kepada mereka yang menetap berhampiran sungai dengan melakukan aktiviti menangkap hasil sungai seperti ikan dan udang. Tuntasnya, kita seharusnya menyayangi sungai yang membekalkan makanan dan pendapatan kepada kita.


Peranan sungai juga dapat dilihat apabila sungai dijadikan sebagai tempat rekreasi dan pelancongan. Hal ini kerana sungai mempunyai landskap yang menarik. Sebagai contohnya, Negara Endau-Rompin yang terletak di legeh sungai Endau dan sungai Rompin telah dijadikan sebagai kawasan rekreasi yang menjadikan tarikan pelancongan. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di kawasan tersebut seperti berkayak,menjejaki hutan, memancing dan berkelah. Selain itu, sungai digunakan untuk menjana hidroelektrik dengan membina empangan untuk membekalkan sumber tenaga kepada rakyat. Empangan yang dibina juga berpotensi menjadi suatu kawasan pelancongan yang menarik. Secara langsung dan tidak langsung, sektor pelancongan negara akan berkembang pesat. Oleh itu, kita sewajarnya mengekalkan kebersihan air sungai supaya kawasan sungai dapat dijadikan sebagai tempat pelancongan.


Sungai juga memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan perhubungan. Hal ini disebabkan oleh sungai telah menjadi jalan perhubungan utama untuk menghubungkan kawasan pedalaman dengan kawasan bandar. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya juga dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, udara dan air. Sebagai contoh, sungai dapat mengangkut kayu balak dari hutan ke kawasan bandar. Hal ini bukan sahaja menjimatkan tenaga pekerja, malah juga dapat menjimatkan kos pengangkutan. Dengan ini, kita mestilah menyayangi sungai supaya fungsinya sebagai medium pengangkutan dan perhubungan dapat dilestarikan.

Kesimpulannya, kepentingan sungai kepada manusia memang sudah dikawal pasti sejak zaman-berzaman. Sungai memainkan peranan yang besar dalam membekalkan makanan dan minuman kepada manusia. Pada masa dahulu sungai telah dijadikan sebagai jalan perhubungan antara satu tempat ke satu tempat yang lain. Bagi memelihara sungai, pelbagai prakarsa telah dijalankan oleh pihak berkuasa seperti Kempen Cintai Sungai. Sungai yang tercemar akan memudaratkan kehidupan. Oleh itu, wajarlah sungai dipelihara untuk tatapan generasi akan datang bagi menjamin kesinambungan kehidupan di muka bumi ini.
[608 patah kata]

Nukilan ; Kumpulan Koh Yan Chyi 5 Berlian 2011