Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, saya menjadikan hobi saya untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Bertitik tolak daripada itu, masa senggang saya digunakan untuk bermain bola sepak, berjoging dan membaca buku. Hal ini secara tidak langsung menghindarkan diri saya daripada aktiviti kurang sihat dan bergaul dengan rakan yang mempunyai masalah sosial. Contoh yang boleh diketengahkan ialah remaja yang sedang mencari identiti diri dan mengalami kecelaruan jiwa akan mudah terlibat dalam aktiviti merempit, melepak dan pergaulan bebas kerana mereka tidak mempunyai matlamat hidup seperti layang-layang yang terputus talinya. Dalam konteks ini, dengan adanya hobi, masa saya tidak disia-siakan dan tidak terbiar begitu sahaja kerana masa itu emas yang perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Bukan itu sahaja, dengan mempunyai hobi dapat mengelakkan diri saya daripada berasa bosan dalam mengharungi kehidupan seharian di alam fana ini. Konklusinya, hobi dapat memenuhi masa lapang saya dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa hobi juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan saya yang sedia ada. Sebagaimana yang kita ketahui, hobi seperti membaca, melayari internet dan menonton televisyen dapat membantu meningkatkan pengetahuan am seseorang. Selain itu, saya juga dapat menguasai kemahiran dalam melakukan aktiviti harian seperti memasak dan melukis. Sebagai contoh, aktiviti mengait yang telah saya praktikkan dari hari ke hari dapat meningkatkan kemahiran saya lagi dan akhirnya dapat menghasilkan sesuatu karya kreatif yang menarik seperti peribahasa sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Bukan itu sahaja, saya juga dapat menambakan ilmu pengetahuan apabila menonton rancangan dokumentari di televisyen seperti Majalah 3 dan ‘Insect War’. Bahkan, dalam zaman yang serba canggih ini, saya juga boleh mendapatkan informasi yang saya perlukan dengan mudah melalui internet. Maka, jelaslah bahawa dengan mempunyai hobi yang tertentu dapat membantu saya dalam menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan penguasaan serta kemahiran diri dalam pelbagai bidang karya kreatif.
Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah apabila saya mempunyai hobi, saya dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Hobi yang sering saya lakukan untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental adalah dengan mendaki gunung, berjoging dan berenang. Dengan melaksanakan hobi ini, daya tahan kardiovaskular dapat ditingkatkan. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan imuniti badan saya daripada sebarang jangkitan penyakit seperti demam, selesema dan batuk. Hal ini seterusnya dapat membantu saya melaksanakan aktiviti harian secara efektif kerana badan cergas, otak cerdas. Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, apabila saya memanfaatkan masa saya dengan hobi yang saya gemari secara tidak langsung dapat mengurangkan stres. Hal ini adalah kerana, apabila saya melakukan hobi, saya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti tersebut dan bukannya memikirkan masalah kehidupan yang kadang kala membebankan minda saya. Bagi membuktikan perkara ini, apabila saya membaca novel, saya akan leka dengan mesej yang ingin disampaikan oleh novelis, sehingga melupakan masalah yang membelenggu sukma buat seketika. Tegasnya, dengan mempunyai hobi saya dapat kepuasan diri kerana melakukan sesuatu aktiviti yang digemari dan membebaskan diri daripada sebarang masalah yang menghimpit kalbu.
Dalam menelusuri ranjau yang penuh onak dan duri, hobi juga dapat menjana pendapatan saya. Umum mengatahui, kadar pengangguran di Malaysia semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh hal yang demikian, saya harus merebut peluang keemasan yang ada untuk menjana pendapatan saya. Sebagai analoginya, hobi yang dapat menjana pendapatan ialah hobi memasak dan menggubah bunga. Apabila saya mempunyai kemahiran memasak, saya dapat menjual hasil air tangan saya di kedai-kedai atau di koperasi sekolah. Dalam konteks ini, hasil jualan tersebut dapat saya gunakan sebagai wang saku. Sekali gus, aktiviti ini juga dapat mengurangkan beban kewangan keluarga saya. Selain itu, saya dapat memanfaatkan wang tersebut untuk membeli bahan-bahan rujukan sebagai usaha untuk meningkatkan prestasi akademik saya. Tidak kurang penting juga, sebahagian daripada wang itu dapat saya simpan di dalam bank untuk kegunaan masa depan bak kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Tegasnya, hobi yang kreatif lagi inovatif sebenarnya dapat menjana pendapatan sekiranya saya memanfaatkan seoptimumnya kelebihan yang ada dalam diri ini.
Ramai yang mulai sedar bahawa hobi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama insan. Hobi bukan sekadar dalam lingkungan dunia individu sahaja malah dapat dilakukan secara berkumpulan. Sebagai contoh, hobi yang boleh dilakukan secara berkumpulan seperti mengulang kaji pelajaran, bermain boling dan melancong bersama dengan keluarga. Melalui komunikasi dua hala, secara tidak langsung bukan sahaja dapat merapatkan hubungan silaturahim malahan juga dapat mewujudkan kemesraan lantas memupuk kerjasama antara satu sama lain. Dalam hal ini, nilai saling membantu dan bekerjasama yang termaktub sebagai nilai yang ke-35 dalam Pendidikan Moral dapat dipraktikkan. Perpaduan juga turut dapat dilahirkan apabila masyarakat yang terdiri daripada multietnik terlibat dalam hobi yang sama, visi kudsi Wawasan 2020 sudah pasti dapat direalisasikan. Deduksinya, hobi mendatangkan faedah yang amat bermakna dalam mengaribkan perhubungan antara sesama insan.
Lontaran idea yang seterusnya, sejak kecil lagi saya suka menyanyi. Ibu bapa telah dapat mengesan bakat yang ada pada diri saya lalu mereka menghantar saya untuk menghadiri kelas muzik. Hinggalah ke hari ini, saya masih suka menyanyi dan tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan muzik bak kata P.Ramlee, lagu dan irama tidak dapat dipisahkan. Sambil menyelam minum air, hobi yang saya pilih sebenarnya dapat mengembangkan dan mengasah bakat saya dalam bidang muzik. Saya juga akan menggunakan masa terluang untuk bermain alat muzik seperti piano. Sesungguhnya, hobi ini telah mengembangkan potensi diri saya yang telah sedia ada. Dengan menyertai sesuatu pertandingan nyanyian, saya akan memperoleh pengalaman baru. Saya juga berlatih menyanyi dengan tekun dan bersungguh-sungguh supaya saya dapat memenangi sesuatu pertandingan kerana saya tahu jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Meraih tempat pertama dalam pertandingan yang saya sertai bagaikan orang haus diberi air, orang lapar diberi nasi. Ibu bapa dan pihak sekolah turut berbangga dengan kejayaan saya. Kejayaan dalam pertandingan yang disertai dan pengalaman baharu yang ditimba ini telah memantapkan , meningkatkan kemahiran serta memberikan keyakinan dalam diri saya untuk mencari nafas baru dalam kehidupan melalui hobi yang diminati.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam hobi banyak mendatangkan faedah kepada segenap strata masyarakat. Oleh itu, saya akan berhati-hati seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak dengan menguruskan masa untuk hobi dan pelajaran saya dengan bijaksana. Selanjutnya, saya juga akan mengelakkan diri daripada melayari laman sesawang yang berunsur negatif agar mental dan jiwa saya tidak goyah dek nafsu yang bermaharajalela . Pada pendapat saya, ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak mempunyai hobi sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana anak-anak umpama sebutir batu permata yang belum digilap, ibu bapalah yang bertanggungjawab menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah nan berkilau. Remaja yang berkembang baik dari psikologi dan fisiologi akan menjadi tulang belakang dalam memacu kegemilangan negara kelak. Marilah kita memikul tanggungjawab bersama-sama untuk merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 supaya negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Gabungan idea daripada kelas 5 Berlian 2013