Saturday, March 10, 2012

KELEBIHAN-KELEBIHAN PENGANGKUTAN AWAM



Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda telah menyumbang kepada faktor perubahan sistem pengangkutan awam secara drastik.  Menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, pengangkutan awam dapat didefinisikan sebagai sistem pengangkutan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api yang digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah ditetapkan.  Pada zaman yang serba canggih ini, sistem pengangkutan moden kian mempengaruhi kehidupan masyarakat.  Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh, didapati bahawa kenderaan awam tidak terhad dalam sistem perhubungan di darat malah di udara juga di laut.  Apakah kepentingan pengangkutan awam kepada pengguna dan persekitaran negara kita?  Antara tamsilan pengangkutan awam yang selalu digunakan oleh pengguna ialah bas, teksi, LRT, monorel dan kapal terbang.  Umum mengetahui bahawa bas awam merupakan kemudahan awam yang paling meluas digunakan di seluruh negara termasuklah di bandar dan di kawasan pedalaman.  Oleh itu, kelebihan-kelebihan pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.


Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada semua.  Bertitik tolak daripada itu, dengan menggunakan pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat menjimatkan kos perjalanan.  Sebagai contohnya, jika dahulu  perjalanan  ke   Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga sepanjang perjalanan. Namun, pada hari  ini   anda   boleh menikmati kopi panas dan membaca buku  kegemaran  anda dengan  menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT(Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta bayaran tempat meletak kenderaan.    Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu Ibarat Emas.  Sudah Terang Lagi Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.


Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat perlu menggunakan pengangkutan awam agar dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.  Perkhidmatan bas telah lama menerima persepsi negatif umum sebagai pengangkutan bagi golongan miskin. Perkhidmatan bas semasa tidak mampu menandingi kelajuan, keupayaan dan kekerapan perkhidmatan rel yang tinggi kerana bas perlu meredah kesesakan lalu lintas bersama-sama ribuan kenderaan lain. Bagi mengatasi masalah ini, tiga usaha utama merentasi 12 koridor menuju ke bandar utama iaitu Bus Expressway Transit (BET), Bus Rapid Transit (BRT), dan Lorong Bas telah disediakan. Perkhidmatan BET akan dilancarkan di empat lebuh raya di Lembah Klang yang tidak digunakan sepenuhnya. Pengguna akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas daripada perkhidmatan ini kerana pengangkutan awam ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan tol bagi melancarkan perjalanan.  Selain itu, pengguna yang mengutamakan perkhidmatan pengangkutan awam dan tidak mementingkan diri sendiri, Bagai Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-Masing dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.  Kekurangan kenderaan persendirian di jalan raya secara langsungnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik.  Secara implisitnya, kadar kemalangan dapat dikurangkan sekali gus. Dengan ini, diharapkan masyarakat sedar akan kelebihan pengangkutan awam yang dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.


Pengangkutan Awam sebenarnya mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan pembinaan bandar lestari atau bandar hijau malah mengurangkan pencemaran alam. Mahu atau tidak, pengangkutan awam akan menjadi nadi penting dalam memperkasakan bandar yang bersih atau mampu mengurangkan karbon atau gas beracun di kawasan bandar. Kawasan bandar yang kurang kenderaan persendirian bermaksud akan bertambah kurangnya karbon dilepaskan. Tambahan pula, LRT, MRT dan Monorel digerakkan menggunakan tenaga elektrik. Pembinaan pengangkutan awam yang efisyen membolehkan bandar raya dibangunkan dengan sempurna. Kajian masa depan perlu dilakukan untuk memikirkan kesesakan bandaraya pada masa akan datang. Walaupun adanya bandar satelit yang membantu mengurangkan kesesakan bandar utama, perancangan pengangkutan awam yang sempurna perlu difikirkan. Kenderaan  bermotor yang padat  di kawasan bandar menyumbang kepada pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Dari satu segi, fenomena ini menunjukkan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Manakala dari sisi alam sekitar pula, hal ini menunjukkan kemerosotan alam sekitar. Keadaan yang bercanggah inilah yang sepatutnya diselarikan supaya kenderaan bermotor bukan sahaja boleh digunakan sebagai petunjuk kemajuan ekonomi negara, bahkan turut menyumbang kepada  kelestarian alam sekitar. Bagaimanakah kedua-duanya dapat diselarikan? Jawapannya adalah dengan memperkenalkan ‘Sistem Pengangkutan Hijau’ yakni satu sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sekiranya sistem pengangkutan hijau berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya di kawasan bandar tanpa gangguan daripada kenderaan persendirian dan motosikal sudah pasti matlamat untuk meningkatkan kualiti  hidup penduduk di bandar akan tercapai. Hal ini kerana gangguan dari segi tekanan, ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas telah berjaya diatasi.  Keselesaan dan kesejahteraan penduduk dalam berinteraksi di jalan raya juga merupakan sumbangan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk.  Izharlah bahawa sistem pengangkutan awam yang moden di negara kita mampu melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran udara tidak akan menjadi masalah lagi.


Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan pengangkutan awam moden dapat memudahkan perjalanan.  Hal ini dapat dibuktikan dengan penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji.  Penggunaan kapal terbang dapat mempercepat perjalanan di samping memudahkan jemaah haji yang ingin menunaikan tuntutan rukun Islam yang kelima.  Jika dibandingkan pada tahun 1950-an, jemaah haji yang menunaikan haji akan mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk sampai ke destinasinya.  Hal ini amat menyusahkan, berbanding sekarang hanya 8 jam sahaja, seseorang itu telah sampai ke Mekah.  Situasi ini jelas menunjukkan penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa. Selain itu, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), komuter, monorel dan KLIA Ekspress telah terbukti dapat memudahkan perjalanan kerana bebas daripada kesesakan lalu lintas.  Hal ini disebabkan pengangkutan awam ini mempunyai laluan atau rel yang tersendiri. Selain itu, keistimewaan pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.  Sekali gus, orang ramai dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan. Tegasnya, perjalanan akan menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam ini tidak dipinggirkan.


Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya maka sebagai akhirulkalam, pengangkutan awam banyak mendatangkan manfaat dalam memudahkan manusia menjalani urusan seharian.  Semua lapisan masyarakat Malaysia digalakkan menggunakan pengangkutan awam.  Sekiranya langkah yang drastik dan efektif ini tidak diikuti, sudah tentu banyak masalah akan timbul dalam kehidupan kita di bumi yang fana ini.  Jika dikaji sehingga ke akar umbi, masalah ini berpunca daripada asap kenderaan.  Oleh itu, pihak kerajaan juga hendaklah memainkan peranan yang vital dengan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar setanding dengan negara-negara gergasi yang lain bak peribahasa Berdiri Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah.  Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu menyokong langkah kerajaan  yang berstrategi serampang dua mata bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Sesungguhnya, kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring dalam memenuhi aspirasi negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.


Gabungan Idea pelajar 5 Berlian 2012

3 comments:

  1. mohon share...karangan yang memberangsangkan dan berkualiti :)

    ReplyDelete
  2. sangat :) sangat :) suka.. dan membantu saya mendapatkan isi-isi penting.. terima kasih

    ReplyDelete