Thursday, April 19, 2012

KEBAIKAN SEKTOR PERINDUSTRIAN

SOALAN:
Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden.  Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara. 
Terangkan kebaikan-kebaikan sektor industri kepada rakyat dan negara.

Penggubalan dasar perindustrian di Malaysia adalah lebih menjurus ke arah untuk meningkatkan sumbangan dan prestasi sektor perindustrian negara. Memetik kata-kata daripada mantan Perdana Menteri Ke-4, Tun Mahathir Mohamed, 1989 yang berbunyi, "usaha-usaha untuk menjadikan sektor perindustiran, terutamanya sektor pembuatan punca utama pertumbuhan ekonomi negara berjalan dengan lancar. Sektor perindustrian bagi sektor pembuatan akan menjadi tulang belakang ekonomi negara pada masa hadapan, kerajaan akan membuat pengubahsuaian segala dasar dan strategi serta berusaha memperluaskan asas perindustrian dalam sektor pembuatan".  Nah,  Sudah terang lagi bersuluh, Malaysia telah melalui proses penekanan ketara dalam meningkatkan tahap industri negara sejak awal tahun 80-an lagi.  Kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam mentadbir negara bermula pada tahun 1981 sehingga 2003 telah menyinarkan cahaya keilmuan yang hampir padam.  Pada Februari 1991, beliau telah mengemukakan ‘Wawasan 2020’ sebagai matlamat jangka masa panjang untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang membangun dan mempunyai nilai kualiti tinggi.  Pendekatan ini telah mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.  Menurut beliau lagi, matlamat kesembilan daripada Wawasan 2020  ini semestinya menjadi keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang.  Seiring dengan dasar tersebut, melalui agenda sektor  perindustrian sudah pasti aspirasi negara maju menjelang 2020 akan dapat direalisasikan.  Malahan, peranan sektor perindustian tidak perlu lagi dipertikaikan kerana banyak membawa kebaikan sama ada kepada rakyat mahupun negara.
                                
Sebagai pembuka kata dan bicara , kebaikan yang dibawa oleh sektor perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu.  Sebagai bukti, import pada bulan Oktober 2009 menurun sebanyak 2.3% berbanding September 2008 disebabkan kemerosotan import barang pengantara sebanyak 10%  terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 8.5% dan produk besi dan keluli sebanyak 28%.    Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor perindustrian negara telah berjaya menghasilkan produk yang sama terutama barangan elektrik dan elektronik pada harga yang lebih murah.  Selain itu, kalau dahulu negara kita pada era 70-an terpaksa mengimport kereta dari negara Jepun atau negara barat tetapi kini  keadaannya amat berbeza sekali seperti langit dengan bumi kerana negara kita sekarang sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam menghasilkan kereta buatan sendiri iaitu Proton mahupun Perodua.  Situasi ini turut memberikan kesan terhadap kadar imbangan perdagangan luar  negara kerana kurang wang yang mengalir ke luar negara untuk membayar barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor-sektor lain.  Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu dapat digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat.  Tegasnya, kemajuan dalam sektor perindustrian berjaya mengurangkan import negara yang dulunya negara kita terlalu bergantung kepada barangan import tersebut.

Ekoran daripada pengurangan import negara terhadap barangan tertentu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa sektor perindustrian juga dapat meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah di negara ini. Pertumbuhan pesat dalam sektor perkilangan sudah tentu membawa peningkatan dalam permintaan terhadap bahan mentah umpama cendawan tumbuh selepas hujan.  Seterusnya, menjadi antara intipati perindustrian untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat di seantero dunia.  Sebagai analogi yang sudah diketahui umum, negara kita pernah ditakluki oleh kuasa asing untuk menguasai sumber bahan mentah negara kerana harganya yang tinggi dan permintaannya meluas dalam pasaran antarabangsa.  Berdasarkan perangkaan terkini, sumber bahan mentah seperti getah, petroleum dan kelapa sawit masih mempunyai pasaran yang meluas di peringkat globalisasi.  Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia pada tahun 2012, didapati pengeluaran minyak kelapa sawit meningkat  sebanyak 7.9% kepada RM4.5 bilion. Keadaan ini tentunya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kerana negara mengeksport sumber-sumber ini ke luar negara. Di samping itu, sumber bahan mentah seperti petroleum diperlukan dalam proses pengetinan makanan dan minyak petrol bagi sektor perindustrian di negara kita.  Malahan, minyak masak dan sabun yang dihasilkan turut menggunakan  kelapa sawit sebagai sumber bahan mentah.  Secara tidak langsung, harga komoditi negara sudah  pasti meningkat dengan mendadak dan memberi keuntungan  kepada negara.  Izharlah, kepesatan dalam sektor perindustrian sudah ketara dapat meningkatkan permintaan terhadap sumber bahan mentah negara.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sektor perindustrian memberikan kebaikan kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan yang luas.  Kilang-kilang yang dibina di kawasan pedalaman mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.  Contoh pekerjaan yang biasa ditawarkan kepada penduduk berdekatan seperti operator kilang, jurutera kilang, pengurus kilang dan sebagainya.  Peluang pekerjaan yang ditawarkan ini seharusnya dimanfaatkan oleh rakyat bagi menampung keperluan hidup mereka.  Sektor perindustrian mampu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan yang luas dari pelbagai peringkat. Antaranya ialah peringkat pengeluaran, pemprosesan, pemasangan, pembungkusan, pemasaran.  Pada tahun 2001 sahaja, seramai 2.2 juta rakyat terlibat dalam sektor perindustrian iaitu bersamaan 22%  daripada jumlah tenaga kerja yang terdapat di Malaysia.  Fenomena ini sudah pasti dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.  Sesungguhnya, sektor perindustrian mampu menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat khususnya dalam bidang perkilangan. 

Pada realitinya,  kepesatan dalam sektor perindustrian juga telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat.   Peningkatan taraf hidup ini juga dapat dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat.  Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal.  Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.  Hal ini kerana upah atau gaji hasil daripada titik peluh sendiri dapat menjamin masa depan diri dan keluarga. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa masyarakat yang hidup susah, kini dapat meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga mereka. Bertitik tolak daripada itu, kita akui bahawa kemajuan sektor perindustrian yang pesat ini telah memberikan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.   Taraf hidup rakyat juga sebenarnya dapat diukur melalui pendapatan per kapita sesebuah negara.  Situasi ini dapat dibuktikan berdasarkan data World Development Indicators oleh Bank Dunia pada 1 Julai 2009, Malaysia berada pada kedudukan ke-79 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 13.740 per tahun.  Sedangkan, Indonesia berada pada kedudukan ke-146 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 3.830 per tahun.  Berdasarkan perangkaan ini, taraf hidup rakyat negara kita jauh lebih baik daripada Indonesia secara perbandingannya 3.5 kali ganda.  Jelaslah bahawa semua ini terhasil daripada perkembangan yang pesat dalam sektor perindustrian di Malaysia.

Intihanya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat dan negara ini.  Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat mengutamakan sektor ini.  Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.  Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum retak menjadi parah, kepentingan sektor pertanian di negara kita juga tidak seharusnya dipandang sebelah mata.  Hal ini disebabkan hasil pertanian merupakan sumber  bekalan makanan kepada rakyat ini.  Oleh itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sewajarnya bekerjasama bagai aur dengan tebing dan menggembleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian dan perindustrian di negara kita.  Hal ini kerana sektor pertanian dan perindustrian di negara kita perlu bergerak seiring, bahu-membahu, lengkap-melengkapi  bak seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bagai irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Dalam erti kata yang lain, sektor perindustrian tidak boleh dipisahkan dengan sektor perindustrian.  Selari dengan itu, Malaysia berupaya menjadi sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta dapat berdiri megah dengan negara-negara maju yang lain umpama duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Nukilan kerjasama berkumpulan 5 Berlian 2012

Monday, April 16, 2012

PENULISAN SPM : CIRI-CIRI BANDAR IDAMAN SAYA



Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak tentang  isu pembukaan bandar-bandar baharu lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang gah di persada dunia.  Pembukaan bandar-bandar baharu yang canggih menjadikan Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi yang lain.  Jika dikaji sehingga ke akar umbi, terdapat banyak bandar yang canggih dan cantik di negara Malaysia. Antara contoh  bandar yang menjadi buah mulut dan dipolemikkan di kedai-kedai kopi mahupun dewan parlimen ialah bandar Putrajaya di Malaysia.  Selain itu, terdapat juga bandar canggih dan cantik di negara lain seperti bandar Limerick di Ireland dan bandar Kontanz di German.  Oleh yang demikian, semua warganegara Malaysia sudah tentu mengimpikan bandar idaman untuk didiami  bersama-sama keluarga yang tercinta. Tidak terkecuali saya yang turut mendambakan bandar idaman saya yang lengkap dengan segala yang diperlukan.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa  bandar idaman semua mestilah mempunyai prasarana yang memenuhi kehendak rakyat. Begitulah juga halnya dengan diri saya yang menginginkan kemudahan lengkap di tempat saya tinggal seperti kemudahan bekalan air dan elektrik, pengangkutan awam, khidmat Unifi, tandas awam dan perpustakaan awam. Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi ini, ilmu sudah mendominasi kemajuan sesebuah negara.  Untuk rakyat berkomunikasi dan memperoleh ilmu, khimat Unifi dan kemudahan jaringan internet hendaklah diperluas dan dipermudah untuk dicapai oleh komuniti bandar.  Selain itu, bekalan air dan elektrik hendaklah mencukupi menampung keperluan masyarakat setempat dengan menggunakan kemajuan dalam proses kitar semula. Tidak cukup dengan itu, pengangkutan awam yang diguna pakai di bandar idaman saya mestilah mesra alam.  Sampah-sampah juga dilupuskan dengan menggunakan teknologi insenerator yang telahpun diaplikasikan di negara-negara maju.  Dengan perkataan lain, segala-galanya ada di bandar idaman saya. Tegasnya, bandar idaman saya mestilah mempunyai prasarana yang mencukupi agar rakyat dapat hidup dengan  selesa sambil menikmati segala kemudahan yang disediakan.


Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah bandar yang menjadi idaman saya perlulah berkonsepkan lestari alam semula jadi. Dalam konteks ini, bandar tersebut perlulah dipenuhi dengan tumbuhan hijau serta bebas daripada pencemaran alam. Memandangkan keadaan yang sedemikian, bandar tersebut perlulah berjauhan dari kawasan perindustrian yang pastinya akan menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran air. Bukan itu sahaja, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi dapat menyegarkan minda di samping pemandangan yang indah saujana mata memandang. Bertitik tolak daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang dapat menyerapkan gas karbon dioksida perlu ditanam dengan banyak  di sekeliling bandar idaman saya. Hal ini secara tidak langsung, akan mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia dan haiwan sekali gus mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi yang banyak membawa maslahat merupakan  bandar idaman saya.

  Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman saya perlulah bertemakan hiburan. Hal ini adalah kerana bandar berkonsepkan hiburan sudah lama terpahat dalam memori saya untuk dijadikan bandar  idaman saya.  Aspek utama  dalam konsep ini ialah bandar yang dapat memberikan hiburan kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat yang merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja, golongan dewasa mahupun warga tua. Sebagai analoginya, bandar idaman saya mestilah bertemakan hiburan seperti Disneyland di New York, Resort World of Sentosa di Singapura.  Dengan ini, rakyat boleh mengurangkan stres dan melarikan diri seketika daripada memikirkan tekanan di tempat kerja.  Secara tidak langsung, setiap ahli keluarga boleh meluangkan masa pada hujung minggu dengan membawa keluarga pergi ke tempat tersebut yang ada di depan mata.  Tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang besar untuk menikmati bandar bertemakan hiburan yang sama di luar negara.  Izharlah bahawa dengan adanya bandar idaman saya ini, keluarga yang bahagia sudah pasti dapat dilahirkan dan diperkukuhkan.

Sebagai menggulung tajuk yang diperbincangkan, bandar idaman saya mestilah  berunsurkan mesra alam, memiliki pelbagai prasarana dan kemudahan  yang canggih untuk keselesaan komuniti. Dengan ini, sebagai rakyat Malaysia, saya akan sentiasa memberikan sokongan ke atas projek yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Perbandaran Hijau yang akan menjadi model rintis kepada pembangunan bandar-bandar lain di Malaysia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, bandar-bandar  idaman yang dihasratkan  sudah pasti akan dapat memajukan negara setanding  dengan negara moden serta dapat merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Oleh itu,  masyarakat perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Belajar dari keadaan pentadbiran sekarang dan mempraktikkan dalam pentadbiran akan datang malah berusaha untuk memperbaikinya lagi supaya  semua rakyat Malaysia dapat menikmati kelengkapan kemudahan dan tubuh badan yang sihat dari segi minda mahupun fizikal. Dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa, saya berharap agar bandar idaman saya akan  menjadi realiti sebelum saya menutup mata.




Kerjasama murid-murid  Kelas 5 Berlian 2012

Monday, April 9, 2012

PENULISAN KARANGAN BAHAGIAN B : SPM (KERJAYA)

Soalan:
Dalam pemilihan bidang kerjaya, minat menjadi faktor utama. Bincangkan.

Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?”   Semasa dalam tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan yang diambil. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor, juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan sesuatu bidang kerjaya?  Hakikatnya, minat merupakan salah satu faktor dominan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

Kita dapat menyaksikan betapa minat merupakan faktor paling dominan yang mempengaruhi seseorang dalam pemilihan kerjaya mereka.  Dalam konteks ini, minat juga akan menyebabkan seseorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita mereka.  Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM mahupun STPM. Pelajar haruslah memberikan tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas.  Kesannya, pelajar akan lebih mudah memahami sesuatu pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan dengan senang.  Sikap kesungguhan ini dapat digambarkan melalui peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, seseorang yang mempunyai minat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerjaya yang diidam-idamkannya menjadi kenyataan.

Umum mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat persediaan yang rapi umpama sediakan payung sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam zaman yang serba canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut diberi keutamaan. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah jika seseorang ingin menjadi seorang jurutera,  subjek yang mesti dipilih ialah Lukisan kejuruteraan. Sebagai langkah untuk merealisasikan kerjaya idaman dan cita-cita yang menggunung tinggi ini, pelajar haruslah memilih subjek yang seiring dengan kursus yang dipilih mereka.

     Sesungguhnya, seseorang pelajar sudah pasti mempunyai idola yang ingin dicontohi sebelum mereka menentukan kerjaya masa depan. Biasanya,  idola yang dipilih memang dikagumi dan menepati dengan kerjaya yang dipilihΕΎSebagai contoh, seseorang yang ingin menjadi seorang arkitek, mereka boleh menjadikan arkitek negara yang terkenal dan gah namanya di persada dunia iaitu Hijjas Kasturi sebagai idolanyaBukan itu sahaja, malah segala ketekunan, kegigihan dan kekreatifan beliau akan dijadikan sebagai teladan dalam menggapai kerjaya idaman merekaImpaknya, seseorang yang dijadikan idola seharusnya mampu mempengaruhi pemikiran, tindak tanduk dalam membuat keputusan serta kesungguhan seseorang untuk memastikan kerjaya yang dihasratkan dapat direalisasikanSememangnya,  idola dapat mempengaruhi seseorang dalam membina semangat dan motivasi ke arah menjadikan kerjaya sebagai kenyataan bukannya omong-omong kosong sahaja.


Ironisnya, jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa, sudah tentulah punah harapan mereka.  Hal ini bermakna, seseorang yang hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di peringkat awal lagi.  Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan kedua-dua ibu bapa.  Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka, ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi kriteria yang diperlukan.  Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material mahupun spiritual.  Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan  anak-anak mereka.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan dan dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi mereka bersikap genggam-genggam bara, terasa panas dilepaskan dan tidak ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi. 

Gabungan Idea daripada pelajar-pelajar 5 Berlian 2012

Sunday, April 1, 2012

PENULISAN KARANGAN BAHAGIAN C : PMR

Soalan:
Sejak akhir-akhir ini kegiatan jenayah sering mendapat perhatian daripada pihak media massa.  Keadaan ini amat membimbangkan masyarakat mahupun negara.
Bincangkan langkah-langkah menangani masalah jenayah ini daripada berleluasa.


Sedasarwasa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu kegiatan jenayah.  Isu seperti ini perlu diberi perhatian yang lebih.  Semua pihak sewajarnya bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi isu jenayah yang semakin meruncing membunuh manusia ini.  Antara isu jenayah yang menjadi tumpuan orang ramai ialah membunuh, merompak, memeras ugut dan merogol.  Siapakah yang bertanggungjawab untuk membendung masalah yang semakin berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini.  Oleh hal yang demikian, usaha-usaha yang drastik, pragmatik dan efektif perlu dilaksanakan bagi menangani isu kegiatan jenayah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.


Dalam konteks ini, kerajaan memainkan peranan penting dalam memasang kamera litar tertutup di setiap tempat.  Dengan cara  ini, segala kegiatan yang menyalahi undang-undang dapat dirakamkan dan setiap tindak-tanduk manusia yang mencurigakan dapat diungkai dengan secepat mungkin.  Hal ini demikian kerana dengan memasang kamera litar tertutup di semua tempat, penjenayah akan berasa takut untuk melakukan kegiatan mereka.  Mereka juga akan memikirkan dua kali untuk melakukan jenayah. Sebagai analoginya, pihak kerajaan seharusnya memasang kamera litar tertutup di kawasan tempat parkir kereta kerana berdasarkan perangkaan terkini, statistik tindakan jenayah banyak berlaku di kawasan tempat letak kereta berbanding kawasan-kawasan lain.  Oleh itu, dengan pemasangan kamera litar tertutup di semua tempat, isu jenayah ini dapat dibasmi dan dicegah hingga ke akar umbi.

     Selain itu, para penduduk di setiap presint sewajarnya mengamalkan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian.  Dengan berbuat demikian, keselamatan di kawasan perumahan akan terjamin dan para penduduk tidak akan berasa bimbang dan gusar tentang keselamatan mereka.  Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan kaum dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.  Bagi mengatasi masalah jenayah yang kian serius ini, para penduduk seharusnya memaklumkan jiran terdekat jika hendak ke sesuatu tempat.  Oleh hal demikian, semangat kejiranan begitu penting dalam menghindari sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

     Di samping itu, rondaan yang kerap perlu dilakukan supaya kawasan kediaman berada dalam keadaan aman dan selamat.  Pihak polis dan masyarakat setempat perlu membuat rondaan pada waktu malam secara berterusan.  Dengan cara ini, kes-kes jenayah di kawasan yang kerap berlaku kejadian jenayah dapat dikurangkan.  Sebagai contohnya, pihak polis atau ahli Rukun Tetangga hendaklah melakukan rondaan terutamanya pada musim-musim perayaan pelbagai kaum.  Hal ini demikian kerana, pada musim perayaan statistik kejadian jenayah adalah lebih tinggi berbanding pada hari-hari biasa.  Lantaran itu, pihak polis dan masyarakat setempat perlu mengadakan rondaan lebih kerap lagi bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.

     Natijahnya, jika setiap masyarakat berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah isu-isu jenayah akan merudum dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai sejajar dengan visi kudsi Wawasan 2020.  Oleh hal yang  demikian, semua pihak tidak seharusnya melepaskan batuk di tangga malah perlu merealisasikan matlamat ‘Sifar Jenayah’ kerana jenayah ini ibarat api, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan.  Jadi, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga bagi membanteras kegiatan jenayah ini.

Nukilan  :  Hazreen - Tingkatan 3 Berlian