Sunday, September 4, 2011

KEPENTINGAN AMALAN MEMBACA

SOALAN:
Kempen-kempen untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu diteruskan dan dipelbagaikan kerana banyak kebaikannya. Bincangkan kebaikan membaca kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja.




Pada era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin penting dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.



Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.



Selain itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah rajin membaca supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.

Tambahan pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah. Dengan ini, perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih selesa seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar dapat menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif. Secara eksplisit, pelajar akan mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan daripada bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.



Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.



Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, Negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti Cendawan Tumbuh Selepas Hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain. Kemajuan negara pula perlu disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan. Malah, kita dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik.

Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.

Nukilan : Lim Zhi Kheng – 5 Berlian 2011

1 comment:

  1. good
    Amazing ! I just got 3500 RP code for totally FREE ! Come and download code too


    >> http://RiotPoint.eu/ <<

    ReplyDelete