Friday, October 7, 2011

USAHA-USAHA MENGGALAKKAN SEKTOR PELANCONGAN DI MALAYSIA



Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara.Hal ini demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang lumayan kepada sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, jumlah pelancong ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.  Pelancong Asia Barat menunjukkan peningkatan pada tahun 2006 berbanding tahun 2005.  Jumlah pelancong yang melawat ke Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun tersebut meningkat 44 peratus kepada 7.23 juta berbanding 5.02 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya meskipun keadaan ekonomi serantau yang kurang memuaskan kini. Pada pendapat saya, pelbagai usaha dan aktiviti perlu dijalankan untuk menggalakkan pelancongan di Malaysia.

      Sebagai kesinambungan idea saya, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu melakukan pelbagai usaha untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Kerajaan hendaklah menggiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun hangat-hangat tahi ayam. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan di Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini demikian juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati. Natijahnya, industri pelancongan negara kita dapat bersinar dan terserlah ke seluruh dunia dan dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain.

        Selain itu, pihak swasta haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan membuka pusat-pusat percutian yang bertaraf dunia agar industri pelancongan negara kita dapat bersaing dengan negara-negara lain di dunia. Hal ini serupa dengan bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Inisiatif ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyak pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong . Sebagai analoginya, tindakan yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Bagi membuktikan perkara ini, perangkaan yang boleh diketengahkan ialah pertambahan ketibaan pelancong antarabangsa dan pertumbuhan pelancongan domestik yang kukuh telah menyumbang kepada peningkatan kadar penginapan hotel purata daripada 59.2 peratus pada tahun 2000 kepada 63.5 peratus pada tahun 2005. Pendek kata, sekiranya langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik dijalankan secara berterusan sudah tentu kedatangan pelancong ke Malaysia bagaikan di mana ada gula di situ ada semut.

       Selain itu, seharusnya kita tidak mengetepikan peranan sekolah dan peranan ibu bapa dalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Memang diakui bahawa peranan sekolah dan ibu bapa amat penting dalam pendidikan anak. Ibu bapa yang menjadi guru di rumah haruslah mengasuh anak dengan sikap melentur buluh biarlah dari rebungnya tidak harus kita ketepikan kerana api tatkala kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. Hal ini supaya anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial seperti vandalisme yang menjatuhkan imej negara kita semasa pelancong dari luar negara datang ke negara kita. Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah berperanan dalam menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia. Oleh itu, subjek yang memperkenalkan Malaysia seperti Geografi dan Sejarah harus banyak diperkenalkan oleh guru Sejarah. Kelab Pelancongan boleh ditubuhkan bagi memupuk minat pelajar untuk melancong. Seterusnya, pihak sekolah juga bolah manganjurkan aktiviti seperti lawatan sambil belajar dan pertandingan membuat folio tentang tempat pelancongan untuk mendalami ilmu pengetahuan pelajar tentang tempat pelancongan tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menampilkan filem tentang adat resam dan keistimewaan berkaitan tempat pelancongan seperti di Sabah dan di Sarawak. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membawa anak mereka melancong supaya mereka tidak menjadi katak di bawah tempurung. Hal ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara keluarga tetapi juga dapat merehatkan minda sekeluarga. Oleh itu, peranan ibu bapa dan sekolah penting dalam menggalakkan pelancongan di Malaysia.

       Ketika negara dan rakyat sedang rakus dan ghairah memburu kemajuan, kita sebagai masyarakat terlupa menjimatkan pengaliran keluar wang negara. Apabila melancong di negara kita, wang perbelanjaan untuk pelancongan diperolah semula oleh kerajaan melalui cukai yang dikenakan. Sekiranya melancong ke luar negara, segala perbelanjaan diperoleh oleh rakyat dan kerajaan negara asing. Perkara ini akan merugikan diri sendiri serta negara. Di samping itu, melancong dalam negara dapat menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Dengan mengunjungi tempat-tempat yang belum pernah dilawati, kita dapat menambahkan pengetahuan dan mengenali secara lebih mendalam dan lebih dekat dengan khazanah warisan bangsa di tanah air kita. Tambahan pula, kita dapat mengetahui keunikan budaya dan tradisi masyarakat serta panorama di negeri-negeri lain di Malaysia. Dengan aktiviti melancong di dalam negara, kita akan mengetahui apa-apa yang ada, yang kurang, yang perlu ada di tempat berkenan berbanding dengan tempat sendiri, kemudian menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negara. Kita harus melancong di negara sendiri demi menghayati warisan khazanah bertaraf dunia yang masih belum dilawati.

Deduksinya, pelbagai usaha dan kempen perlu diteruskan dan dipergiat untuk menarik lebih banyak pelancong agar melancong ke negara kita. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan di negara kita. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat negara kita perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat industri pelancongan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Sekiranya rakyat dan pelbagai pihak tidak bekerjasama, sudah tentulah matlamat untuk memajukan ekonomi negara kita tidak akan tercapai. Oleh itu, kejayaan dalam sektor pelacongan di negara kita dapat direalisasikan sekiranya semua pihak berusaha memajukan industri pelancongan kerana peribahasa ada mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

[823 patah kata]

Oleh; LEE YEE, XUE LI,SIN YEE, AMUNA – 5 BERLIAN 2011

KEPENTINGAN SUNGAI

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sungai merupakan nadi kehidupan kita. Namun begitu, selaras dengan peralihan zaman, masalah pencemaran air semakin menjadi-jadi. Pencemaran yang berlaku telah mengakibatkan kawasan tadahan air dimusnahkan. Hal ini juga telah banyak memberikan implikasi yang buruk kepada manusia dan hidupan lain, terutamanya hidupan akuatik. Pembuangan sampah sarap dan sisa toksik ke dalam sungai telah membawa kepada pencemaran sungai. Sungai yang tercemar akan menjadi semakin cetak dan mudah menyebarkan penyakit kencing tikus. Lama-kelamaan, dunia juga akan menghadapi krisis bekalan air bersih. Dengan ini, kita wajiblah mengekalkan kebersihan sungai sebelum keadaan sungai menjadi teruk kerana sediakan payung sebelum hujan.


Sejak zaman lampau lagi, sungai telah memainkan peranannya yang penting dalam kehidupan harian kita. Sungai merupakan sumber bekalan air yang utama kepada manusia dan haiwan. Manusia menggunakan air untuk pelbagai tujuan seperti sebagai air minuman dan kegunaan domestik. Bekalan air yang bersih sangat penting dalam kegunaan harian supaya peralatan yang kita guna akan sentiasa dicuci dengan bersih. Hal yang demikian kerana peralatan yang kotor lazimnya mempunyai bakteria pada permukaanya yang akan mempengaruhi kesihatan kita. Jika peralatan berkenaan tidak dicuci sehingga bersih, kuman-kuman seperti pada permukaan pinggan akan masuk ke dalam badan kita. Lanjutan itu,kita akan menghidap sesuatu penyakit. Jelaslah bahawa betapa pentingnya sungai dalam kehidupan harian kita. Oleh itu,cintailah sungai kita dengan memelihara dan memulihara sungai supaya dapat memastikan bekalan air bersih yang berterusan.


Tambahan pula, sungai membekalkan makanan dan pendapatan kepada manusia. Sungai merupakan habitat haiwan akuatik seperti ikan, udang dan ketam yang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terdapat dalam ikan, udang dan ketam sangat tinggi. Pengambilan protein yang mencukupi membolehkan tumbesaran badan kita berkembang dengan seimbang. Sementara itu, sungai mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan. Hal ini kerana sungai memberi rezeki kepada mereka yang menetap berhampiran sungai dengan melakukan aktiviti menangkap hasil sungai seperti ikan dan udang. Tuntasnya, kita seharusnya menyayangi sungai yang membekalkan makanan dan pendapatan kepada kita.


Peranan sungai juga dapat dilihat apabila sungai dijadikan sebagai tempat rekreasi dan pelancongan. Hal ini kerana sungai mempunyai landskap yang menarik. Sebagai contohnya, Negara Endau-Rompin yang terletak di legeh sungai Endau dan sungai Rompin telah dijadikan sebagai kawasan rekreasi yang menjadikan tarikan pelancongan. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di kawasan tersebut seperti berkayak,menjejaki hutan, memancing dan berkelah. Selain itu, sungai digunakan untuk menjana hidroelektrik dengan membina empangan untuk membekalkan sumber tenaga kepada rakyat. Empangan yang dibina juga berpotensi menjadi suatu kawasan pelancongan yang menarik. Secara langsung dan tidak langsung, sektor pelancongan negara akan berkembang pesat. Oleh itu, kita sewajarnya mengekalkan kebersihan air sungai supaya kawasan sungai dapat dijadikan sebagai tempat pelancongan.


Sungai juga memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan dan perhubungan. Hal ini disebabkan oleh sungai telah menjadi jalan perhubungan utama untuk menghubungkan kawasan pedalaman dengan kawasan bandar. Kawasan yang tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya juga dapat dihubungkan dengan menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara kita dengan mempunyai pengangkutan darat, udara dan air. Sebagai contoh, sungai dapat mengangkut kayu balak dari hutan ke kawasan bandar. Hal ini bukan sahaja menjimatkan tenaga pekerja, malah juga dapat menjimatkan kos pengangkutan. Dengan ini, kita mestilah menyayangi sungai supaya fungsinya sebagai medium pengangkutan dan perhubungan dapat dilestarikan.

Kesimpulannya, kepentingan sungai kepada manusia memang sudah dikawal pasti sejak zaman-berzaman. Sungai memainkan peranan yang besar dalam membekalkan makanan dan minuman kepada manusia. Pada masa dahulu sungai telah dijadikan sebagai jalan perhubungan antara satu tempat ke satu tempat yang lain. Bagi memelihara sungai, pelbagai prakarsa telah dijalankan oleh pihak berkuasa seperti Kempen Cintai Sungai. Sungai yang tercemar akan memudaratkan kehidupan. Oleh itu, wajarlah sungai dipelihara untuk tatapan generasi akan datang bagi menjamin kesinambungan kehidupan di muka bumi ini.
[608 patah kata]

Nukilan ; Kumpulan Koh Yan Chyi 5 Berlian 2011

Saturday, September 24, 2011

Karangan Cemerlang Bahagian B - Percubaan SPM Johor 2011

USAHA-USAHA YANG PERLU ANDA LAKUKAN UNTUK MENJADIKAN MEMBACA AMALAN HIDUP

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan pada hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa. Mereka lebih terdorong dan gemar melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah mereka melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh mereka khususnya dengan membaca? Apakah yang dimaksudkan dengan membaca dan apakah kepentingannya? Membaca didefinisikan sebagai memerhati sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandunganya. Kepentingannya pula adalah untuk melahirkan individu yang berilmu pengetahuan. Hal ini kerana, membacalah yang menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan.


Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Hal ini amat berbeza bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun . Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara yang buruk dibuang, dengan runding yang baik ditarik dengan muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, tanpa menuding jari ke arah orang lain kerana dikhuatiri bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri, sebagai seorang pelajar dan remaja kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan membaca itu amalan hidup.


Prakarsa pertama ialah remaja perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada mempelihatkan Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan. Tamsilnya, perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di sini, remaja dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Walaupun perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak dapat diterokai, remaja perlulah sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca. Walaupun sekadar sebuah buku seminggu, ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Remaja juga boleh melakukan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti – universiti terkemuka di Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri , remaja juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ, bak peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan itu , remaja perlulah rajin mengunjungi perpustakaan agar sentiasa terdorong untuk membaca.


Selain itu , remaja juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini , remaja perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam Buku Nilam. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Remaja juga perlu menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada masa senggang . Aktiviti ini jauh lebih baik berbanding remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa remaja ke arah negatif. Daripada remaja membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja, remaja perlu mengisinya dengan membaca kerana Masa itu emas. Marcus Aurelis pernah berkata, “jangan membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang baik, sebaliknya mulakan dengan diri sendiri dahulu” . Di sini jelaslah bahawa remaja itu sendiri perlu menggalakkan dirinya agar melakukan sesuatu yang baik. Dengan itu, remaja perlulah sentiasa menggalakkan diri sendiri agar sentiasa membaca ketika waktu senggang.

Seterusnya , remaja juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan . Buku- buku atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja tetapi juga bercorak santai . Tamsilnya, Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi . Di manakah remaja boleh melanggan buku-buku tersebut ? Remaja boleh melanggannya di kedai-kedai buku , internet atau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggan. Impaknya, remaja akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Remaja perlulah sentiasa berusaha mencari pelbagai jenis buku dengan cara melanggan buku pada setiap bulan. Persis kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Remaja juga boleh menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola . Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Diraja Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis tersohor, Sharifah Abu Salim . Apabila remaja menjadikan mereka sebagai idola, remaja akan sentiasa terdorong untuk membaca dan menjadi seperti mereka. Positifnya, remaja akan sentiasa menjadikan idola mereka itu sebagai hala tuju. Hal ini kerana, ketekalan dan kejituan mereka dalam usaha menulis buku untuk dijadikan bahan rujukan harus dihargai dan dijadikan pendorong . Walaupun kini maklumat di hujung jari tetapi tidak mungkin maklumat yang diperoleh itu menyamai secara total seperti yang ditulis oleh mereka. Hal ini kerana, hanya jauhari yang mengenal manikam . Justeru, remaja haruslah menjadikan tokoh-tokoh tersohor ini sebagai idola berbanding dengan menjadikan artis sebagai pujaan hati mereka.


Prakarsa seterusnya ialah berkawanlah dengan rakan sebaya yang gemar membaca atau lebih dikenali sebagai ulat buku. Hal ini demikian kerana, pengaruh rakan sebaya amat kuat semasa peringkat remaja. Malah, Saidina Ali bin Abi Talib juga ada mengatakan, “selemah-lemah manusia adalah orang yang tidak dapat mencari rakan dan orang yang lemah daripada itu adalah orang yang mensia-siakan sahabat yang dicari”. Melalui kata-kata ini, dapatlah disimpulkan bahawa rakan itu amat besar nilainya dan rakanlah yang dapat memberi kita pelbagai faedah. Dengan itu , remaja perlulah arif memilih rakan seperti rakan yang rajin membaca. Jika remaja tersilap langkah dalam memilih rakan, tidak mustahil mereka akan menjadi duri dalam daging dalam hidup kita.

Konklusinya , sebagai seorang remaja kita perlulah sentiasa berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah biarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan “Membaca itu Jambatan Ilmu”< dan “Rakyat Membaca , Bangsa Berjaya” seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kita , Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak “generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju”.
[971 patah kata]

Sumber : Panel Perunding Bahasa Melayu JPNJ

Saturday, September 10, 2011

Karangan Cemerlang Bahagian A - Percubaan SPM Johor 2011

SOALAN:

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan membeli barangan buatan tempatan. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Sejajar dengan landaan gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigma ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-agungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam sambil minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.

Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara yang tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa sebenarnya “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih rebung, mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.” Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.” Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat mencapai aspirasi negara menjadi negara industri.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata masyarakat bak peribahasa “bagai serampang dua mata” dan “bagai makan menanak nasi.” Oleh hal yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!
[610 patah kata]

SUMBER : PANEL PERUNDING BAHASA MELAYU JPNJ

Tuesday, September 6, 2011

PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA


KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM

Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.

Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.

Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.

Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.

Karya : Rapii B. Salam

Monday, September 5, 2011

PERBANDINGAN NOVEL MELUNAS RINDU DAN KABUS DI PERBUKITAN




SOALAN NOVEL 2011
PERBANDINGAN TEMA
• Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan tema dalam setiap novel itu. [8 markah]
• Tema merupakan perkara pokok yang dibincangkan dalam sesebuah novel. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan tema dalam setiap novel itu. [8 markah]

Contoh Jawapan

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan.

Dalam novel Melunas Rindu, tema yang dikemukakan ialah kasih sayang seorang saudara baru terhadap ahli keluarga dan sesama manusia. Buktinya, Fuad yang mempunyai perasaan sayang yang mendalam terhadap ibu kandung sehingga menyebabkan dia sanggup mencari pusara ibunya tetapi setelah mengetahui ibunya masih hidup dia cuba menjejakinya. Akhirnya dia berjaya menemui ibunya yang juga merupakan ibu kepada Farhana. Selain itu, kasih sayang Fuad terhadap kedua-dua ibu bapa angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah menyebabkan Fuad sanggup membelikan tanah, motorsikal dan membawa mereka berdua mengerjakan umrah ke Tanah Suci.

Manakala dalam novel Kabus Di Perbukitan pula mengemukakan tema jati diri dan kasih sayang seorang wanita terhadap ahli keluarganya dan juga tanah airnya. Sebagai contohnya, Faridah sangat sayang akan ibunya, buktinya dia sanggup menjaga ibunya dan tidak berpindah apabila suaminya, Ghazali bertugas di Kelang. Bukti lain, Faridah juga sangat sayang kepada Rahayu, adik kembarnya yang terpisah. Kekuatan kasih sayang itu menyebabkan Faridah seolah-olah dapat berhubung secara bawah sedar dengan Rahayu ketika Faridah berada dalam keadaan koma. Seterusnya, kasih sayang terhadap kampung halaman dan jati dirinya sebagai orang Melayu. Buktinya, Faridah tetap ingat akan kampung halamannya di Sungai Besar walaupun berada jauh di negeri orang. Malah Faridah juga tetap mengamalkan budaya Melayu ketika berada di New Zealand.


PERBANDINGAN PERSOALAN

• Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, bandingkan persoalan kasih sayang daripada setiap novel. [8 markah]

• Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, bandingkan persoalan yang terdapat dalam novel tersebut.
[8 markah]

Contoh Jawapan

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan.

Persoalan yang pertama ialah persoalan kasih sayang terhadap ibu. Dalam novel Melunas Rindu, persoalan ini jelas ada pada watak Fuad yang amat merindui ibunya yang telah lama terpisah. Dia sanggup mencari kubur arwah ibunya. Setelah dia mengetahui bahawa ibunya masih hidup, dia meneruskan pencarian dan segera menjejakinya. Manakala dalam novel Kabus Di Perbukitan pula, persoalan ini digambarkan pada watak Faridah yang sangat sayang akan ibunya, buktinya dia sanggup menjaga ibunya dan tidak berpindah apabila suaminya, Ghazali bertugas di Kelang.

Persoalan kedua ialah persoalan kasih sayang terhadap saudara kandung. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad sangat menyayangi Sofia dan Farhana kerana kedua-dua mereka adalah saudara kandungnya yang berlainan bapa. Sementara dalam novel Kabus Di Perbukitan, Faridah juga sangat sayang kepada Rahayu, adik kembarnya yang terpisah. Kekuatan kasih sayang itu menyebabkan Faridah seolah-olah dapat berhubung secara bawah sedar dengan Rahayu ketika Faridah berada dalam keadaan koma.

Persoalan lain ialah ketaatan kepada Tuhan dan ajaran agama iaitu Fuad sebagai saudara baru tekun mempelajari agama. Dia belajar mengaji daripada Pak Ismail dan selalu mengerjakan solat berjemaah di surau. Fuad tidak pernah meninggalkan solat waima dalam perjalanan pulang ke kampung atau pada masa kecemasan. Manakala dalam Novel Kabus Di Perbukitan pula ialah Faridah taat pada agama dan sentiasa mematuhi ajaran agama walaupun telah lama tinggal di New Zealand. Faridah mementingkan pendidikan agama kepada anak-anaknya, seusia 6 tahun anaknya telah dihantar belajar agama.


PERBANDINGAN WATAK UTAMA

• Kegigihan watak utama banyak dihuraikan dalam novel.
Berdasarkan dua novel yang anda kaji, huraikan peristiwa yang menunjukkan kegigihan watak utama menjalani kehidupan mereka. [8 markah]


Contoh Jawapan:

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu (MR) manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan (KDP). Watak utama dalam novel MR ialah Fuad manakala watak utama dalam novel KDP ialah Faridah.

Dalam novel MR, kegigihan watak utama iaitu Fuad dapat dilihat apabila dia berusaha mencari ibu kandungnya, Mariana yang dikatakan telah meninggal dunia tetapi sebenarnya masih hidup. Selain itu, Fuad juga gigih menjalani kehidupan sebagai saudara baru dalam Islam.

Manakala dalam novel KDP, kegigihan watak utama iaitu Faridah yang gigih menghadapi cabaran tinggal di negara asing yang berbeza budaya dan agama. Selain itu, kegigihan Faridah yang bekerja di pusat penyembelihan sebelum berkahwin dengan Soleh Johsons.


• Berdasarkan dua novel yang anda kaji, bandingkan perwatakan watak utama yang terdapat dalam novel. [8 markah]


Contoh Jawapan

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu (MR) manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan (KDP). Watak utama dalam novel MR ialah Fuad manakala watak utama dalam novel KDP ialah Faridah.

Perbandingan perwatakan watak utama ialah taat kepada agama dan perintah Tuhan. Dalam novel MR, Fuad Sebagai saudara baru dalam Islam, dia tekun mengaji al-Quran sementara menunggu waktu Isyak, dan mendalami ilmu agama daripada Pak Ismail. Manakala dalam novel KDP ialah Faridah taat pada agama dan sentiasa mematuhi ajaran agama walaupun telah lama tinggal di New Zealand dengan mementingkan didikan agama kepada kedua-dua anaknya.

Perbandingan kedua ialah tabah. Dalam MR, Fuad tabah menghadapi kenyataan bahawa orang yang dicintai iaitu Sofia dan Farhana ialah adiknya sendiri. Manakala dalam KDP, Faridah tabah menghadapi cabaran di rantau orang iaitu New Zealand seorang diri selepas kematian ibu dan suaminya.

Perbandingan perwatakan yang ketiga ialah penyayang. Dalam novel MR, Fuad begitu menyayangi kedua-dua ibu bapa angkatnya sehingga membelikan motosikal dan tanah untuk Pak Ismail dan membawa mereka berdua menunaikan umrah di Mekah. Manakala dalam novel KDP, Faridah sayang akan ibunya Salmah sehingga sanggup menemani ibunya dan tidak mahu berpindah mengikut suaminya yang bekerja di Kelang.

Sunday, September 4, 2011

KEPENTINGAN AMALAN MEMBACA

SOALAN:
Kempen-kempen untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu diteruskan dan dipelbagaikan kerana banyak kebaikannya. Bincangkan kebaikan membaca kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja.




Pada era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin penting dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.



Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.



Selain itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah rajin membaca supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.

Tambahan pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah. Dengan ini, perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih selesa seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar dapat menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif. Secara eksplisit, pelajar akan mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan daripada bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.



Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.



Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, Negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti Cendawan Tumbuh Selepas Hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain. Kemajuan negara pula perlu disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan. Malah, kita dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik.

Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.

Nukilan : Lim Zhi Kheng – 5 Berlian 2011

BELILAH BARANGAN BUATAN MALAYSIA 2 - KEPENTINGAN


KEPENTINGAN MEMBELI BARANGAN TEMPATAN

Zaman beralih musim bertukar, kini Malaysia berdiri gah sebaris dengan negara-negara maju selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun. Dasawarsa ini, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali dan telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan mula membuka kawasan perindustrian dalam pelbagai lapangan bagi merancakkan ekonomi negara yang pesat membangun. Situasi ini juga memungkinkan pengeluaran barang buatan Malaysia lebih berkualiti dan setaraf dengan barangan import. Bagi menggapai visi kudsi Wawasan 2020 seperti yang diwara-warakan oleh bekas perdana menteri yang keempat, wajarlah sektor perindustrrian disokong sepenuhnya untuk dinaik taraf bagi memenuhi kehendak pasaran. Oleh itu, kepentingan dalam membeli barangan buatan Malaysia perlu diuar-uarkan dan dipergiat bagi membuka mata rakyat tempatan agar mereka tidak menganaktirikan produk sendiri.

Kepentingan dalam membeli barangan buatan Malaysia yang paling dominan ialah dapat mengelakkan pengaliran mata wang negara kita ke luar negara. Mata wang Malaysia tidak akan mengalir keluar jika rakyat Malaysia sendiri mengutamakan dan membeli barangan tempatan dalam memenuhi keperluan harian mereka. Dana utama negara juga akan meningkat sekali gus akan dapat membendung masalah inflasi. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mengubah tanggapan negatif yang beranggapan bahawa barangan import lebih baik daripada barangan tempatan. Jelaslah bahawa apabila semua rakyat tempatan memilih dan membeli produk tempatan, kita sebenarnya telah berjaya mengawal mata wang kita daripada mengalir ke luar negara.

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pembelian barangan tempatan dapat menjimatkan pembelian seseorang. Umum mengetahui bahawa membeli barangan import jauh lebih mahal berbanding membeli barangan tempatan. Ramai yang memberikan persepsi biar papa asal bergaya dan alah membeli menang memakai. Pengguna yang mementingkan jenama sanggup berhabis wang untuk membeli barangan import berjenama dengan memandang sebelah mata sahaja bagi barangan tempatan yang sama. Bagi mereka, harga yang mahal itu setanding dengan kualiti sesuatu produk. Sesungguhnya, barangan tempatan lebih murah malah kualitinya juga setanding dengan barangan import. Sebagai contoh, kereta-kereta nasional yang berkualiti seperti Myvi, Viva kini Inspira. Tuntasnya, pembelian barangan tempatan dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat Malaysia.

Pembelian barangan buatan Malaysia juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu berdiri di atas kaki sendiri. Hal ini adalah kerana Malaysia telah berjaya menghasilkan enjin kenderaan berkuasa tinggi untuk perlumbaan Formula Satu (F1). Fenomena ini jelas menggambarkan bahawa Malaysia mampu mengeluarkan produk bertaraf dunia sejajar dengan wawasan negara. Kalau bukan rakyat Malaysia yang menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Tepuk dada, tanya selera. Dalam hal ini, bagi menunjukkan semangat patriotik rakyat Malaysia haruslah menjayakan kempen Belilah Barangan Malaysia dalam merealisasikan aspirasi negara menjelang 2020 nanti.

Berbangga dengan barangan Malaysia sebenarnya dapat membantu anak bangsa kita sendiri. Cuba kita bayangkan jika rakyat Malaysia mengagung-agungkan produk asing? Apakah yang akan terjadi kepada pengusaha tempatan? Sudahlah kita tidak membantu anak bangsa sendiri malah kita mencurahkan pasir ke periuk nasi mereka. Oleh itu, insaflah anak watan yang begitu memandang tinggi terhadap barangan import sehingga memperlekehkan barangan tempatan. Sedarlah bahawa barangan tempatan pun sama hebatnya dengan barangan import. Jadi, belilah barangan tempatan kerana secara implisitnya dapat membantu anak bangsa sendiri.

Sebagai intihanya, mengutamakan barangan tempatan banyak mendatangkan kepentingan kepada rakyat tempatan. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan bermaruah, mereka hendaklah mengikis sikap ego agar negara kita tidak runtuh. Rakyat Malaysia perlulah menyokong kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia demi kebaikan rakyat dan negara. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, menggemblengkan usaha dalam menjayakan kempen ini kerana Bersatu teguh, Bercerai Roboh. Tanpa komitmen dan sokongan daripada rakyat Malaysia, sudah tentu sukar untuk mengangkat martabat produk tempatan apatah lagi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

[568 patah kata]


SOALAN:

Sikap mengutamakan barangan buatan tempatan banyak memberikan manfaat kepada rakyat. Dengan berdasarkan hakikat ini, tulis rencana yang menyentuh pelbagai manfaat amalan tersebut kepada rakyat dan negara ini.

Faedah Mengutamakan Barangan Buatan Tempatan
Oleh : Noor Azmi bin Hashim


Kejatuhan nilai ringgit sejak bulan Julai 1997 yang Ialu telah menjerumuskan Malaysia dalam kancah kegawatan ekonomi yang agak teruk. Nilai ringgit yang pada suatu ketika dahulu hanya sekitar RM2.50 bagi setiap AS$1.00 kini mencecah angka RM3.80 bagi setiap AS$1.00. Keadaan sebegini memberikan impak yang buruk kepada ekonomi negara. Harga barang semakin meningkat, manakala harga saham semakin menjunam hingga menyebabkan banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar. Sebagai akibatnya, ribuan pekerja menjadi penganggur.

Untuk berdepan dengan situasi begini, pelbagai langkah perlu diambil. Salah satu caranya ialah mengamalkan sikap berjimat cermat. Setiap rakyat Malaysia daripada segenap lapisan perlu mempraktikkan amalan berjimat dalam perbelanjaan harian mereka. Jika selama ini sikap terlalu mengagung-agungkan barangan luar negara begitu ketara, kini tibalah masanya mereka memartabatkan barangan buatan tempatan. Dengan kata-kata lain, rakyat Malaysia perlu mengubah persepsinya terhadap barangan buatan tempatan.

Tak kenal maka tak cinta. Sebenarnya, banyak manfaatnya mengutamakan barangan buatan tempatan ini. Dari segi harga, temyata bahawa barangan buatan tempatan lebih murah jika dibandingkan dengan harga barangan import. Hal ini dapat dibuktikan dengan harga motosikal buatan tempatan, iaitu Kriss. Harga motosikal tersebut, yang berkuasa kuda 110 ialah sekitar RM4500.00 sebuah. Sebaliknya harga sebuah motosikal buatan Jepun yang mempunyai kuasa kuda yang sama melebihi RM5000.00. Hal ini bermakna bahawa dengan membeli barangan buatan tempatan, seseorang itu dapat menjimatkan perbelanjaan untuk memiliki barangan yang sama.

Selain harganya murah, kualiti barangan buatan tempatan setanding juga dengan kualiti barangan import, malah ada yang lebih baik mutunya sehingga menarik minat pelancong asing dan pelbagai pihak di luar negeri. Barangan daripada kulit, seperti kasut, beg, dompet, dan sebagainya mendapat tempat yang istimewa di hati para pelancong dan para pengimport luar negeri. Kasut Bata keluaran Malaysia, misalnya, pernah mengalahkan kasut buatan negara lain dalam suatu pertandingan kualiti kasut dalam satu pesta antarabangsa di ltali. Lebih daripada itu, Malaysia adalah antara pengeluar alat pendingin hawa yang terbaik di dunia dan diberikan pengiktirafan oleh banyak badan standard kualiti antarabangsa. Jika orang luar memandang tinggi terhadap barangan buatan tempatan, sepatutnya rakyat Malaysia lebih menghargai dan mengiktirafnya.

Dengan membeli barangan buatan tempatan, rakyat Malaysia dapat juga membantu perkembangan industri setempat. Sambutan yang diberikan terhadap sesuatu barangan tempatan akan memungkinkan syarikat tersebut meluaskan pasarannya sehingga ke luar negeri. Keadaan ini akan meningkatkan kemakmuran negara dan sekali gus akan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia juga. Sambutan yang diberikan terhadap kereta Proton, misalnya, telah memungkinkan pengeluarnya memasarkan kenderaan tersebut hingga ke Britain, Filipina, Singapura, Brunei dan negara-negara lain.

Perkembangan industri tempatan akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat setempat. Apabila barangan buatan tempatan mendapat sambutan, maka pengeluaran atau produktivitnya tentulah meningkat. Industri akan bertambah maju dan secara tidak langsung keadaan ini akan mengurangkan kadar pengangguran yang dihadapi negara. Sedikit banyak perkembangan ini dapat mengurangkan masalah sosial yang berpunca daripada masalah pengangguran. Di samping itu, perkembangan yang sihat ini dapat juga membantu rakyat Malaysia menikmati pelbagai prasarana yang diperlukan.

Manfaat yang lebih penting daripada amalan membeli barangan buatan tempatan, khususnya dalam keadaan ekonomi yang muram sekarang, ialah tindakan itu dapat membantu negara mengurangkan kesan kegawatan ekonomi. Hal ini demikian kerana, amalan ini dapat menyekat pengaliran keluar mata wang tempatan dan mengurangkan import. Sebagai hasilnya, nilai ringgit dapat distabilkan daripada kedudukannya sekarang.

Dengan nilai ringgit yang rendah, harga barangan import sekarang secara relatif menjadi lebih mahal daripada harganya dahulu. Keadaan tersebut sudah tentulah meningkatkan perbelanjaan harian rakyat Malaysia. Untuk berdepan dengan situasi itu, alternatif yang terbaik yang sepatutnya diamalkan oleh rakyat Malaysia sejak dahulu lagi ialah memberikan sokongan terhadap barangan tempatan. Berikanlah kerjasama terhadap kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang melanda negara. Barangan buatan Malaysia kebanggaan kita bersama. (600 patah perkataan)

Sumber : www.scribd.com

BARANGAN BUATAN MALAYSIA - CARA-CARA


CARA-CARA MENGGALAKKAN PENGGUNA TEMPATAN MEMBELI BARANGAN MALAYSIA

Ketika menyambut hari Kemerdekaan yang baru berlalu, sebagai rakyat Malaysia kita berasa bangga kerana ibu pertiwi kita telah berjaya melepaskan diri daripada belenggu penjajah dan berjaya menempa nama di persada dunia. Salah satu kejayaan tanah air kita ialah barang buatan Malaysia telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kereta buatan Malaysia seperti Myvi dan Proton telah dijual di banyak negara, termasuk England, Australia dan lain-lain lagi. Ironinya, rakyat Malaysia masih ragu-ragu terhadap kualiti barangan Malaysia. Lantaran, semua pihak yang terlibat patut mengaturkan strategi yang bersepadu untuk menggalakkan rakyat kita membeli barangan Malaysia supaya mata wang Malaysia tidak mengalir ke luar negara.

Sesungguhnya, pihak media massa memainkan peranan yang signifikan untuk menggalakkan anggota masyarakat kita supaya membeli barangan Malaysia. Kempen Beli Barangan Malaysia harus dijalankan atas kerjasama media massa dan Kementerian Perdagangan Dalam Negara, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai iklan, dokumentari, rancangan, wawancara dan sebagainya harus disiarkan dalam siaran televisyen, radio, surat khabar dan majalah. Pihak berkenaan harus mengadakan pertandingan kuiz, melukis poster, menulis esei, dan lagu patriotik bersempena dengan kempen tersebut. Kata orang tua-tua, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Dengan propaganda daripada pihak media, kempen tersebut dapat mencelikkan minda pengguna kita supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.”

Untuk menjamin kualiti barangan Malaysia dan memberikan jaminan tentang mutu barangan Malaysia, para pengusaha sama ada kaum petani, pengusaha industri kecil dan sederhana serta usahawan korporat harus memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% pendapatan mereka sebagai belanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Pengusaha kita harus mengaplikasikan budaya R&D sebagai budaya perniagaan mereka. Mereka harus berusaha meningkatkan mutu barangan hasil mereka sama ada bahan pertanian, penternakan atau buatan kilang sehingga mencapai kriteria ISO atau SIRIM. Dengan ilmu sains dan teknologi yang canggih, barangan Malaysia bukan sahaja perlu bermutu malah harus terjamin dari segi kesihatan, keselamatan dan mesra alam. Selain kualiti, para pengusaha harus sentiasa meneliti, mengkaji dan menyiasat cinta rasa trend semasa, keinginan pasaran serta pembungkusan yang unik. Perniagaan yang tradisional tidak dapat bersaing dalam dunia perdagangan yang penuh dengan cabaran dan kompetitif. Salah contoh yang nyata ialah setiap tahun, Syarikat Nokia dan Apple telah berbelanja berpuluh-puluh bilion ringgit dalam penyiasatan dan pembangunan supaya produk mereka sentiasa di takuk mercu di pasaran dunia. Lantaran R&D merupakan pendekatan yang ampuh untuk mengadaptasikan barangan Malaysia kepada pasaran tempatan dan dunia. Seperti pepatah Cina, “ketika menongkah arus, kita tidak maju ke depan bermaksud kita telah mundur.”

Pada masa yang sama, pihak swasta harus bertindak proaktif untuk mempromosikan barangan Malaysia. Salah satu tindakan yang maslahat ialah mengadakan ekspo di seluruh negara. Pengeluar harus bergabung tenaga untuk memperkenalkan barangan mereka kepada para pengguna. Ketika ekspo diadakan, jurujual atau jurucakap syarikat tersebut dapat memperkenalkan produk syarikat secara langsung kepada pengguna tentang keistimewaan dan keunikan produk mereka. Sebagai contohnya, ekspo kosmetik dan makanan herba tempatan boleh diadakan untuk memperkenalkan barangan buatan Malaysia yang juga tidak kurang mutunya dengan bahan kosmetik atau makanan kesihatan luar negara, seperti ditanggung halal, menggunakan bahan semula jadi dan boleh digunakan tanpa waswas. Sehubungan dengan itu, ekspo buah-buahan tempatan, ekspo fesyen pakaian tempat dan ekspo industri kecil dan sederhana juga patut diadakan dari semasa ke masa. Hakikatnya, Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3 telah berjaya mengadakan ekspo barangan Malaysia kepada pengguna dan berjaya mendapat sambutan yang hangat. Pengeluar kita harus bersikap komitmen bagai genggam bara api biarlah sampai jadi arang. Keikhlasan dan kesungguhan mereka pasti dapat menarik perhatian pengguna kita untuk membeli produk Malaysia.

Di samping itu, Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara juga dapat menggalakkan pelancong asing dan pengguna tempatan untuk membeli produk Malaysia. Pihak berkenaan harus menetapkan bahawa hanya barangan Malaysia yang akan ditawarkan potongan harga yang istimewa. Atas tajaan pengeluar kilang, premis perniagaan seperti gedung beli-belah, pasar raya besar terutamanya Giant, Jasco, Tesco, Mertojaya, Parkson dan sebagainya boleh mengadakan jualan megah atau jualan murah tentang barangan Malaysia secara besar-besaran. Jika harga barangan Malaysia sangat menawan, para pengguna pasti tertarik hari untuk membelinya. Para pelancong juga turut terpukau oleh potong harga yang istimewa. Di samping memajukan industri pelancongan, Karnival Membeli-belah Malaysia juga dapat melariskan barangan Malaysia. Hal ini bagai menyelam sambil minum air.

Sementelahan pula, pihak sekolah perlu menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja kita supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, nilai cinta akan negara boleh disuntik kepada generasi muda kita. Kita patut mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Hyundai. Jika pelajar kita telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.

Natijahnya, rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan: 1Malaysia Menjana Transformasi. Seisi negara patut seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Negara kita, tanggungjawab kita. Marilah kita berbangga terhadap barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

JOM PUASA SUNAT 6 HARI SYAWAL


PUASA ENAM DIBUAT BERTERUSAN LEBIH AFDAL

Ramadan melabuhkan tirainya dengan penuh kesyahduan dan pengharapan supaya dipertemukan lagi dengan Ramadan tahun depan. Keriangan terpancar di wajah mereka yang menyambut hari raya sebagai tanda kemenangan menghadapi ujian Ramadan lalu.

Orang yang beriman hendaklah yakin dengan apa yang diperoleh daripada Ramadan yang baru berlalu iaitu mendapat ganjaran terbaik di sisi-Nya seterusnya bersangka baik dengan Allah SWT terhadap amalan dilakukan.

Ibnu Masud menyebut, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Demi Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya tiada sesuatu pemberian yang terbaik daripada Allah SWT selain daripada bersangka baik dengan-Nya kerana ia akan memperoleh seperti apa yang disangkakan.”

Hadis sahih menyebut yang bermaksud, “Jika seseorang memohon, hendaklah memohon ynag terbaik dan terbanyak.” (Al-Hadis)

Allah SWT tidak pernah berasa segan untuk memakbulkan doa yang dipohon dan gembira apabila diminta dalam kuantiti yang banyak.

Walaupun Ramadan sudah berlalu, kita masih lagi mempunyai talian hayat untuk menambahkan amalan Syawal, iaitu berpuasa enam hari selagi Syawal masih ada. Ia adalah puasa sunat selama enam hari bermula dua Syawal hinggalah penghujungnya.

Puasa Syawal adalah lebih afdal dilakukan secara berturut-turut daripada dilakukan secara berselang seli. Berpuasa secara berturut-turut adalah digalakkan kerana ia lebih hampir kepada fokus yang tinggi kepada pengabdian berterusan.

Fadilat atau kelebihan puasa sunat Syawal disebut dalam hadis Abi Ayyub da Abu Hurairah bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli berpuasa enam hari Syawal seolah-olah ia mendapat ganjaran berpuasa setahun.

Hal ini disokong oleh As-Sya’bi dalam kitabnya Al-Manawi yang menungjukkan bahawa ganjaran puasa sunat Syawal sangat besar di sisi Allah AWT.

Ada riwayat menyebut, Allah SWT menciptakan langit dan bumi selama enam hari, iaitu pada Syawal. Sesiapa berpuasa pada bulan ini akan dianugerahkan kebajikan pahala seperti bilangan makhluk di dalamnya, diampunkan dosanya serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT.

Sufyan Atthauri pernah berdoa supaya diberi kekuatan untuk melakukan puasa Ramadan dan enam hari Syawal kerana kelebihan yang ada pada kedua-duanya.

Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli dengan puasa Syawal seolah-olah ia baru saja dilahirkan dalam keadaan suci bersih dari dosa kesalahan.”

Nabi SAW juga pernah mengumpamakan orang yang berpuasa selepas Ramadan seperti orang yang lari dari satu peperangan dan kembali untuk bertarung semula. Menunjukkan bahawa ia sanggup kembali ke medan perjuangan bagi meraih pahala berlipat ganda.

Antara tujuan atau hikmah puasa sunat Syawal adalah untuk mengekang nafsu balas dendam terhadap Ramadan lalu yang terkadang umat Islam terleka kerana keghairahan menyambut hari raya.

Fadilat lain, ditambahkan rahmat dan keampunan ketika hampirnya masa roh berpisah dengan jasad (sakratul maut), dipermudahkan ketika berurusan dengan dua malaikat di alam barzakh dan ganjaran pahala setahun serta tiket pelancongan ke syurga di bawah pembiayaan Allah SWT (Durratu Nasihin – Ibnu Ahmad As Syakir).

Persoalan berkaitan menyatukan antara puasa sunat Syawal dan puasa Qada menjadi topic perbincangan hangat dalam kalangan ulama muasarah (kontemporari) di mana keputusan mendapati mengasingkan antara puasa sunat Syawal dan puasa Qada adalah lebih baik serta digalakkan kerana puasa Qada mempunyai ruang masa yang banyak untuk dilaksanakan berbanding puasa Syawal.

Apa yang membimbangkan adalah sifat berlengah sesetengah kita untuk berpuasa Syawal sehingga luput waktu dan terlepas peluang keemasan ini. Semoga kemenangan Ramadan akan disambut lagi selepas kemenangan Syawal yang masih banyak berbaki, JANGAN TUNGGU LAGI....

Sumber : Ustaz Zamanuddin Jusoh (Berita Harian – 3 September 2011)

Saturday, September 3, 2011

FAKTOR KEMEROSOTAN MUTU SUKAN NEGARA

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian sukan yang terdapat di Malaysia. Huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor kemerosotan mutu sukan negara. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Memang tidak dapat dinafikan bahawa sukan sangat penting kepada negara. Namun kini, mutu sukan negara kita memang tidak begitu konsisten baik terutama dalam sukan bola sepak, hoki dan badminton. Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak memberikan pendapat mereka tentang kelemahan ini. Jelaslah, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan mutu sukan negara kita terus merosot.

Alasan utama yang menyebabkan mutu sukan negara kita merosot ialah para pemain kurang memiliki semangat cinta akan negara. Ketika bermain, ahli sukan negara tidak bermain dengan bersungguh-sungguh kecuali mereka ditawarkan pelbagai imbuhan sebelum ini. Maka, mutu sukan kita terus merudum kerana ketiadaan rasa patriotik dalam jiwa pemain negara.

Tambahan pula, kebanyakan ahli sukan negara menganggap bidang sukan yang mereka ceburi itu sebagai kerjaya sampingan sahaja. Persepsi sebegini menyebabkan mereka tidak memberikan tumpuan penuh ketika menjalani latihan atau ingin meninggikan kualiti permainan mereka itu. Sesungguhnya, konsep sukan aktiviti sampingan menjejaskan minat seseorang untuk meninggikan mutu permainan mereka.

Bukan sahaja ketiadaan semangat cinta akan negara dan menganggap sukan satu aktiviti sampingan sahaja tetapi mutu sukan negara kita merosot kerana kurangnya sekolah-sekolah sukan di negara ini. Ketiadaan sekolah-sekolah sukan menyebabkan negara ini tidak mampu mencungkil bakat-bakat baru atau mencari pelapis untuk ahli sukan veteran negara lalu menjejaskan kualiti mutu sukan pada jangka masa panjang pula. Justeru, mutu sukan kita merosot kerana negara ini tidak memiliki sekolah-sekolah sukan yang baik.

Malah, negara ini juga kekurangan kemudahan sukan berbanding dengan negara-negara yang maju industri sukannya. Kita tidak membina banyak kawasan sukan seperti gelanggan tenis, badminton, bola keranjang, dan stadium bola sepak yang boleh digunakan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia juga. Sesungguhnya, kekurangan kemudahan sukan menyebabkan rakyat negara ini tidak berpeluang untuk bermain permainan tertentu pula.

Konklusinya, semua faktor yang dinyatakan tadi telah menyebabkan kualiti sukan negara ini terus tidak konsisten. Semua pihak terutama kerajaan perlulah memberikan kerjasama yang jitu untuk mengatasi kelemahan dalam program sukan negara itu. Slogan Majulah Sukan Untuk Negara perlu diteliti untuk memastikan sukan di negara ini terus berkembang dengan baik.

Sumber: Noor Azman Mahat

CONTOH KARANGAN 2

PENDAHULUAN

Sejak peristiwa kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan. Kemerosotan mutu sukan negara amat ketara dalam sukan permainan dan juga olahraga. Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak Malaysia kecundang dalam pusingan kelayakan Olimpik baru-baru ini. Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang berkesan bagi meningkatkan mutu sukan negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia.

FAKTOR-FAKTOR

Mutu sukan negara kita memang tidak begitu konsisten baik dalam sukan bola sepak, hoki dan badminton. Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak memberikan pendapat mereka tentang kelemahan ini. Jelaslah, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan mutu sukan negara kita terus merosot. Alasan utama yang menyebabkan mutu sukan negara kita merosot ialah para pemain kurang memiliki semangat cinta akan negara. Ketika bermain, ahli sukan negara tidak bermain dengan bersungguh-sungguh kecuali mereka ditawarkan pelbagai imbuhan sebelum ini. Maka, mutu sukan kita terus merudum kerana ketiadaan rasa patriotik dalam jiwa pemain negara.

Tambahan pula, kebanyakan ahli sukan negara menganggap bidang sukan yang mereka ceburi itu sebagai kerjaya sampingan sahaja. Persepsi sebegini menyebabkan mereka tidak memberikan tumpuan penuh ketika menjalani latihan atau ingin meninggikan kualiti permainan mereka itu. Sesungguhnya, konsep sukan aktiviti sampingan menjejaskan minat seseorang untuk meninggikan mutu permainan mereka. Bukan sahaja ketiadaan semangat cinta akan negara dan menganggap sukan satu aktiviti sampingan sahaja tetapi mutu sukan negara kita merosot kerana kurangnya sekolah-sekolah sukan di negara ini. Ketiadaan sekolah-sekolah sukan menyebabkan negara ini tidak mampu mencungkil bakat-bakat baru atau mencari pelapis untuk ahli sukan veteran negara lalu menjejaskan kualiti mutu sukan pada jangka masa panjang pula. Justeru, mutu sukan kita merosot kerana negara ini tidak memiliki sekolah-sekolah sukan yang baik.
Malah, negara ini juga kekurangan kemudahan sukan berbanding dengan negara-negara yang maju industri sukannya. Kita tidak membina banyak kawasan sukan seperti gelanggan tenis, badminton, bola keranjang, dan stadium bola sepak yang boleh digunakan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia juga. Sesungguhnya, kekurangan kemudahan sukan menyebabkan rakyat negara ini tidak berpeluang untuk bermain permainan tertentu pula.Untuk rekod, Malaysia pernah mengecapi kejayaan yang membanggakan pada era keemasan 1960-an dan 70-an dan ramai daripada jaguh yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dulu kini masih memegang jawatan penting dalam pentadbiran sukan di Malaysia.

Dalam bidang olahraga, peserta Olimpik sebanyak tiga kali, Datuk Dr Mani Jegathesan (Rome 1960, Tokyo 1964 dan Mexico 1968), yang juga dikenali sebagai "Flying Doctor", dan atlet lompat pagar Istiaq Mubarak (Mexico 1968, Munich 1972, Montreal 1976), terus menjadi penanda aras bagi kebanyakan atlet muda yang bercita-cita mahu mencatat kehebatan dalam acara trek dan padang.Dua jaguh tersebut masing-masing telah mengambil bahagian dalam tiga sukan Olimpik berturut-turut, manakala kehebatan Dr Jega diingati hingga ke hari ini kerana kejayaannya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 200m (di Tokyo dan Mexico). Beliau juga masih memegang rekod kebangsaan bagi acara itu (20.92 saat yang dicatatnya di Mexico pada 1968).

Dalam acara bola sepak, Malaysia pernah digeruni di rantau Asia dengan kehadiran Arthur Koh, Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, Ghani Minhat, V. Arumugam dan M.Chandran.Bagaimanapun hari ini, kita bukan saja tidak diendahkan oleh Myanmar, Vietnam atau Laos, malah gagal memenangi pingat emas pada Sukan SEA sejak 1989 apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kejohanan.

Pasukan hoki Malaysia yang pernah menduduki tangga keempat pada kejohanan Piala Dunia 1975, dengan barisan nama-nama hebat seperti Sri Shanmuganathan, Ho Koh Chye dan M. Mahendran, kini hampir luput daripada sebutan peminat sukan itu. Kita gagal melayakkan diri bagi menyertai kejohanan Piala Dunia tahun ini setelah menduduki tangga kesembilan dalam pusingan kelayakan di Changzhou, China dan yang menyedihkan ialah Malaysia menduduki tempat tercorot daripada lapan pasukan yang menyertai kejohanan bagi merebut Trofi Sultan Azlan Shah baru-baru ini.Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa berbilion ringgit yang dibelanjakan bagi memajukan bidang sukan selama ini hanya merupakan pembaziran semata-mata. Satu-satunya peningkatan yang dapat dilihat ialah jumlah pegawai yang dibayar gaji kerana terlibat dalam bidang sukan.

Ketika pencapaian negara dalam bidang sukan semakin merosot, rakyat Malaysia menyaksikan kemunculan infrastruktur dan kemudahan sukan bertaraf dunia di merata-rata tempat serta pengaliran dana yang tidak putus-putus dalam sektor itu selain penubuhan jawatankuasa Kabinet mengenai Sukan yang membuktikan kesunguhan kerajaan dalam memajukan bidang berkenaan.Di samping itu, lapan sukan teras dikenal pasti - hoki, bola sepak, olahraga, skuasy, gimnastik, akuatik, badminton dan boling - yang menerima peruntukan berjumlah RM193 juta daripada kerajaan bagi meningkatkan pencapaian pesertanya.

Dalam keghairahan melaksanakan usaha itu, beberapa masalah lama mungkin terlepas pandang, antaranya kekurangan padang permainan atau kemudahan untuk orang ramai bersukan, ketiadaan program pembangunan di peringkat akar umbi, set minda yang tidak betul, tiada kekuatan mental dan sebagainya. Contohnya, satu dekad lepas, terdapat kira-kira 10 padang permainan di sekitar Bangsar yang menjadi tempat bagi anak muda dan orang lama bermain bola sepak dan permainan lain.

Padang Timur di Petaling Jaya pula pernah menjadi tumpuan bagi pelbagai jenis sukan termasuk bola sepak, bola jaring, tenis dan olahraga. Tetapi, hari ini, ia sepi daripada kegiatan sukan kerana dikawal ketat oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Padang Pejabat Pos di Jalan Imbi sudah tiada, begitu juga padang Kelab Rekreasi China Selangor yang dulunya terletak bersebelahan terminal bas Puduraya. Dua padang di bekas tapak Kelab KTM di Brickfields juga telah dikorek untuk memberi laluan kepada projek pembangunan. Ketiadaan pertandingan sukan di peringkat daerah dan antara daerah bagi sekolah dan orang ramai seperti yang wujud suatu ketika dulu bagi mencungkil bakat baru dalam bidang sukan, turut menyumbang kepada kemerosotan pencapaian negara dalam bidang berkenaan hari ini.

Sepatutnya, apa yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menghadiri majlis penyampaian Anugerah Olahragawan dan Olaharagawati Malaysia anjuran Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada 26 Jun lepas perlu dijadikan ingatan oleh semua pihak di negara ini. Kata beliau: "Bagi membolehkan sukan di Malaysia kembali maju, perubahan set minda perlu dilakukan." Beliau berkata tanggungjawab melahirkan ahli sukan yang berkualiti tidak terletak di bahu persatuan, Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Kebangsaan sahaja."Kanak-kanak mesti digalakkan menyertai bidang sukan oleh ibu bapa atau guru mereka sejak kecil lagi," katanya.Najib yang mengetuai jawatankuasa Kabinet mengenai Sukan turut membuat perbandingan tentang pencapaian Malaysia dan Ghana, yang turut mengecapi kemerdekaan pada 1957. "Kita jauh lebih maju daripada Ghana dalam setiap aspek pembangunan, kecuali sukan, kerana Ghana telah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia," kata Najib. Untuk berlaku adil kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), punca kemerosotan pencapaian negara dalam sukan itu tidak sepatutnya diletakkan pada bahunya semata-mata kerana jentera yang diberi tanggungjawab bagi melahirkan pemain berkaliber telah berhenti daripada beroperasi.

Ketiadaan proses untuk mengenal pasti pemain berkebolehan melalui pertandingan di peringkat daerah dan negeri serta penutupan beberapa akademi bola sepak yang diusahakan oleh negeri, banyak menyumbang kepada kekurangan pemain handalan yang dapat mewakili negeri masing-masing atau mengambil alih tempat yang dikosongkan oleh pemain kebangsaan pada masa akan datang. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pernah mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menubuhkan bank tanah bagi membina sekolah baru yang lengkap dengan padang permainan memandangkan ada sekolah yang tidak lagi mempunyai padang. Bekas setiausaha agung NUTP Datuk N. Siva Subramaniam berkata padang permainan di sekolah, terutama di bandar raya, semakin lenyap akibat pembangunan, yang sekaligus menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melakukan aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah. Beliau berkata banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan guru bahawa anak mereka tidak dapat menyertai aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah termasuk menyertai acara sukan sepanjang tahun. Menurutnya Kementerian Pelajaran wajar membeli tanah semasa pasaran hartanah murah dan menyimpannya untuk pembangunan sekolah pada masa akan datang. Beliau berkata sekolah tidak wajar "menguburkan" aktiviti sukan dan kesatuan itu memandang serius mengenai kurangnya sokongan guru besar dan pengetua sekolah dalam menggalakkan para pelajar menyertai aktiviti sukan sepanjang tahun. "Ada sekolah yang menumpukan aktiviti kokurikulum hanya untuk tempoh tiga bulan pertama persekolahan bagi memberi tumpuan pada persediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan manakala ada guru besar dan pengetua yang "membunuh" aktiviti sukan dengan menggantikan waktu mata pelajar pendidikan jasmani dengan mata pelajaran lain.

PENUTUP

Konklusinya, semua factor yang dinyatakan tadi telah menyebabkan kualiti sukan negara ini terus tidak konsisten. Semua pihak terutama kerajaan perlulah memberikan kerjasama yang jitu untuk mengatasi kelemahan dalam program sukan negara itu. Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”

Sumber : http://prauniversiti6.blogspot.com





KEPENTINGAN PERMAINAN TRADISIONAL

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada permainan tradisional yang terdapat di negara kita. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan permainan tradisional di Malaysia. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


PERENGGAN PENDAHULUAN (5 Ayat)

[Ayat Rangsangan(AR) – Definisi Umum] Permainan tradisional merupakan permainan yang dimainkan oleh generasi pada zaman nenek moyang kita sejak dahulu lagi. [Ayat Contoh (AC)] Antara contoh permainan tradisional yang masih dimainkan kini ialah permainan gasing, wau dan congkak. [AR-Isu] Namun, peredaran zaman yang kian berubah telah menyaksikan bahawa permainan tradisional ini makin dipinggirkan oleh generasi muda kini. [AR – Persoalan] Mengapakah hal sedemikian berlaku? Siapakah yang perlu melestarikan permainan tradisional ini agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas? [Ayat Arahan(AA)] Oleh itu, kepentingan permainan tradisional ini perlu diuar-uarkan kepada rakyat Malaysia agar permainan ini tetap terlestari sampai bila-bila.

PERENGGAN ISI 1 – Warisan Budaya Malaysia (5 Ayat)

[Ayat Topik (AT)] Memang tidak dapat dinafikan bahawa permainan tradisional merupakan warisan budaya Malaysia yang tidak ternilai harganya. [Ayat Huraian (AH)- Mengapa?] Hal ini adalah kerana permainan tradisional merupakan warisan nenek moyang kita yang melambangkan adat, budaya dan identiti sesuatu bangsa. [AH-Jika] Sekiranya permainan tradisional ini tidak dipertahankan sudah tentu generasi muda tidak mengenali budaya warisan mereka. [AH-Kesan] Impaknya, generasi muda sudah tentu tidak akan mengenali permainan congkak, sepak raga, wau malah mereka begitu berbangga dengan permainan moden yang begitu pesat membanjiri pasaran kini. [Ayat Penyimpul (AP)] Jelaslah, permainan tradisional ini sangat penting kerana permainan ini merupakan warisan turun-temurun yang perlu dilestarikan untuk tatapan generasi akan datang.

PERENGGAN ISI 2 – Sebagai hiburan (5 Ayat)

[AT] Sudah Terang Lagi Bersuluh, permainan tradisional dapat dijadikan sebagai alat hiburan untuk mengisi masa lapang. [AH-Mengapa] Permainan tradisional dapat menghiburkan seseorang kerana permainan ini menyeronokkan dan dimainkan secara berkumpulan. [AC] Sebagai contoh, permainan congkak yang memerlukan dua orang untuk memainkannya dan begitu juga permainan sepak raga yang perlu dimainkan secara berkumpulan. [AH-Kesan] Secara tidak langsung, permainan tradisional ini dapat mengurangkan stress seseorang malahan dapat menyihatkan tubuh badan seseorang. [AP] Tegasnya, permainan tradisional bukan sahaja dapat menghiburkan seseorang malah mengisi masa lapang dan menyihatkan tubuh badan.

PERENGGAN ISI 3 – Sebagai Produk Pelancongan (5 Ayat)

[AT] Kepentingan seterusnya ialah permainan tradisional dapat dijadikan suatu produk pelancongan yang menguntungkan negara. [AH-Mengapa] Pada kebiasaannya, pelancong luar yang datang ke negara kita ingin melihat keunikan budaya warisan yang terdapat di Malaysia. [AC] Sebagai contoh, permainan wau ataupun layang-layang yang kini telah mendapat tempat di persada antarabangsa. [AH-Kesan] Secara eksplisitnya, permainan tradisional ini dapat menarik pelancong asing dan berlakunya aliran masuk mata wang asing ke dalam negara. [AP] Izharlah bahawa permainan tradisional membawa signifikan yang ketara dalam sektor pelancongan di Malaysia.

PERENGGAN PENUTUP – Sebagai hiburan

[Rumusan] Sebagai intiha, permainan tradisional banyak memberikan kepentingan kepada rakyat mahupun negara. [Pendapat] Sesungguhnya, permainan ini perlulah dilestarikan untuk dijadikan alat penghubung silaturahim antara generasi dulu dan kini. [Cadangan] Sebagai rakyat Malaysia yang menghargai warisan tradisi seharusnya berganding bahu bagai Aur Dengan Tebing dalam mengekalkan permainan tradisional ini. [Harapan] Walaupun kini permainan moden bagai Cendawan Tumbuh Selepas Hujan telah menguasai jiwa golongan muda namun, permainan tradisional tetap di hati kerana Tak Kenal Maka Tak Cinta.