Monday, October 8, 2012

PECUTAN AKHIR PMR

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak.  
Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

KARANGAN LENGKAP.

     Dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar pada alaf baru ini, ilmu amat memainkan peranan yang sangat signifikan buat segenap lapisan masyarakat di pelosok dunia.  Tanpa ilmu, seseorang itu tidak akan ada hala tuju malah hidupnya akan teraba-raba dalam meraih kejayaan di maya pada ini.  Ilmu hanya akan diperoleh dan dimantapkan dengan amalan membaca.  Persoalannya sekarang, bagaimanakah ibu bapa dapat memainkan peranannya dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak?  Persoalan yang mewarnai fokus perbincangan ini akan terjawab dan akan dikupas sebentar lagi untuk kepentingan bersama.

     Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah ibu bapa berperanan penting dalam menjadi suri teladan ataupun rol model kepada anak-anak mereka.   Hal ini adalah kerana sebahagian masa anak-anak banyak dihabiskan di rumah.  Lantaran itu, ibu bapa perlu mengambil kesempatan ini untuk memberikan teladan mahupun bimbingan dengan menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian.  Contoh yang paling mudah dapat dipraktikkan oleh ibu bapa adalah dengan membaca surat khabar atau majalah berinfomasi ketika ada waktu terluang.  Impaknya, sudah tentu anak-anak yang terbiasa melihat perilaku ibu bapa akan terikut-ikut amalan tersebut kerana Bapa borek, anak rintik dan Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.  Jelaslah bahawa peranan ibu bapa sebagai idola kepada anak-anak mereka sangat vital dalam memupuk amalan membaca ini.

     Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,  dalam konteks ini ibu bapa hendaklah membelikan bahan bacaan yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai hadiah kepada anak-anak.  Hadiah berupa bahan-bahan bacaan bermanfaat sempena kecemerlangan anak-anak dapat menjadi pencetus kepada amalan membaca dalam diri anak-anak.  Selain itu, ibu bapa boleh juga menjadi penglipur lara  kepada anak-anak tatkala waktu malam dengan membacakan cerita-cerita yang mempunyai unsur pengajaran sebelum anak-anak melelapkan mata mereka.  Secara tidak langsung, anak-anak yang tertarik dengan cerita tersebut akan membaca buku untuk mengisi masa lapang mereka.  Tegasnya, pembelian dan pemberian bahan-bahan bacaan yang mengandungi pelbagai info oleh ibu bapa dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak mereka.

     Dalam memupuk amalan membaca ini, ibu bapa sewajarnya menyediakan ruangan khas atau sudut-sudut tertentu untuk dijadikan sebagai gedung ilmu di rumah.  Bertitik tolak daripada itu, ruangan ataupun sudut khas ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai variasi buku yang menarik serta meja dan kerusi untuk menjadikan suasana membaca lebih kondusif.  Selain itu, ibu bapa boleh juga mengindahkan sudut ini dengan warna-warni yang menarik untuk menceriakan sudut bacaan ini lagi.  Impaknya, anak-anak akan suka menjadikan sudut ini sebagai medan untuk meningkatkan ilmu  ketika waktu senggang mereka.  Deduksinya, sudut bacaan ini perlulah disediakan dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh ibu bapa bagi merangsang minat membaca dalam diri anak-anak.

     Ibu bapa yang bijaksana sudah tentu akan memastikan anak-anak mereka menjadi ahli perpustakaan awam di tempat mereka.    Selain mengadakan sudut bacaan, kunjungan ke perpustakaan awam juga akan dapat memberikan maslahat kepada anak-anak pada  hujung minggu.  Bukan itu sahaja, malah hubungan anak-anak dengan ibu bapa akan menjadi lebih mesra dan akrab.  Hubungan kekeluargaan yang harmoni ini akan menjadi lebih bermakna dalam melahirkan keluarga sakinah yang berintelektual.  Sesungguhnya, ibu bapa merupakan penggerak utama dalam menjayakan amalan membaca kepada anak-anak mereka.

     Dalam  memupuk amalan membaca ini, setiap ibu bapa hendaklah bersinergi dan mengorak langkah yang pragmatik lagi efektif untuk merealisasikan hasrat murni ini.  Usaha yang dijalankan hendaklah bersungguh-sungguh bukannya sekadar Hangat-hangat tahi ayam mahupun Melepaskan batuk di tangga.  Sebelum Nasi menjadi bubur, komitmen ibu bapa amat diperlukan bagi membudayakan amalan membaca dalam meneruskan kelangsungan melahirkan masyarakat yang celik ilmu.  Seterusnya, aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020 akan terlaksana dengan mudahnya.  

No comments:

Post a Comment