Monday, September 23, 2013

TRIAL SPM JOHOR 2013 - BAHAGIAN A


FAEDAH-FAEDAH KOPERASI DI SEKOLAH 

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari menjelang ambang 2020, keadaan ini menandakan titik permulaan zaman yang serba mencabar minda kita. Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh pancaroba ini, pihak sekolah telah menubuhkan koperasi di sekolah. Koperasi merupakan pertubuhan ditubuhkan oleh pihak sekolah untuk kemudahan warga sekolah, khususnya pelajar dan guru. Dengan adanya koperasi di sekolah, kita dapat memperoleh banyak kebaikan yang tidak dapat dikira dengan hujung jari kita. Persoalannya kini, apakah kebaikan penubuhan koperasi sekolah kepada warga sekolah itu sendiri? Oleh hal yang demikian, faedah-faedah koperasi sekolah yang akan menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dikupas dan dihuraikan secara terperinci demi kebaikan bersama.

Sebagai mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan idea saya tentang faedah koperasi terhadap warga sekolah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelajar atau guru dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah. Mereka dapat menikmati barangan yang harganya berpatutan dan barangan yang berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi menjual pelbagai barangan dan makanan seperti alat tulis, minuman, kertas kajang, buku latihan dan sebagainya. Kesemua ini telah memenuhi kehendak dan keperluan guru dan pelajar. Sebagai analogi, pelajar dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang rendah berbanding membeli sebatang pen di pasar raya. Tambahan pula, barangan di pasar raya mahal-mahal belaka. Hal ini secara tidak langsung, pelajar dapat menjimatkan wang untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran. Tegasnya, koperasi menawarkan barangan yang harganya berpatutan dan berkualiti kepada warga sekolah.

Lanjutan daripada huraian di atas, warga sekolah yang menjadi ahli koperasi berhak mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan bonus melalui pembelian barangan oleh warga sekolah. Keuntungan tersebut datangnya daripada jual beli yang dijalankan. Selain itu, sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh oleh koperasi juga dapat dikeluarkan untuk membantu pihak sekolah dalam menangani masalah prasarana sekolah. Wang tersebut boleh digunakan untuk menyediakan dan menaik taraf prasarana di sesebuah sekolah. Contoh yang boleh diketengahkan ialah koperasi SMK Hamzah Berhad yang berpegang teguh pada prinsip koperasi kita dari kita untuk kita dengan membahagikan sebahagian keuntugan koperasi untuk membeli buku rujukan dan buku cerita koleksi terbaru untuk perpustakaan sekolah demi kemudahan murid yang dahaga akan ilmu pengetahuan. Jelaslah bahawa koperasi mendapat keuntungan yang berkali ganda melalui aktiviti jual beli. 

Bukan setakat itu sahaja, koperasi membolehkan anak-anak muridnya mengetahui asas perniagaan. Apabila pelajar mengendalikan urus niaga di koperasi, mereka dapat memahami dan menguasai asas perniagaan. Pengalaman baru ini tidak dapat dipelajari dalam silibus sekolah dan merupakan satu pendekatan yang baik untuk mempraktikkan apa-apa yang dipelajari di dalam bilik darjah. Pelajar yang belajar subjek-subjek seperti Prinsip Perakaunan, subjek Perniagaan dan Perdagangan dapat memahami apa-apa yang dipelajari dengan lebih lebih lanjut dan efektif dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, pelajar dapat berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat dengan pelajar yang lain dan guru tentang selok-belok dalam urus niaga. Rentetan daripada situasi tersebut, hubungan silaturahim bagai isi dengan kuku dapat dipupuk antara guru dan pelajar. Malah, mereka dapat menambah ilmu pengetahuan mereka supaya mereka tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa asas perniagaan dapat dimantapkan dalam sanubari anak-anak didik melalui penglibatan mereka dalam koperasi sekolah. 

Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, koperasi mendatangkan banyak faedah kepada warga sekolah mahupun pihak sekolah. Oleh hal yang demikian kita perlu bersyukur dan menghargai ahli jawatankuasa koperasi yang begitu bersungguh- sungguh mengendalikan dan mengurus hal ehwal koperasi. Tanpa usaha gigih mereka, koperasi sekolah sudah pasti bagai sebutir batu berlian yang tidak berguna. Marilah kita bersama-sama bagai aur dengan tebing meneruskan usaha kita dalam menjayakan koperasi sekolah demi mengecapi visi kudsi wawasan 2020 yang diimpikan dan diwara-warakan oleh mantan Perdana Menteri yang keempat dan semua lapisan masyarakat.

FOO SUH JUAN

23 comments:

  1. terima kasih cikgu atas perkongsian (:

    ReplyDelete
  2. Tumpang tanya,ini karangan perbahasan ke atau karangan fakta biasa??sebab penanda wacana dlm karangan ini seolah-olah memberitahu bhw ini adlh krngn perbahasan

    ReplyDelete
  3. terima kasih karangan ini dapat membantu says dlam mengulang kaji pelajaran

    ReplyDelete
  4. Terima kasih atas perkongsian ini.. Karangan ini dapat membantu saya mengulang kaji pelajaran..

    ReplyDelete