Monday, September 23, 2013

TRIAL SPM JOHOR 2013 - SOALAN 5

CONTOH 2

  
 Siapalah kita tanpa ibu? Siapalah yang menjaga kita sejak kita belum lagi dilahirkan jikalau bukan ibu? Siapalah yang sanggup mencuci najis kita kala kita masih kecil sekiranya bukan ibu? Ibu, satu perkataan yang cukup ringkas tetapi amat bermakna buat semua individu. Ibu merupakan insan yang paling banyak berjasa dalam hidup setiap orang. Sejak daripada hari ibu mengetahui tentang kandungannya itu, sejak itulah dia menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Walaupun belum pernah bersua muka, namun ibu menjaga kita seperti dia mengandungkan sebakul berlian. Ketika kita di dalam perut ibu, ibu mengambil pemakanan yang seimbang untuk memastikan janinnya berada dalam keadaan yang sihat dan tidak terdedah kepada penyakit. Begitulah sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Namun, terdapat juga sesetengah manusia yang tidak tahu menghargai pengorbanan seorang ibu yang sungguh besar untuk bertarung nyawa demi melahirkan mereka.  Sesungguhnya, seorang ibu itu perlulah dihargai hingga ke akhir hayat mereka.

   Kita perlulah menghargai ibu kita sejak kecil lagi kerana ibulah yang sentiasa memberikan semangat kepada kita unutk meneruskan kehidupan. Kita hendaklah mematuhi segala kata ibu dan sebagai seorang anak, kita tidak seharusnya melawan atau membantah arahan mereka. Sekiranya mereka memarahi kita, kita tidak sepatutnya menarik muka atau menyimpan dendam kerana setiap kali seseorang ibu itu marah, itu menunjukkan bahawa dia sayang kepada kita dan dia tidak mahu kita melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Kita juga mestilah bercakap dengan sopan dan lemah lembut kepada mereka kerana hati seorang ibu itu sungguh sensitif dan sesungguhnya kita akan mendapat dosa setiap kali hati ibu terguris disebabkan oleh perbuatan atau percakapan kita.

   Selain itu, jika sudah bersekolah, kita mestilah belajar dengan bersungguh-sungguh dan tekun untuk mencapai kejayaan dengan cemerlang. Hal ini disebabkan oleh kejayaan anak merupakan kebanggaan ibunya.  Kejayaan yang kita kecapi dapat menggembirakan hati ibu sekali gus menunjukkan rasa sayang dan cinta kita kepada ibu kita. Kajayaan-kejayaan di sekolah seperti mendapat tempat pertama dalam peperiksaan mahupun mendapat markah tertinggi dalam sesuatu subjek merupakan detik-detik indah bagi seorang ibu kerana perkara ini menunjukkan bahawa dia telah membimbing dan mendidik anaknya dengan baik. Kita juga perlulah menuntut ilmu dengan sebaik-baiknya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dengan memperoleh keputusan yang cemerlang agar ibu kita dapat berbangga dengan kejayaan yang kita kecapi. Di samping itu, kita haruslah menjaga kelakuan dan percakapan kita di sekolah dan mengingati pesan ibu untuk menjaga nama baik keluarga. Hal ini dapat mengelakkan daripada ibu untuk datang ke sekolah berjumpa dengan guru dan berasa malu atas sikap buruk kita di sekolah. Oleh hal yang demikian, kita perlulah mengingati pesan ibu dan belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat menyejukkan hati mereka.

   Seterusnya, kita juga boleh menunjukkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan ibu melalui sambutan hari istimewa seperti hari lahir dan Hari Ibu.  Hari-hari istimewa hanya datang sekali dalam setahun, oleh itu, kita hendaklah menggembirakan hati ibu serta menghiburkannya pada hari yang cukup bermakna itu.  Kita boleh memberikan hadiah yang isitimewa kepada ibu sebagai simbol penghargaan kita kepadanya seperti bunga, rantai ataupun barang-barang yang disukai olehnya.  Hadiah-hadiah akan disimpan oleh ibu dan semestinya akan membuatkan anaknya berasa dihargai.  Kita juga boleh membeli kek berperisa kegemaran ibu pada hari lahirnya dan menyanyikan lagu selamat hari lahir untuknya seterusnya menikmati kek itu bersama-sama keluarga tercinta.  Perkara-perkara kecil seperti ini sememangnya dilihatkan seperti upacara biasa tetapi besar maknanya bagi seorang ibu.

   Di samping itu, kita mestilah menjaga ibu kita dan membalas jasa mereka sehingga kita dewasa. Walaupun sudah mempunyai kerjaya dan sibuk menguruskan hal duniawi, kita tidak patut mengabaikan ibu kita. Kita hendaklah sentiasa menghormati ibu kita dan bercakap dengan sopan terhadapnya walaupun dia sudah tua dan tidak bermaya lagi. Kita sepatutnya menjaga ibu kita dengan penuh kasih sayang seperti mereka menjaga kita ketika kecil dengan berbakul-bakul rasa cinta. Perbuatan menempatkan ibu sendiri di rumah orang tua dengan alasan sibuk bekerja adalah tidak patut sama sekali. Ibu juga sibuk bekerja ketika kita masih kecil tetapi masih ada masa untuk menjaga dan melayan karenah kita, mengapa pula kita tidak begitu? Tanggungjawab anak tetap ada untuk menghargai jasa ibu selagi hayat dikandung badan. Tiada alasan sibuk bekerja patut diberikan dalam menjaga ibu kita sendiri. Konklusinya, kita tidak seharusnya mengabaikan ibu kita walau betapa padatnya jadual harian kerana itu merupakan satu amanah sebagai seorang anak. 

   Akhir sekali, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Tuhan agar kesihatan ibu terjamin serta kehidupannya lebih sejahtera. Penghargaan kepada jasa dan pengorbanan seorang ibu tidak semestinya ditunjukkan secara terang-terangan, berdoa untuknya juga merupakan tanda menghargai jasa ibu kita. Kita hendaklah berdoa dengan ikhlas agar doa itu dapat dimakbulkan. Kita juga boleh menghargai jasa ibu setelah dia meninggal dunia. Sebagai contoh, sebagai umat Islam, kita hendaklah menyedekahkan surah Yasin dan surah Al-Fatihah kepada arwah ibu kita agar jasadnya berada dalam keadaan yang aman. Kita juga boleh menggunakan wang peninggalan ibu untuk bersedekah kepada anak yatim dan fakir miskin serta mendoakan kesejahteraan ibu di alam akhirat supaya rohnya tenang dan aman.

   Tuntasnya, pengorbanan dan jasa seorang ibu amat besar dalam kehidupan kita.  Tanpa ibu, kita tidak akan berada seperti kita sekarang.  Sesungguhnya, jasa ibu itu wajib dikenang dan dihargai selagi kita masih bernyawa. Pengabaian dan penderhakaan terhadap ibu hanya menyumbangkan dosa besar kepada kita.  Oleh hal yang demikian, kita perlulah sentiasa menjaga dan menyayangi ibu kita dengan sepenuh hati selama kita masih dikandung hayat agar ibu kita rasa dihargai atas pengorbanannya dalam menahan sakit ketika mengandungkan kita, bertarung nyawa demi melahirkan kita serta berkorban masa, tenaga dan wang untuk membesarkan kita. Maka, ternyatalah bahawa jasa seorang ibu itu amatlah besar dan benarlah peribahasa yang mengatakan bahawa, Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

MAS DINAH – 5 BRL ~ 2013


TRIAL SPM JOHOR 2013 - BAHAGIAN B ~ SOALAN 5

SOALAN 5
Peribahasa ‘Syurga itu di bawah telapak kaki ibu’ mengambarkan keagungan seorang ibu dan kewajipan seorang anak untuk berbakti kepada ibu atas jasa memelihara dan membesarkan kita.

Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah menghargai jasa ibu berdasarkan peribahasa di atas.

“Ibu… Ibu… Engkaulah ratu hatiku.”

Lirik lagu di atas sering kali kita dengar terutama sekali ketika menjelangnya Hari Ibu sedunia pada hari Ahad minggu kedua setiap tahun. Namun, fahamkah kita maksudnya atau kita sekadar mengikut orang lain yang menyanyikannya ibarat lembu dicucuk hidung? Peribahasa  Syurga itu di bawah telapak kaki ibu jelas memanifestasikan keagungan seorang ibu dan kewajipan seorang anak untuk berbakti kepada ibu atas pengorbanan yang telah dicurahkan kepada kita.  Sayangnya, ramai daripada kita yang tidak sedar dek terlalu hanyut dengan pemikiran barat yang membanjiri minda kecil kita bahawa seorang ibu itu juga merupakan salah satu nikmat Allah yang tidak terhingga. Entah bagaimana kita terlepas pandang, layanan anak-anak muda kini terhadap ibu mereka semakin endah tak endah dan angkuh. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membuat anjakan paradigma dalam memperkasakan langkah-langkah menghargai jasa ibu.

Isi perbincangan yang pertama, saya sebagai seorang pelajar wajib belajar bersungguh-sungguh kerana secara tidak langsung, itu merupakan amanah yang saya pikul di bahu yang diberikan oleh ibu. Seperti yang saya ketahui, ibu membayar yuran sekolah dengan titik peluhnya semata-mata untuk melihat saya menggenggam segulung ijazah.  Maka, penat lelah ibu sewajarnya saya balas dengan belajar sebaik-baik mungkin agar dapat menamatkan bebanan ibu.  Sebagai contoh, sekiranya saya belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang, saya mampu memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bijak pandai ada mengatakan bahawa belajarlah walau ke negara China sekalipun.  Dengan biasiswa yang saya peroleh, ibu tidak perlu membiayai yuran dan keperluan saya lagi. Jelaslah bahawa belajar dengan bersungguh-sungguh merupakan salah satu cara untuk menghargai jasa ibu.

Lanjutan daripada huraian di atas, langkah lain untuk menghargai jasa ibu adalah dengan menjaga hatinya.  Sering kali saya lihat di dada-dada akhbar menyiarkan rintihan-rintihan ibu di Rumah Kebajikan Orang Tua yang dibuang keluarga.  Sebagai  contoh yang ketara, baru-baru ini media massa menceritakan kisah ibu tua yang dibuang keluarga hanya kerana dia sudah lumpuh. Ke manakah sebenarnya hilang nilai kemanusiaan yang sepatutnya masyarakat kita miliki? Oleh itu saya sebagai seorang anak sewajarnya tidak menghiris perasaan ibu kerana setitis air mata ibu kita yang jatuh, selangkah kaki saya menuju ke neraka.  Masyarakat Arab ada mengatakan bahawa walau dengan perkataan ‘Ah!’ sekalipun, kita dianggap derhaka terhadap ibu. Apatah lagi sekiranya saya melukakan perasaan ibu.  Tidak terbayang azab yang menanti saya di akhirat kelak.  Tegaslah bahawa dengan menjaga hati ibu, saya dapat menghargai jasa ibu selama ini.

Seharusnya saya tidak memandang enteng tentang penjagaan ibu pada hari tuanya. Sejak umur saya setahun jagung lagi ibu telah menjaga saya bagai menatang minyak yang penuh. Ibu juga sanggup berjaga malam semata-mata untuk menjaga saya yang sering kali sakit. Tidak dimintanya wang berjuta sebagai balasan, hanya secebis kasih sayang pada hari tuanya kelak. Masakan saya mengetepikan ibu ketika dia memerlukan seseorang untuk bergantung harap? Menjaga ibu pada hari tuanya merupakan kewajipan bagi saya dan sebagai cara untuk menghargai jasa ibu kepada saya.  Sebagai analogi, saya mengajak ibu tinggal bersama-sama saya sekiranya dia sudah tidak mampu mengurus dirinya dengan baik. Dengan berbuat demikian, saya dapat melihat keadaan ibu setiap masa dan lebih mudah untuk menguruskannya.  Izharlah bahawa dengan menjaga kebajikannya pada hari tua merupakan salah satu cara untuk saya menghargai jasa ibu.

Hadis ada menyebut bahawa doa itu senjata orang mukmin. Dengan berdoalah menunjukkan saya berserah kepada Allah atas segala urusan yang telah diusahakan. Begitu juga bagi menghargai jasa ibu. Tiada apa-apa yang lebih bermakna selain doa anak soleh untuk ibunya. Sebagai contoh, setiap kali selepas solat, saya akan mendoakan kesejahteraan ibu di dunia dan di akhirat. Tidak sewajarnya kita merendah-rendahkan peranan doa dalam hidup kerana apabila matinya seorang mukmin itu, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara dan salah satunya ialah doa anak yang soleh. Oleh itu, sekiranya Allah memakbulkan doa saya, sudah pasti ibu saya akan berasa tenang dan tenteram. Tegaslah bahawa dengan berdoa, saya dapat menghargai jasa ibu ke atas saya selama ini.

Langkah lain untuk menghargai jasa ibu adalah dengan mendengar nasihat dan kata-kata ibu. Tiada ibu yang menginginkan perkara yang tidak baik untuk anaknya. Ibu juga lebih banyak makan garam daripada saya justeru setiap nasihat yang diberikan oleh ibu seharusnya saya manfaatkan. Asam garam kehidupan telah pun dirasai terlebih dahulu oleh ibu.  Sebagai analoginya, sekiranya ibu menyuruh saya memilih bidang sains, saya akan menurutnya dengan hati yang tebuka. Minat itu boleh dipupuk, tetapi perasaan ibu? Saya hanya mempunyai seorang ibu di dunia ini dan saya seharusnya menghargai setiap perbuatan dan keputusan yang dilakukan  untuk kebaikan saya. Apabila saya mendengar nasihat ibu, ibu akan berasa senang hati dan gembira sekali gus menunjukkan betapa saya menghargai usaha ibu untuk menjadikan saya insan yang berguna untuk masyarakat dan negara. Jelaslah bahawa dengan mendengar nasihat dan kata-kata ibu, saya dapat menghargai jasa ibu selama ini.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagikan bersuluh bahawa terdapat banyak cara untuk saya menghargai jasa ibu. Ibu merupakan buah hati pengarang jantung saya. Tidak dapat dibandingkan dengan nilai materialistik yang kian dibanggakan pada zaman ini.  Peribahasa lain dulang lain kaki, lain orang lain hati menunjukkan manusia yang terdiri daripada pelbagai ragam dan cara untuk memacu hidup mereka. Oleh hal yang demikian, masyarakat kini seharusnya bersikap seperti habis kapak berganti beliung dalam menghargai jasa ibu.  Sebelum nasi menjadi bubur, jasa ibu wajib kita hargai agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang mendapat kemurkaan-Nya.

PUTRI ALIAH – 5 BRL 2013

PERANAN IBU BAPA MENJAYAKAN KEMPEN BELILAH BARANGAN BUATAN MALAYSIA

Kempen ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ tidak akan berjaya jika tiada usaha untuk memupuk budaya mengutamakan barangan tempatan sejak awal lagi.  Oleh itu, ibu bapa sewajarnya memainkan peranan bagi menjayakan kempen tersebut.

Berdasarkan pernyataan di atas, bincangkan peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak membeli barangan  buatan Malaysia.

Angin perubahan pemodenan telah bertiup, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, media massa sering menguar-uarkan kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia. Umum mengetahui bahawa ibu bapa merupakan orang yang terdekat dengan anak-anak dan mereka diberi tanggungjawab bagi menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia.  Contoh yang boleh kita ketengahkan ialah ibu bapa boleh melakukan pelbagai cara dan prakarsa agar anak-anak mereka tidak akan memilih barangan selain buatan tempatan. Apakah inisiatif yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam hal ini? Persoalannya, bagaimanakah cara yang efektif dan berkesan untuk menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia tanpa membebankan fikiran ibu bapa untuk memajukan barangan buatan negara sendiri? Oleh itu, peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan secara terperinci bagi kepentingan semua pihak.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa membeli barangan buatan Malaysia dapat mengelakkan daripada pengaliran mata wang asing negara kita ke luar negara. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam hal ini? Dalam konteks ini, ibu bapa perlu mengatur kewangan anak-anak mereka sejak mereka kecil lagi. Sekiranya ibu bapa tidak mengamalkan perkara sebegini sejak mereka kecil lagi maka anak-anak akan menjadi manja akibat sudah terbiasa dengan tabiat dahulu. Daripada realiti ini, dapatlah kita katakan bahawa ibu bapa dapat membendung inflasi kerana mata wang negara kita tidak mengalir ke luar negara. Tambahan pula, dana negara akan meningkat. Bertitik tolak daripada itu, bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa menjadi penyelamat negara ini daripada mengalami kerugian dengan mengatur kewangan anak-anak. Sebagai analoginya, ibu bapa memberikan wang saku sekurang-kurangnya RM20 sebulan kepada anak-anak dan sekiranya anak-anak ingin meminta lebih, anak-anak perlulah memberikan alasan yang munasabah kepada ibu bapa. Jelaslah bahawa anak-anak tidak akan dapat membeli barangan import yang lebih mahal daripada barangan buatan Malaysia.

Lontaran idea yang kedua ialah ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak dengan membandingkan perbezaan harga barangan import dengan barangan buatan Malaysia. Mengapakah isu ini dibangkitkan? Hal ini demikian adalah kerana apabila ibu bapa mengajar anak-anak dengan perkara sedemikian jadi mereka dapat menjimatkan pembelian dengan memilih barangan buatan Malaysia. Dalam hal ini, ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak daripada bersikap biar papa asal bergaya juga alah membeli menang memakai. Hakikatnya, sikap negatif ini harus dibendung daripada sanbari anak-anak. Sebenarnya, ibu bapa seharusnya membezakan sesuatu barangan itu berdasarkan kualitinya.  Anak-anak mungkin tidak menyedari akan hakikat ini kerana mereka lebih bersikap rambang mata daripada kebiasaannya. Contoh yang boleh kita ambil ialah ibu bapa memberitahu anak-anak bahawa walaupun barangan buatan Malaysia kelihatan murah tetapi kualiti produknya kadangkala dapat bertahan lebih lama. Izharlah bahawa, perbandingan harga yang dilakukan oleh ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia.

Sesungguhnya, setiap penyakit ada nurbisanya, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Kita juruskan skop perbincangan kita kepada isi yang seterusnya iaitu ibu bapa seyogianya membawa anak-anak melihat sendiri barangan buatan Malaysia di tempat-tempat yang sedia ada seperti di Kuala Lumpur. Mengapakah hal ini dibangkitkan? Dalam konteks ini, ibu bapa perlu mengambil cuti bersama-sama anak supaya anak-anak dapat melihat sendiri kecantikan dan keunikan barangan buatan Malaysia berbanding barang import.  Impaknya, anak-anak akan sedar bahawa rakyat Malaysia mampu berdiri di atas kaki sendiri. Tamsilannya seperti, anak-anak akan dapat melihat kereta-kereta nasional seperti Myvi, Viva dan sebagainya di depan mata mereka.  Bertitik tolak daripada itu, enjin berkuasa tinggi yang digunakan bagi kegunaan Kereta Formula Satu (F1) dapat membuka mata anak-anak bahawa negara  Malaysia dapat berdiri setanding negara-negara gergasi di peringkat antarabangsa. Bukankah hal ini dapat menguntungkan ibu bapa supaya anak-anak tidak akan boros membeli barangan bukan buatan Malaysia. Tegasnya, ibu bapa perlu meluangkan sedikit masa dengan membawa anak-anak menikmati keunikan barangan buatan Malaysia.

Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ibu bapa membelikan atau menghadiahkan anak-anak barangan buatan Malaysia.  Sesungguhnya, ibu bapa boleh menjadi suri teladan kepada anak-anak.   Sebagai tamsilannya, ibu bapa membelikan barangan buatan Malaysia seperti kraf tangan kepada anak-anak semasa menyambut hari kelahiran anak-anak.  Bukankah anak-anak akan menghargai pemberian ibu bapa? Implikasinya, mungkin anak-anak pula akan membeli barangan buatan Malaysia dan menghadiahkannya kepada ibu bapa. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia dapat membantu anak bangsa mereka sendiri. Maka, keperluan harian akan dapat dipenuhi walaupun menggunakan barangan buatan Malaysia. Oleh itu, ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan membelikan mereka barangan buatan Malaysia.

Sebagai merumus, sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, semua pihak hendaklah bersikap ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni agar kempen ‘Barangan Buatan Malaysia’ dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, rakyat Malaysia haruslah memberikan sokongan dengan membeli produk dan barangan buatan Malaysia bagi mencapai visi 2020. Janganlah apabila nasi sudah menjadi bubur barulah kita hendak membeli barangan buatan Malaysia. Oleh itu, langkah mutakhir perlu dilakukan seperti kata-kata pujangga iaitu genggan bara api, biar sampai jadi arang.


NURUL ATSILAH – 5 BRL 2013

TRIAL SPM JOHOR 2013 - BAHAGIAN A


FAEDAH-FAEDAH KOPERASI DI SEKOLAH 

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari menjelang ambang 2020, keadaan ini menandakan titik permulaan zaman yang serba mencabar minda kita. Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh pancaroba ini, pihak sekolah telah menubuhkan koperasi di sekolah. Koperasi merupakan pertubuhan ditubuhkan oleh pihak sekolah untuk kemudahan warga sekolah, khususnya pelajar dan guru. Dengan adanya koperasi di sekolah, kita dapat memperoleh banyak kebaikan yang tidak dapat dikira dengan hujung jari kita. Persoalannya kini, apakah kebaikan penubuhan koperasi sekolah kepada warga sekolah itu sendiri? Oleh hal yang demikian, faedah-faedah koperasi sekolah yang akan menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dikupas dan dihuraikan secara terperinci demi kebaikan bersama.

Sebagai mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan idea saya tentang faedah koperasi terhadap warga sekolah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelajar atau guru dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah. Mereka dapat menikmati barangan yang harganya berpatutan dan barangan yang berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi menjual pelbagai barangan dan makanan seperti alat tulis, minuman, kertas kajang, buku latihan dan sebagainya. Kesemua ini telah memenuhi kehendak dan keperluan guru dan pelajar. Sebagai analogi, pelajar dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang rendah berbanding membeli sebatang pen di pasar raya. Tambahan pula, barangan di pasar raya mahal-mahal belaka. Hal ini secara tidak langsung, pelajar dapat menjimatkan wang untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran. Tegasnya, koperasi menawarkan barangan yang harganya berpatutan dan berkualiti kepada warga sekolah.

Lanjutan daripada huraian di atas, warga sekolah yang menjadi ahli koperasi berhak mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan bonus melalui pembelian barangan oleh warga sekolah. Keuntungan tersebut datangnya daripada jual beli yang dijalankan. Selain itu, sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh oleh koperasi juga dapat dikeluarkan untuk membantu pihak sekolah dalam menangani masalah prasarana sekolah. Wang tersebut boleh digunakan untuk menyediakan dan menaik taraf prasarana di sesebuah sekolah. Contoh yang boleh diketengahkan ialah koperasi SMK Hamzah Berhad yang berpegang teguh pada prinsip koperasi kita dari kita untuk kita dengan membahagikan sebahagian keuntugan koperasi untuk membeli buku rujukan dan buku cerita koleksi terbaru untuk perpustakaan sekolah demi kemudahan murid yang dahaga akan ilmu pengetahuan. Jelaslah bahawa koperasi mendapat keuntungan yang berkali ganda melalui aktiviti jual beli. 

Bukan setakat itu sahaja, koperasi membolehkan anak-anak muridnya mengetahui asas perniagaan. Apabila pelajar mengendalikan urus niaga di koperasi, mereka dapat memahami dan menguasai asas perniagaan. Pengalaman baru ini tidak dapat dipelajari dalam silibus sekolah dan merupakan satu pendekatan yang baik untuk mempraktikkan apa-apa yang dipelajari di dalam bilik darjah. Pelajar yang belajar subjek-subjek seperti Prinsip Perakaunan, subjek Perniagaan dan Perdagangan dapat memahami apa-apa yang dipelajari dengan lebih lebih lanjut dan efektif dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, pelajar dapat berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat dengan pelajar yang lain dan guru tentang selok-belok dalam urus niaga. Rentetan daripada situasi tersebut, hubungan silaturahim bagai isi dengan kuku dapat dipupuk antara guru dan pelajar. Malah, mereka dapat menambah ilmu pengetahuan mereka supaya mereka tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa asas perniagaan dapat dimantapkan dalam sanubari anak-anak didik melalui penglibatan mereka dalam koperasi sekolah. 

Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, koperasi mendatangkan banyak faedah kepada warga sekolah mahupun pihak sekolah. Oleh hal yang demikian kita perlu bersyukur dan menghargai ahli jawatankuasa koperasi yang begitu bersungguh- sungguh mengendalikan dan mengurus hal ehwal koperasi. Tanpa usaha gigih mereka, koperasi sekolah sudah pasti bagai sebutir batu berlian yang tidak berguna. Marilah kita bersama-sama bagai aur dengan tebing meneruskan usaha kita dalam menjayakan koperasi sekolah demi mengecapi visi kudsi wawasan 2020 yang diimpikan dan diwara-warakan oleh mantan Perdana Menteri yang keempat dan semua lapisan masyarakat.

FOO SUH JUAN

Thursday, September 19, 2013

Industri Pelancongan Kesihatan Di Malaysia


Industri pelancongan kesihatan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kini. Fenomena ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat global dan mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah memajukan industri pelancongan kesihatan di Malaysia.


Sebagaimana yang kita sedari, industri pelancongan memainkan peranan yang semakin penting dan dominan sebagai nadi ekonomi dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan memangkinkan pembangunan di Malaysia. Pada tahun 1990, kerajaan Malaysia telah mengadakan Tahun Melawat Malaysia untuk menggamit kebanjiran pelancong baik dari negara atas angin mahupun dari negara bawah angin. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bidang pelancongan mendatangkan manfaat yang tidak ternilai dan menjanjikan pulangan yang lumayan. Selain menjadi sumber pendapatan negara, industri pelancongan berperanan mustahak dalam membaiki, dan meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang perkhidmatan, perhotelan, perniagaan dan penghasilan kraftangan agar rakyat dapat mencari nafkah hidup dan mata pencarian dengan tulang empat kerat dan mengikis sikap menantikan nasi disajikan ke mulut. Atas kesedaran ini, segala sumber kekuatan Malaysia dalam industri pelancongan harus dicungkil, dikembangkan dan dimanfaatkan semaksimumnya dengan terancang agar impian Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang tersohor tercapai secemerlangnya. Dalam konteks ini, salah satu bidang dalam industri pelancongan ialah pelancongan kesihatan. Menurut Kamus Dewan, pelancongan kesihatan bertujuan untuk menarik pelancong berkunjung ke Malaysia atas sebab perawatan dan perubatan di samping makan angin. Persoalan yang berputar-putar dalam kotak minda kita ialah apakah langkah-langkah untuk memajukan industri pelancongan kesihatan di Malaysia? Oleh itu, langkah-langkah memajukan industri pelancongan yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas lebih mendalam untuk kepentingan semua pihak terutama rakyat dan negara kita. 

Jika kita bersedia memeras otak dan berhempas pulas, pendekatan yang berkesan untuk memajukan industri pelancongan kesihatan tentu ada kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sebagai mukadimah perbincangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan harus bekerjasama seperti berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk membina kewibawaan dan kredibiliti Malaysia dalam indutri pelancongan kesihatan. Kerajaan harus mengupah pakar perubatan yang terkenal di luar negara untuk melatih staf sokongan kesihatan misalnya jururawat, juruterapi, jurulatih kecergasan, jurusolek dan tukang urut. Universiti dan kolej perubatan swasta harus ditubuhkan untuk melatih doktor berkelayakan profesional, berdedikasi dan mahir. Dalam hal ini, doktor yang telah bersara patut dilantik semula secara kontrak bagi memberikan tunjuk ajar dan melatih mereka yang pengalamannya baru setahun jagung setampuk pinang dan berpengetahuan cetek dalam bidang perubatan. Doktor yang telah bersara sebenarnya mempunyai pengetahuan yang amat luas kerana mereka dianggap seperti kelapa, makin tua makin berminyak. Di samping itu, kerjasama dan pertukaran kepakaran dengan negar-negara lain harus dijalankan bagi berkongsi maklumat kritikal agar lebih mahir dan cekap dalam merawat penyakit yang sofistikated. Tegasnya, jika kualiti dan kuantiti staf sokongan dapat dicari jalan penyelesaian, negara Malaysia sudah pasti akan diyakini oleh pelancong asing yang datang dari Timur mahupun Barat. 

Sebagai lontaran idea kedua, pengaplikasian teknologi yang canggih dan lengkap dalam bidang perubatan amat penting bagi memajukan industri pelancongan kesihatan seperti yang dikatakan oleh nenek moyang kita mengais hendaklah berkuku kerana tanpa fasilitet dan kemudahan yang canggih, pakar perubatan tidak dapat menunjukkan kepakaran mereka. Dalam hal ini, pusat pemulihan kesihatan yang dapat memenuhi pelbagai keperluan pelancong harus ditubuhkan selengkapnya. Sebagai contoh, Pusat Jantung Malaysia di Kuala Lumpur harus didirikan di bandar utama supaya dapat memberikan perkhidmatan kepada pelancong yang menghidap penyakit kardiovaskular. Seterusnya, pusat penjagaan kesihatan harus ditubuhkan untuk membantu pesakit diabetes mengawal berat badan yang sesuai dan memberikan nasihat serta rawatan kepada mereka tentang pengamalan pemakanan yang seimbang dan mengikisan konsep hidup untuk makan. Bagi pelancong yang mementingkan kecantikan fizikal, pusat perawatan muka dan pelangsingan badan seperti spa harus ditubuhkan dan dikawal secara profesional agar dapat memelihara kecantikan, kelangsingan badan dan kesihatan dari luar dan dalam bak bulan purnama. 

Dalam usaha memajukan industri pelancongan kesihatan, kos perubatan dan perawatan tidak dapat diketepikan. Memang lumrah bahawa kos perubatan dan perawatan yang kompetitif malah lebih rendah tetapi mutu perkhidmatan setanding negara maju yang lain dapat menggamit kebanjiran pelancong asing ke Malaysia. Menurut laporan ‘News Straits Times’, Pusat Pemulihan Mahkota Melaka yang menawarkan perubatan dan perawatan yang tarafnya setanding dengan negara Barat tetapi dengan kos yang rendah telah berjaya menarik pelancong negara serantau yang berjumlah 2 000 orang sebulan. Tidak ketinggalan juga, kemudahan insurans kesihatan harus disediakan secara talian terus supaya pelancong dapat berkunjung ke negara kita untuk mendapat rawatan dan perubatan dengan lebih yakin dan selesa. Berbekalkan cogan kata, mesra pelanggan, industri pelancongan kesihatan di Malaysia akan dapat gah ke puncak kegemilangannya. 

Seperkara lagi, teknik promosi yang pragmatik harus dilaksanakan bagi memajukan industri pelancongan kesihatan di Malaysia. Dalam hal ini, maklumat komprehensif berkaitan dengan perawatan dan perubatan di Malaysia sepatutnya disebar luas kepada masyarakat global. Media massa merupakan wahana dan medium yang amat berkesan dalam penyebaran maklumat kerana berkembang pesat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Selain itu, maklumat berkenaan juga perlu disebarkan di lokasi yang strategik di tempat awam di luar negara agar dapat menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia. Pada masa yang sama, pihak hospital hendaklah berusaha mendapat pengiktirafan terutamanya di peringkat antarabangsa. Atas kesedaran ini, pihak hospital perlu memenuhi syarat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Tidak kurang penting juga, pihak hospital juga harus mencipta laman web sendiri untuk menonjolkan kecanggihan perubatan dan perawatan hospital masing-masing. Janganlah pihak hospital mencari alasan dan bersikap genggam-genggam bara api rasa hangat dilepaskan kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. 

Kesimpulannya, kudrat dan usaha yang berlipat ganda harus digembleng sepadunya dalam usaha memajukan industri pelancongan kesihatan. Harus kita sedari, setiap bangunan yang tersergam megah tidak bergantung pada sebatang tiang sahaja tetapi tiang-tiang dan pasak-pasak yang saling menopang antara satu sama lain kerana bersatu teguh bercerai roboh. Kejayaan yang semanis madu tidak akan dapat kita kecapi tanpa curahan usaha yang sepahit hempedu kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Atas kesedaran ini, kerajaan perlu bersikap proaktif, progresif dan dinamik dalam memajukan industri pelancongan kesihatan. Seandainya segenap lapisan masyarakat bekerjasama selangkah sederap, bertindak sepakat seia sekata dan bergerak sehati sejiwa, sudah pasti usaha kita dalam membangunkan industri pelancongan kesihatan akan berjaya dan Malaysia akan terkenal sebagai destinasi pelancongan kesihatan antarabangsa di persada dunia.
Cheng  Xi Shan
[956 patah perkataan]