Monday, September 23, 2013

TRIAL SPM JOHOR 2013 - BAHAGIAN B ~ SOALAN 5

SOALAN 5
Peribahasa ‘Syurga itu di bawah telapak kaki ibu’ mengambarkan keagungan seorang ibu dan kewajipan seorang anak untuk berbakti kepada ibu atas jasa memelihara dan membesarkan kita.

Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah menghargai jasa ibu berdasarkan peribahasa di atas.

“Ibu… Ibu… Engkaulah ratu hatiku.”

Lirik lagu di atas sering kali kita dengar terutama sekali ketika menjelangnya Hari Ibu sedunia pada hari Ahad minggu kedua setiap tahun. Namun, fahamkah kita maksudnya atau kita sekadar mengikut orang lain yang menyanyikannya ibarat lembu dicucuk hidung? Peribahasa  Syurga itu di bawah telapak kaki ibu jelas memanifestasikan keagungan seorang ibu dan kewajipan seorang anak untuk berbakti kepada ibu atas pengorbanan yang telah dicurahkan kepada kita.  Sayangnya, ramai daripada kita yang tidak sedar dek terlalu hanyut dengan pemikiran barat yang membanjiri minda kecil kita bahawa seorang ibu itu juga merupakan salah satu nikmat Allah yang tidak terhingga. Entah bagaimana kita terlepas pandang, layanan anak-anak muda kini terhadap ibu mereka semakin endah tak endah dan angkuh. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membuat anjakan paradigma dalam memperkasakan langkah-langkah menghargai jasa ibu.

Isi perbincangan yang pertama, saya sebagai seorang pelajar wajib belajar bersungguh-sungguh kerana secara tidak langsung, itu merupakan amanah yang saya pikul di bahu yang diberikan oleh ibu. Seperti yang saya ketahui, ibu membayar yuran sekolah dengan titik peluhnya semata-mata untuk melihat saya menggenggam segulung ijazah.  Maka, penat lelah ibu sewajarnya saya balas dengan belajar sebaik-baik mungkin agar dapat menamatkan bebanan ibu.  Sebagai contoh, sekiranya saya belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang, saya mampu memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bijak pandai ada mengatakan bahawa belajarlah walau ke negara China sekalipun.  Dengan biasiswa yang saya peroleh, ibu tidak perlu membiayai yuran dan keperluan saya lagi. Jelaslah bahawa belajar dengan bersungguh-sungguh merupakan salah satu cara untuk menghargai jasa ibu.

Lanjutan daripada huraian di atas, langkah lain untuk menghargai jasa ibu adalah dengan menjaga hatinya.  Sering kali saya lihat di dada-dada akhbar menyiarkan rintihan-rintihan ibu di Rumah Kebajikan Orang Tua yang dibuang keluarga.  Sebagai  contoh yang ketara, baru-baru ini media massa menceritakan kisah ibu tua yang dibuang keluarga hanya kerana dia sudah lumpuh. Ke manakah sebenarnya hilang nilai kemanusiaan yang sepatutnya masyarakat kita miliki? Oleh itu saya sebagai seorang anak sewajarnya tidak menghiris perasaan ibu kerana setitis air mata ibu kita yang jatuh, selangkah kaki saya menuju ke neraka.  Masyarakat Arab ada mengatakan bahawa walau dengan perkataan ‘Ah!’ sekalipun, kita dianggap derhaka terhadap ibu. Apatah lagi sekiranya saya melukakan perasaan ibu.  Tidak terbayang azab yang menanti saya di akhirat kelak.  Tegaslah bahawa dengan menjaga hati ibu, saya dapat menghargai jasa ibu selama ini.

Seharusnya saya tidak memandang enteng tentang penjagaan ibu pada hari tuanya. Sejak umur saya setahun jagung lagi ibu telah menjaga saya bagai menatang minyak yang penuh. Ibu juga sanggup berjaga malam semata-mata untuk menjaga saya yang sering kali sakit. Tidak dimintanya wang berjuta sebagai balasan, hanya secebis kasih sayang pada hari tuanya kelak. Masakan saya mengetepikan ibu ketika dia memerlukan seseorang untuk bergantung harap? Menjaga ibu pada hari tuanya merupakan kewajipan bagi saya dan sebagai cara untuk menghargai jasa ibu kepada saya.  Sebagai analogi, saya mengajak ibu tinggal bersama-sama saya sekiranya dia sudah tidak mampu mengurus dirinya dengan baik. Dengan berbuat demikian, saya dapat melihat keadaan ibu setiap masa dan lebih mudah untuk menguruskannya.  Izharlah bahawa dengan menjaga kebajikannya pada hari tua merupakan salah satu cara untuk saya menghargai jasa ibu.

Hadis ada menyebut bahawa doa itu senjata orang mukmin. Dengan berdoalah menunjukkan saya berserah kepada Allah atas segala urusan yang telah diusahakan. Begitu juga bagi menghargai jasa ibu. Tiada apa-apa yang lebih bermakna selain doa anak soleh untuk ibunya. Sebagai contoh, setiap kali selepas solat, saya akan mendoakan kesejahteraan ibu di dunia dan di akhirat. Tidak sewajarnya kita merendah-rendahkan peranan doa dalam hidup kerana apabila matinya seorang mukmin itu, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara dan salah satunya ialah doa anak yang soleh. Oleh itu, sekiranya Allah memakbulkan doa saya, sudah pasti ibu saya akan berasa tenang dan tenteram. Tegaslah bahawa dengan berdoa, saya dapat menghargai jasa ibu ke atas saya selama ini.

Langkah lain untuk menghargai jasa ibu adalah dengan mendengar nasihat dan kata-kata ibu. Tiada ibu yang menginginkan perkara yang tidak baik untuk anaknya. Ibu juga lebih banyak makan garam daripada saya justeru setiap nasihat yang diberikan oleh ibu seharusnya saya manfaatkan. Asam garam kehidupan telah pun dirasai terlebih dahulu oleh ibu.  Sebagai analoginya, sekiranya ibu menyuruh saya memilih bidang sains, saya akan menurutnya dengan hati yang tebuka. Minat itu boleh dipupuk, tetapi perasaan ibu? Saya hanya mempunyai seorang ibu di dunia ini dan saya seharusnya menghargai setiap perbuatan dan keputusan yang dilakukan  untuk kebaikan saya. Apabila saya mendengar nasihat ibu, ibu akan berasa senang hati dan gembira sekali gus menunjukkan betapa saya menghargai usaha ibu untuk menjadikan saya insan yang berguna untuk masyarakat dan negara. Jelaslah bahawa dengan mendengar nasihat dan kata-kata ibu, saya dapat menghargai jasa ibu selama ini.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagikan bersuluh bahawa terdapat banyak cara untuk saya menghargai jasa ibu. Ibu merupakan buah hati pengarang jantung saya. Tidak dapat dibandingkan dengan nilai materialistik yang kian dibanggakan pada zaman ini.  Peribahasa lain dulang lain kaki, lain orang lain hati menunjukkan manusia yang terdiri daripada pelbagai ragam dan cara untuk memacu hidup mereka. Oleh hal yang demikian, masyarakat kini seharusnya bersikap seperti habis kapak berganti beliung dalam menghargai jasa ibu.  Sebelum nasi menjadi bubur, jasa ibu wajib kita hargai agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang mendapat kemurkaan-Nya.

PUTRI ALIAH – 5 BRL 2013

No comments:

Post a Comment