Monday, September 23, 2013

TRIAL SPM JOHOR 2013 - SOALAN 5

CONTOH 2

  
 Siapalah kita tanpa ibu? Siapalah yang menjaga kita sejak kita belum lagi dilahirkan jikalau bukan ibu? Siapalah yang sanggup mencuci najis kita kala kita masih kecil sekiranya bukan ibu? Ibu, satu perkataan yang cukup ringkas tetapi amat bermakna buat semua individu. Ibu merupakan insan yang paling banyak berjasa dalam hidup setiap orang. Sejak daripada hari ibu mengetahui tentang kandungannya itu, sejak itulah dia menjaga kita bagai menatang minyak yang penuh. Walaupun belum pernah bersua muka, namun ibu menjaga kita seperti dia mengandungkan sebakul berlian. Ketika kita di dalam perut ibu, ibu mengambil pemakanan yang seimbang untuk memastikan janinnya berada dalam keadaan yang sihat dan tidak terdedah kepada penyakit. Begitulah sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Namun, terdapat juga sesetengah manusia yang tidak tahu menghargai pengorbanan seorang ibu yang sungguh besar untuk bertarung nyawa demi melahirkan mereka.  Sesungguhnya, seorang ibu itu perlulah dihargai hingga ke akhir hayat mereka.

   Kita perlulah menghargai ibu kita sejak kecil lagi kerana ibulah yang sentiasa memberikan semangat kepada kita unutk meneruskan kehidupan. Kita hendaklah mematuhi segala kata ibu dan sebagai seorang anak, kita tidak seharusnya melawan atau membantah arahan mereka. Sekiranya mereka memarahi kita, kita tidak sepatutnya menarik muka atau menyimpan dendam kerana setiap kali seseorang ibu itu marah, itu menunjukkan bahawa dia sayang kepada kita dan dia tidak mahu kita melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Kita juga mestilah bercakap dengan sopan dan lemah lembut kepada mereka kerana hati seorang ibu itu sungguh sensitif dan sesungguhnya kita akan mendapat dosa setiap kali hati ibu terguris disebabkan oleh perbuatan atau percakapan kita.

   Selain itu, jika sudah bersekolah, kita mestilah belajar dengan bersungguh-sungguh dan tekun untuk mencapai kejayaan dengan cemerlang. Hal ini disebabkan oleh kejayaan anak merupakan kebanggaan ibunya.  Kejayaan yang kita kecapi dapat menggembirakan hati ibu sekali gus menunjukkan rasa sayang dan cinta kita kepada ibu kita. Kajayaan-kejayaan di sekolah seperti mendapat tempat pertama dalam peperiksaan mahupun mendapat markah tertinggi dalam sesuatu subjek merupakan detik-detik indah bagi seorang ibu kerana perkara ini menunjukkan bahawa dia telah membimbing dan mendidik anaknya dengan baik. Kita juga perlulah menuntut ilmu dengan sebaik-baiknya untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dengan memperoleh keputusan yang cemerlang agar ibu kita dapat berbangga dengan kejayaan yang kita kecapi. Di samping itu, kita haruslah menjaga kelakuan dan percakapan kita di sekolah dan mengingati pesan ibu untuk menjaga nama baik keluarga. Hal ini dapat mengelakkan daripada ibu untuk datang ke sekolah berjumpa dengan guru dan berasa malu atas sikap buruk kita di sekolah. Oleh hal yang demikian, kita perlulah mengingati pesan ibu dan belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat menyejukkan hati mereka.

   Seterusnya, kita juga boleh menunjukkan penghargaan atas jasa dan pengorbanan ibu melalui sambutan hari istimewa seperti hari lahir dan Hari Ibu.  Hari-hari istimewa hanya datang sekali dalam setahun, oleh itu, kita hendaklah menggembirakan hati ibu serta menghiburkannya pada hari yang cukup bermakna itu.  Kita boleh memberikan hadiah yang isitimewa kepada ibu sebagai simbol penghargaan kita kepadanya seperti bunga, rantai ataupun barang-barang yang disukai olehnya.  Hadiah-hadiah akan disimpan oleh ibu dan semestinya akan membuatkan anaknya berasa dihargai.  Kita juga boleh membeli kek berperisa kegemaran ibu pada hari lahirnya dan menyanyikan lagu selamat hari lahir untuknya seterusnya menikmati kek itu bersama-sama keluarga tercinta.  Perkara-perkara kecil seperti ini sememangnya dilihatkan seperti upacara biasa tetapi besar maknanya bagi seorang ibu.

   Di samping itu, kita mestilah menjaga ibu kita dan membalas jasa mereka sehingga kita dewasa. Walaupun sudah mempunyai kerjaya dan sibuk menguruskan hal duniawi, kita tidak patut mengabaikan ibu kita. Kita hendaklah sentiasa menghormati ibu kita dan bercakap dengan sopan terhadapnya walaupun dia sudah tua dan tidak bermaya lagi. Kita sepatutnya menjaga ibu kita dengan penuh kasih sayang seperti mereka menjaga kita ketika kecil dengan berbakul-bakul rasa cinta. Perbuatan menempatkan ibu sendiri di rumah orang tua dengan alasan sibuk bekerja adalah tidak patut sama sekali. Ibu juga sibuk bekerja ketika kita masih kecil tetapi masih ada masa untuk menjaga dan melayan karenah kita, mengapa pula kita tidak begitu? Tanggungjawab anak tetap ada untuk menghargai jasa ibu selagi hayat dikandung badan. Tiada alasan sibuk bekerja patut diberikan dalam menjaga ibu kita sendiri. Konklusinya, kita tidak seharusnya mengabaikan ibu kita walau betapa padatnya jadual harian kerana itu merupakan satu amanah sebagai seorang anak. 

   Akhir sekali, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Tuhan agar kesihatan ibu terjamin serta kehidupannya lebih sejahtera. Penghargaan kepada jasa dan pengorbanan seorang ibu tidak semestinya ditunjukkan secara terang-terangan, berdoa untuknya juga merupakan tanda menghargai jasa ibu kita. Kita hendaklah berdoa dengan ikhlas agar doa itu dapat dimakbulkan. Kita juga boleh menghargai jasa ibu setelah dia meninggal dunia. Sebagai contoh, sebagai umat Islam, kita hendaklah menyedekahkan surah Yasin dan surah Al-Fatihah kepada arwah ibu kita agar jasadnya berada dalam keadaan yang aman. Kita juga boleh menggunakan wang peninggalan ibu untuk bersedekah kepada anak yatim dan fakir miskin serta mendoakan kesejahteraan ibu di alam akhirat supaya rohnya tenang dan aman.

   Tuntasnya, pengorbanan dan jasa seorang ibu amat besar dalam kehidupan kita.  Tanpa ibu, kita tidak akan berada seperti kita sekarang.  Sesungguhnya, jasa ibu itu wajib dikenang dan dihargai selagi kita masih bernyawa. Pengabaian dan penderhakaan terhadap ibu hanya menyumbangkan dosa besar kepada kita.  Oleh hal yang demikian, kita perlulah sentiasa menjaga dan menyayangi ibu kita dengan sepenuh hati selama kita masih dikandung hayat agar ibu kita rasa dihargai atas pengorbanannya dalam menahan sakit ketika mengandungkan kita, bertarung nyawa demi melahirkan kita serta berkorban masa, tenaga dan wang untuk membesarkan kita. Maka, ternyatalah bahawa jasa seorang ibu itu amatlah besar dan benarlah peribahasa yang mengatakan bahawa, Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

MAS DINAH – 5 BRL ~ 2013


No comments:

Post a Comment