Saturday, October 5, 2013

SOALAN TRIAL SPM JOHOR 2013 - SOALAN 2

PERANAN IBU BAPA DALAM MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MEMBELI BARANGAN BUATAN MALAYSIA


Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang 2020, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan berbagai-bagai barangan dan produk sendiri. Pada masa silam, negara kita tidak begitu maju menyebabkan barangan dan produk yang dihasilkan oleh negara kita tidak dapat bersaing dengan barangan import. Oleh sebab itu, rakyat kita mengagung-agungkan barangan luar negara khususnya generasi muda begitu gila mengejar fatamorgana seperti produk elektronik yang canggih yang diimport dari luar negara. Namun begitu, kini kita berada dalam zaman ledakan maklumat, barangan keluaran tempatan sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita lebih berkualiti daripada barangan import. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari kebaikan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita. Persoalannya kini, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia? Oleh hal yang demikian, peranan ibu bapa yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas secara terperinci.

Lontaran idea yang pertama, ibu bapa sewajarnya menerangkan kelebihan pembelian barangan buatan negara kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami manfaat-manfaatnya dan membeli barangan buatan Malaysia. Hal ini disebabkan generasi muda menganggap kualiti produk negara kita tidak setanding dengan produk-produk yang diimport dari luar negara. Dengan menjelaskan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak, sikap prejudis dan prasangka serta memandang rendah terhadap barangan tempatan dari sudut pemikiran anak-anak akan dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa. Contoh yang paling ketara dengan kita ialah ibu bapa menunjukkan sokongan terhadap kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh pihak-pihak berkenaan seperti Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia kepada anak-anak mereka untuk memastikan anak-anak mengetahui secara mendalam tentang produk-produk Malaysia agar mereka menyokong produk negara kita. Selain itu, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka menghadiri ceramah tentang kepentingan pembelian barangan buatan Malaysia supaya anak-anak sedar akan manfaat yang diperoleh negara kita sekiranya mereka membeli dan menggunakan produk Malaysia. Tegasnya, kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia sepatutnya diterangkan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya agar mereka bijak memilih barangan yang lebih berkualiti dengan harga yang lebih rendah.

Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah ibu bapa seyogianya membawa anak-anak mereka ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Hal ini akan memberikan pendedahan kepada anak- anak tentang pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada berbagai-bagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri jika ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran tersebut. Biar kita ambil contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia yang melibatkan premis perniagaan di seluruh negara. Impaknya, karnival sebegini akan mencelikkan minda anak-anak agar mereka mengetahui kualiti dan kelebihan produk Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan buatan Malaysia dan menggunakannya. Hal inilah yang dikatakan tak kenal maka tak cinta. Sekiranya ibu bapa tidak membawa anak-anak ke pameran barangan ciptaan anak watan Malaysia, anak-anak akan terus menganggap barangan buatan Malaysia tidak berkualiti dan enggan menggunakan barangan Malaysia. Jelaslah bahawa ibu bapa perlulah membawa anak-anak mengujungi pameran ini untuk menyedarkan anak-anak tentang barangan buatan Malaysia dan ibu bapa berpeluang untuk membeli barangan Malaysia yang menawarkan potongan harga yang berpatutan. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa sambil menyelam minum air.

Sebagaimana yang kita ketahui, ibu bapa perlu menjadi role model kepada anak-anak disebabkan anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua orang tua mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa perlu berbuat demikian kerana mereka merupakan guru pertama kepada anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Dalam konteks ini, anak-anak yang meniru perbuatan ibu bapa akan menjadikan barangan buatan Malaysia sebagai pilihan utama ketika membeli-belah di kompleks beli belah kerana ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai analoginya, ibu bapa haruslah membeli barangan elektrik buatan Malaysia seperti Philips dan Panasonic, kereta buatan Malaysia seperti kereta seperti Myvi, Preve dan Viva serta barangan buatan Malaysia di kedai Satu Malaysia. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sepatutnya menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka dengan menyokong produk Malaysia yang berkualiti ini dan ibu bapa jangan bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, ibu bapa selayaknya memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini berlaku kerana semangat patriotik perlu diterapkan ke dalam sanubari anak-anak agar mereka terpanggil untuk membeli barangan buatan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyuburkan minat anak-anak terhadap barangan buatan Malaysia melalui mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Bahasa Malaysia. Secara tidak langsung, anak-anak yang disuntik dengan nilai cinta akan negara, sanggup berkorban untuk negara dan taat setia kepada raja dan negara akan membeli serta menggunakan barangan buatan Malaysia dengan perasaan bangga. Izharlah bahawa semangat patriotik seyogianya diterapkan ke dalam jiwa anak-anak oleh ibu bapa supaya produk Malaysia laris di pasaran antarabangsa dan ekonomi negara kita dapat dimajukan serta dapat menjadi negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, ibu bapa memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menggalakkan anak-anak mereka membeli barangan buatan Malaysia kerana ibu bapa merupakan insan yang terdekat dengan anak-anak mereka. Jika ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna, sudah tentu generasi muda akan berminat untuk membeli dan menggunakan produk Malaysia. Oleh itu, usaha-usaha yang efektif lagi pragmatik ini perlu dijalankan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat membantu pembangunan ekonomi negara kita. Persis kata orang tua-tua dahulu, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama bersinergi dalam menjadikan impian ini bukan sekadar omong-omong kosong malah sebagai rakyat yang mempunyai jati diri yang utuh mengutamakan pembelian barangan buatan Malaysia sebagai suatu kemestian yang perlu dilaksanakan.

[951 patah perkataan]

Loh You Siang ~ 5 Berlian





No comments:

Post a Comment