Saturday, September 3, 2011

FAKTOR KEMEROSOTAN MUTU SUKAN NEGARA

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian sukan yang terdapat di Malaysia. Huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor kemerosotan mutu sukan negara. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Memang tidak dapat dinafikan bahawa sukan sangat penting kepada negara. Namun kini, mutu sukan negara kita memang tidak begitu konsisten baik terutama dalam sukan bola sepak, hoki dan badminton. Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak memberikan pendapat mereka tentang kelemahan ini. Jelaslah, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan mutu sukan negara kita terus merosot.

Alasan utama yang menyebabkan mutu sukan negara kita merosot ialah para pemain kurang memiliki semangat cinta akan negara. Ketika bermain, ahli sukan negara tidak bermain dengan bersungguh-sungguh kecuali mereka ditawarkan pelbagai imbuhan sebelum ini. Maka, mutu sukan kita terus merudum kerana ketiadaan rasa patriotik dalam jiwa pemain negara.

Tambahan pula, kebanyakan ahli sukan negara menganggap bidang sukan yang mereka ceburi itu sebagai kerjaya sampingan sahaja. Persepsi sebegini menyebabkan mereka tidak memberikan tumpuan penuh ketika menjalani latihan atau ingin meninggikan kualiti permainan mereka itu. Sesungguhnya, konsep sukan aktiviti sampingan menjejaskan minat seseorang untuk meninggikan mutu permainan mereka.

Bukan sahaja ketiadaan semangat cinta akan negara dan menganggap sukan satu aktiviti sampingan sahaja tetapi mutu sukan negara kita merosot kerana kurangnya sekolah-sekolah sukan di negara ini. Ketiadaan sekolah-sekolah sukan menyebabkan negara ini tidak mampu mencungkil bakat-bakat baru atau mencari pelapis untuk ahli sukan veteran negara lalu menjejaskan kualiti mutu sukan pada jangka masa panjang pula. Justeru, mutu sukan kita merosot kerana negara ini tidak memiliki sekolah-sekolah sukan yang baik.

Malah, negara ini juga kekurangan kemudahan sukan berbanding dengan negara-negara yang maju industri sukannya. Kita tidak membina banyak kawasan sukan seperti gelanggan tenis, badminton, bola keranjang, dan stadium bola sepak yang boleh digunakan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia juga. Sesungguhnya, kekurangan kemudahan sukan menyebabkan rakyat negara ini tidak berpeluang untuk bermain permainan tertentu pula.

Konklusinya, semua faktor yang dinyatakan tadi telah menyebabkan kualiti sukan negara ini terus tidak konsisten. Semua pihak terutama kerajaan perlulah memberikan kerjasama yang jitu untuk mengatasi kelemahan dalam program sukan negara itu. Slogan Majulah Sukan Untuk Negara perlu diteliti untuk memastikan sukan di negara ini terus berkembang dengan baik.

Sumber: Noor Azman Mahat

CONTOH KARANGAN 2

PENDAHULUAN

Sejak peristiwa kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan. Kemerosotan mutu sukan negara amat ketara dalam sukan permainan dan juga olahraga. Hal ini dapat dilihat apabila pasukan bola sepak Malaysia kecundang dalam pusingan kelayakan Olimpik baru-baru ini. Pihak yang berkenaan haruslah mengambil inisiatif yang berkesan bagi meningkatkan mutu sukan negara dan seterusnya memartabatkan nama Malaysia di pentas dunia.

FAKTOR-FAKTOR

Mutu sukan negara kita memang tidak begitu konsisten baik dalam sukan bola sepak, hoki dan badminton. Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak memberikan pendapat mereka tentang kelemahan ini. Jelaslah, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan mutu sukan negara kita terus merosot. Alasan utama yang menyebabkan mutu sukan negara kita merosot ialah para pemain kurang memiliki semangat cinta akan negara. Ketika bermain, ahli sukan negara tidak bermain dengan bersungguh-sungguh kecuali mereka ditawarkan pelbagai imbuhan sebelum ini. Maka, mutu sukan kita terus merudum kerana ketiadaan rasa patriotik dalam jiwa pemain negara.

Tambahan pula, kebanyakan ahli sukan negara menganggap bidang sukan yang mereka ceburi itu sebagai kerjaya sampingan sahaja. Persepsi sebegini menyebabkan mereka tidak memberikan tumpuan penuh ketika menjalani latihan atau ingin meninggikan kualiti permainan mereka itu. Sesungguhnya, konsep sukan aktiviti sampingan menjejaskan minat seseorang untuk meninggikan mutu permainan mereka. Bukan sahaja ketiadaan semangat cinta akan negara dan menganggap sukan satu aktiviti sampingan sahaja tetapi mutu sukan negara kita merosot kerana kurangnya sekolah-sekolah sukan di negara ini. Ketiadaan sekolah-sekolah sukan menyebabkan negara ini tidak mampu mencungkil bakat-bakat baru atau mencari pelapis untuk ahli sukan veteran negara lalu menjejaskan kualiti mutu sukan pada jangka masa panjang pula. Justeru, mutu sukan kita merosot kerana negara ini tidak memiliki sekolah-sekolah sukan yang baik.
Malah, negara ini juga kekurangan kemudahan sukan berbanding dengan negara-negara yang maju industri sukannya. Kita tidak membina banyak kawasan sukan seperti gelanggan tenis, badminton, bola keranjang, dan stadium bola sepak yang boleh digunakan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia juga. Sesungguhnya, kekurangan kemudahan sukan menyebabkan rakyat negara ini tidak berpeluang untuk bermain permainan tertentu pula.Untuk rekod, Malaysia pernah mengecapi kejayaan yang membanggakan pada era keemasan 1960-an dan 70-an dan ramai daripada jaguh yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dulu kini masih memegang jawatan penting dalam pentadbiran sukan di Malaysia.

Dalam bidang olahraga, peserta Olimpik sebanyak tiga kali, Datuk Dr Mani Jegathesan (Rome 1960, Tokyo 1964 dan Mexico 1968), yang juga dikenali sebagai "Flying Doctor", dan atlet lompat pagar Istiaq Mubarak (Mexico 1968, Munich 1972, Montreal 1976), terus menjadi penanda aras bagi kebanyakan atlet muda yang bercita-cita mahu mencatat kehebatan dalam acara trek dan padang.Dua jaguh tersebut masing-masing telah mengambil bahagian dalam tiga sukan Olimpik berturut-turut, manakala kehebatan Dr Jega diingati hingga ke hari ini kerana kejayaannya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 200m (di Tokyo dan Mexico). Beliau juga masih memegang rekod kebangsaan bagi acara itu (20.92 saat yang dicatatnya di Mexico pada 1968).

Dalam acara bola sepak, Malaysia pernah digeruni di rantau Asia dengan kehadiran Arthur Koh, Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, Ghani Minhat, V. Arumugam dan M.Chandran.Bagaimanapun hari ini, kita bukan saja tidak diendahkan oleh Myanmar, Vietnam atau Laos, malah gagal memenangi pingat emas pada Sukan SEA sejak 1989 apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kejohanan.

Pasukan hoki Malaysia yang pernah menduduki tangga keempat pada kejohanan Piala Dunia 1975, dengan barisan nama-nama hebat seperti Sri Shanmuganathan, Ho Koh Chye dan M. Mahendran, kini hampir luput daripada sebutan peminat sukan itu. Kita gagal melayakkan diri bagi menyertai kejohanan Piala Dunia tahun ini setelah menduduki tangga kesembilan dalam pusingan kelayakan di Changzhou, China dan yang menyedihkan ialah Malaysia menduduki tempat tercorot daripada lapan pasukan yang menyertai kejohanan bagi merebut Trofi Sultan Azlan Shah baru-baru ini.Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa berbilion ringgit yang dibelanjakan bagi memajukan bidang sukan selama ini hanya merupakan pembaziran semata-mata. Satu-satunya peningkatan yang dapat dilihat ialah jumlah pegawai yang dibayar gaji kerana terlibat dalam bidang sukan.

Ketika pencapaian negara dalam bidang sukan semakin merosot, rakyat Malaysia menyaksikan kemunculan infrastruktur dan kemudahan sukan bertaraf dunia di merata-rata tempat serta pengaliran dana yang tidak putus-putus dalam sektor itu selain penubuhan jawatankuasa Kabinet mengenai Sukan yang membuktikan kesunguhan kerajaan dalam memajukan bidang berkenaan.Di samping itu, lapan sukan teras dikenal pasti - hoki, bola sepak, olahraga, skuasy, gimnastik, akuatik, badminton dan boling - yang menerima peruntukan berjumlah RM193 juta daripada kerajaan bagi meningkatkan pencapaian pesertanya.

Dalam keghairahan melaksanakan usaha itu, beberapa masalah lama mungkin terlepas pandang, antaranya kekurangan padang permainan atau kemudahan untuk orang ramai bersukan, ketiadaan program pembangunan di peringkat akar umbi, set minda yang tidak betul, tiada kekuatan mental dan sebagainya. Contohnya, satu dekad lepas, terdapat kira-kira 10 padang permainan di sekitar Bangsar yang menjadi tempat bagi anak muda dan orang lama bermain bola sepak dan permainan lain.

Padang Timur di Petaling Jaya pula pernah menjadi tumpuan bagi pelbagai jenis sukan termasuk bola sepak, bola jaring, tenis dan olahraga. Tetapi, hari ini, ia sepi daripada kegiatan sukan kerana dikawal ketat oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Padang Pejabat Pos di Jalan Imbi sudah tiada, begitu juga padang Kelab Rekreasi China Selangor yang dulunya terletak bersebelahan terminal bas Puduraya. Dua padang di bekas tapak Kelab KTM di Brickfields juga telah dikorek untuk memberi laluan kepada projek pembangunan. Ketiadaan pertandingan sukan di peringkat daerah dan antara daerah bagi sekolah dan orang ramai seperti yang wujud suatu ketika dulu bagi mencungkil bakat baru dalam bidang sukan, turut menyumbang kepada kemerosotan pencapaian negara dalam bidang berkenaan hari ini.

Sepatutnya, apa yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menghadiri majlis penyampaian Anugerah Olahragawan dan Olaharagawati Malaysia anjuran Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada 26 Jun lepas perlu dijadikan ingatan oleh semua pihak di negara ini. Kata beliau: "Bagi membolehkan sukan di Malaysia kembali maju, perubahan set minda perlu dilakukan." Beliau berkata tanggungjawab melahirkan ahli sukan yang berkualiti tidak terletak di bahu persatuan, Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Kebangsaan sahaja."Kanak-kanak mesti digalakkan menyertai bidang sukan oleh ibu bapa atau guru mereka sejak kecil lagi," katanya.Najib yang mengetuai jawatankuasa Kabinet mengenai Sukan turut membuat perbandingan tentang pencapaian Malaysia dan Ghana, yang turut mengecapi kemerdekaan pada 1957. "Kita jauh lebih maju daripada Ghana dalam setiap aspek pembangunan, kecuali sukan, kerana Ghana telah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia," kata Najib. Untuk berlaku adil kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), punca kemerosotan pencapaian negara dalam sukan itu tidak sepatutnya diletakkan pada bahunya semata-mata kerana jentera yang diberi tanggungjawab bagi melahirkan pemain berkaliber telah berhenti daripada beroperasi.

Ketiadaan proses untuk mengenal pasti pemain berkebolehan melalui pertandingan di peringkat daerah dan negeri serta penutupan beberapa akademi bola sepak yang diusahakan oleh negeri, banyak menyumbang kepada kekurangan pemain handalan yang dapat mewakili negeri masing-masing atau mengambil alih tempat yang dikosongkan oleh pemain kebangsaan pada masa akan datang. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pernah mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menubuhkan bank tanah bagi membina sekolah baru yang lengkap dengan padang permainan memandangkan ada sekolah yang tidak lagi mempunyai padang. Bekas setiausaha agung NUTP Datuk N. Siva Subramaniam berkata padang permainan di sekolah, terutama di bandar raya, semakin lenyap akibat pembangunan, yang sekaligus menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melakukan aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah. Beliau berkata banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan guru bahawa anak mereka tidak dapat menyertai aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah termasuk menyertai acara sukan sepanjang tahun. Menurutnya Kementerian Pelajaran wajar membeli tanah semasa pasaran hartanah murah dan menyimpannya untuk pembangunan sekolah pada masa akan datang. Beliau berkata sekolah tidak wajar "menguburkan" aktiviti sukan dan kesatuan itu memandang serius mengenai kurangnya sokongan guru besar dan pengetua sekolah dalam menggalakkan para pelajar menyertai aktiviti sukan sepanjang tahun. "Ada sekolah yang menumpukan aktiviti kokurikulum hanya untuk tempoh tiga bulan pertama persekolahan bagi memberi tumpuan pada persediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan manakala ada guru besar dan pengetua yang "membunuh" aktiviti sukan dengan menggantikan waktu mata pelajar pendidikan jasmani dengan mata pelajaran lain.

PENUTUP

Konklusinya, semua factor yang dinyatakan tadi telah menyebabkan kualiti sukan negara ini terus tidak konsisten. Semua pihak terutama kerajaan perlulah memberikan kerjasama yang jitu untuk mengatasi kelemahan dalam program sukan negara itu. Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”

Sumber : http://prauniversiti6.blogspot.com





5 comments:

  1. terima kasih cikgu :)
    karangan ni dpt bantu saya buat presentation pasal isu sukan di malaysia.. xla gagal subjek koko sya(sport mngment) hahaha.. tq cikgu :)

    ReplyDelete
  2. Sama-sama. Semoga lebih berjaya pada masa depan.

    ReplyDelete
  3. saya ambil karangan ni unt dijadikan sbg bahan rujukan di sekolah saya. harap diizinkan....

    ReplyDelete
  4. assalammualaikum. cikgu blh tlh saya? saya x dapat nak cari isi bge keburukkan bola sepak dalam kalangan masyarakat kita sekarang. blh cikgu tlg bagi isi?

    ReplyDelete