Monday, September 5, 2011

PERBANDINGAN NOVEL MELUNAS RINDU DAN KABUS DI PERBUKITAN




SOALAN NOVEL 2011
PERBANDINGAN TEMA
• Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan tema dalam setiap novel itu. [8 markah]
• Tema merupakan perkara pokok yang dibincangkan dalam sesebuah novel. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, bandingkan tema dalam setiap novel itu. [8 markah]

Contoh Jawapan

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan.

Dalam novel Melunas Rindu, tema yang dikemukakan ialah kasih sayang seorang saudara baru terhadap ahli keluarga dan sesama manusia. Buktinya, Fuad yang mempunyai perasaan sayang yang mendalam terhadap ibu kandung sehingga menyebabkan dia sanggup mencari pusara ibunya tetapi setelah mengetahui ibunya masih hidup dia cuba menjejakinya. Akhirnya dia berjaya menemui ibunya yang juga merupakan ibu kepada Farhana. Selain itu, kasih sayang Fuad terhadap kedua-dua ibu bapa angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah menyebabkan Fuad sanggup membelikan tanah, motorsikal dan membawa mereka berdua mengerjakan umrah ke Tanah Suci.

Manakala dalam novel Kabus Di Perbukitan pula mengemukakan tema jati diri dan kasih sayang seorang wanita terhadap ahli keluarganya dan juga tanah airnya. Sebagai contohnya, Faridah sangat sayang akan ibunya, buktinya dia sanggup menjaga ibunya dan tidak berpindah apabila suaminya, Ghazali bertugas di Kelang. Bukti lain, Faridah juga sangat sayang kepada Rahayu, adik kembarnya yang terpisah. Kekuatan kasih sayang itu menyebabkan Faridah seolah-olah dapat berhubung secara bawah sedar dengan Rahayu ketika Faridah berada dalam keadaan koma. Seterusnya, kasih sayang terhadap kampung halaman dan jati dirinya sebagai orang Melayu. Buktinya, Faridah tetap ingat akan kampung halamannya di Sungai Besar walaupun berada jauh di negeri orang. Malah Faridah juga tetap mengamalkan budaya Melayu ketika berada di New Zealand.


PERBANDINGAN PERSOALAN

• Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, bandingkan persoalan kasih sayang daripada setiap novel. [8 markah]

• Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, bandingkan persoalan yang terdapat dalam novel tersebut.
[8 markah]

Contoh Jawapan

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan.

Persoalan yang pertama ialah persoalan kasih sayang terhadap ibu. Dalam novel Melunas Rindu, persoalan ini jelas ada pada watak Fuad yang amat merindui ibunya yang telah lama terpisah. Dia sanggup mencari kubur arwah ibunya. Setelah dia mengetahui bahawa ibunya masih hidup, dia meneruskan pencarian dan segera menjejakinya. Manakala dalam novel Kabus Di Perbukitan pula, persoalan ini digambarkan pada watak Faridah yang sangat sayang akan ibunya, buktinya dia sanggup menjaga ibunya dan tidak berpindah apabila suaminya, Ghazali bertugas di Kelang.

Persoalan kedua ialah persoalan kasih sayang terhadap saudara kandung. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad sangat menyayangi Sofia dan Farhana kerana kedua-dua mereka adalah saudara kandungnya yang berlainan bapa. Sementara dalam novel Kabus Di Perbukitan, Faridah juga sangat sayang kepada Rahayu, adik kembarnya yang terpisah. Kekuatan kasih sayang itu menyebabkan Faridah seolah-olah dapat berhubung secara bawah sedar dengan Rahayu ketika Faridah berada dalam keadaan koma.

Persoalan lain ialah ketaatan kepada Tuhan dan ajaran agama iaitu Fuad sebagai saudara baru tekun mempelajari agama. Dia belajar mengaji daripada Pak Ismail dan selalu mengerjakan solat berjemaah di surau. Fuad tidak pernah meninggalkan solat waima dalam perjalanan pulang ke kampung atau pada masa kecemasan. Manakala dalam Novel Kabus Di Perbukitan pula ialah Faridah taat pada agama dan sentiasa mematuhi ajaran agama walaupun telah lama tinggal di New Zealand. Faridah mementingkan pendidikan agama kepada anak-anaknya, seusia 6 tahun anaknya telah dihantar belajar agama.


PERBANDINGAN WATAK UTAMA

• Kegigihan watak utama banyak dihuraikan dalam novel.
Berdasarkan dua novel yang anda kaji, huraikan peristiwa yang menunjukkan kegigihan watak utama menjalani kehidupan mereka. [8 markah]


Contoh Jawapan:

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu (MR) manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan (KDP). Watak utama dalam novel MR ialah Fuad manakala watak utama dalam novel KDP ialah Faridah.

Dalam novel MR, kegigihan watak utama iaitu Fuad dapat dilihat apabila dia berusaha mencari ibu kandungnya, Mariana yang dikatakan telah meninggal dunia tetapi sebenarnya masih hidup. Selain itu, Fuad juga gigih menjalani kehidupan sebagai saudara baru dalam Islam.

Manakala dalam novel KDP, kegigihan watak utama iaitu Faridah yang gigih menghadapi cabaran tinggal di negara asing yang berbeza budaya dan agama. Selain itu, kegigihan Faridah yang bekerja di pusat penyembelihan sebelum berkahwin dengan Soleh Johsons.


• Berdasarkan dua novel yang anda kaji, bandingkan perwatakan watak utama yang terdapat dalam novel. [8 markah]


Contoh Jawapan

Novel yang saya kaji dalam tingkatan empat ialah novel Melunas Rindu (MR) manakala dalam tingkatan lima ialah novel Kabus Di Perbukitan (KDP). Watak utama dalam novel MR ialah Fuad manakala watak utama dalam novel KDP ialah Faridah.

Perbandingan perwatakan watak utama ialah taat kepada agama dan perintah Tuhan. Dalam novel MR, Fuad Sebagai saudara baru dalam Islam, dia tekun mengaji al-Quran sementara menunggu waktu Isyak, dan mendalami ilmu agama daripada Pak Ismail. Manakala dalam novel KDP ialah Faridah taat pada agama dan sentiasa mematuhi ajaran agama walaupun telah lama tinggal di New Zealand dengan mementingkan didikan agama kepada kedua-dua anaknya.

Perbandingan kedua ialah tabah. Dalam MR, Fuad tabah menghadapi kenyataan bahawa orang yang dicintai iaitu Sofia dan Farhana ialah adiknya sendiri. Manakala dalam KDP, Faridah tabah menghadapi cabaran di rantau orang iaitu New Zealand seorang diri selepas kematian ibu dan suaminya.

Perbandingan perwatakan yang ketiga ialah penyayang. Dalam novel MR, Fuad begitu menyayangi kedua-dua ibu bapa angkatnya sehingga membelikan motosikal dan tanah untuk Pak Ismail dan membawa mereka berdua menunaikan umrah di Mekah. Manakala dalam novel KDP, Faridah sayang akan ibunya Salmah sehingga sanggup menemani ibunya dan tidak mahu berpindah mengikut suaminya yang bekerja di Kelang.

6 comments: