Wednesday, March 23, 2011

Contoh karangan A+ [SPM 2010]

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.
[1 414 patah kata]

Nukilan daripada Mohamad Syamir bin Shamsher Ahmad - SMK Impian Emas
Soalan SPM 2010
Soalan 2

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Situasi seperti di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.

28 comments:

  1. tade ke contoh karangan Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Karangan ini boleh digunakan,cuma ubah suai sedikit sahaja

      Delete
  2. tade ke contoh karangan punca sesebuah keluarga gagal mewujudkan keluarga harmoni

    ReplyDelete
  3. terima kasih cikgu ,,kerana dapat mehurai kan pendapat kepada saya ,dan saya dpt menjawab soalan rangsanagn dalam ujian ini alhamdulilahhh :)

    ReplyDelete
  4. idea yang mantap.. cikgu, mohon untuk dijadikan bahan rujukan.. terima kasih

    ReplyDelete
  5. isi y btul2 bergna dan idea y mnyerlah..
    izinkan sya unk jdikn krangan ni sbagai bahan rujukan untk sya....

    ReplyDelete
  6. karangan yang mantap dan bagus..doakan saya boleh lakukan trial spm besok

    ReplyDelete
  7. Karangan terbaik ttp isi perenggan 3 hingga perenggan 7 prinsipnya sama blaka.. dok ada beza.. hmm walau apapun karangan bagus.. Tahniah.

    ReplyDelete
  8. karangan bertaraf tinggilah!
    ada sesetengah perkataan tidak faham maksudnya terpaksa rujuk kamus (sebab selalunya bahasa melayu subjek lemah saya)
    Walaubagaimanapun, saya suka karangan ini ^^ isinya memang bagus XD

    ReplyDelete
  9. Karangan yang bagus Cikgu.....
    Izinkan saya menjadi ini bahan rujukan saya....
    \(^_^)/

    ReplyDelete
  10. Cikgu, selamat sejahtera .

    Cikgu, boleh saya tahu , SPM lisan BM Ulangan , bagaimanakah guru bertugas akan menjalankan lisan ?

    Sebelum bermula , guru akan memberi tajuk atau ......

    Bolehkah saya dapat tujuk ajar dari guru ?

    Sekian terima kasih

    ReplyDelete
  11. salam cikgu, apa pendapat cikgu mengenai sekolah menengah islam hidayah berbanding sekolah2 lain yang ckgu lawati?? -cikgu mas'OD-

    ReplyDelete
  12. benar2 blown away..tak pernah buat karangan mcm ni

    ReplyDelete
  13. karangan yg cukup bagus superb superb tq u cikgu minta izin utk copy ya cikgu saya blh ginakan bhn ini untuk membuat esei bm saya kena hantar selepas raya tq cikgu

    ReplyDelete
  14. sorry cikgu bukan ginakan gunakan

    ReplyDelete
  15. terima kasih atas perkongsian ilmu.

    ReplyDelete
  16. Adakah cikgu mengajar di pusat tuisyen martin krn frasa dan kosa kata agak sama,khususnya kata-kata keramat spt seorang ibu dapat menjaga sepuluh.......Namun,sama ada cikgu mengajar di pusat tuisyan tersebut atau tdk,karangan cikgu akan sering saya kagum.Bukan ramai yang dapat menghasilkan mantap spt ini.

    ReplyDelete
  17. Adakah cikgu mengajar di pusat tuisyen martin krn frasa dan kosa kata agak sama,khususnya kata-kata keramat spt seorang ibu dapat menjaga sepuluh.......Namun,sama ada cikgu mengajar di pusat tuisyan tersebut atau tdk,karangan cikgu akan sering saya kagum.Bukan ramai yang dapat menghasilkan mantap spt ini.

    ReplyDelete
  18. sya mntak izin copy cg terima kasih

    ReplyDelete