Saturday, March 26, 2011

NOTA NOVEL TINGKATAN 4 - MELUNAS RINDU

NOVEL MELUNAS RINDU

SINOPSIS


Fuad seorang pemuda berketurunan Cina dan beragama Islam. Selain itu, Fuad juga dikenali sebagai Joshua dan Abdul Halim. Ayahnya, Robert Lim berketurunan Cina dan berkahwin dengan Mariana berketurunan Melayu. Walau bagaimanapun, hidupnya penuh dengan liku kerana sejak kecil lagi dia tidak mengenali dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya. Dia dibesarkan oleh Peter Lim iaitu bapa saudaranya yang juga adik kepada Robert Lim. Selepas itu, dia menjadi anak angkat kepada Pak Ismail dan Mak Salmah. Fuad berusaha untuk mencari kubur ibunya yang disangkanya sudah meninggal dunia. Fuad mendapat sokongan

Fuad yang telah diminta moral daripada Pak Ismail, Mak Salmah, Peter Lim, Swee Lan, dan Robert Lim sendiri memberikan bantuan untuk mengesan ibunya melalui cincin yang diberikan Robert Lim kepada Mariana. Selain itu, Fuad juga dibantu oleh Pak Said dan Pak Ngah Lias untuk mengesan kubur ibunya itu. Akhirnya Fuad mendapat maklumat bahawa ibunya tidak meninggal dunia dan masih hidup. Fuad telah ditawarkan sebagai guru sandaran tidak terlatih di Sekolah Menengah Seri Setia oleh Cikgu Abas. Setelah mempertimbangkan Fuad telah menerima tawaran tersebut. Di sekolah itu Fuad telah berkenalan dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah yang sama. Fuad sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasnya dan hubungannya menjadi semakin rapat dengan Farhana. Hubungan yang rapat itu akhirnya melahirkan perasaan cinta yang suci antara mereka berdua. Walau bagaimanapun, perasaan itu terpaksa diubah kerana hubungan mereka sebenarnya adalah sebagai adik-beradik daripada ibu yang sama tetapi berlainan bapa.

Sementara itu Farhana menghadapi konflik dengan Cikgu Zamani di sekolah. Hal ini demikian kerana, Cikgu Zamani selalu mengkritik dan mengutuknya dengan pelbagai kritikan dan kutukan. Farhana pula mengatakan bahawa Cikgu Zamani tidak sepatutnya ponteng kelas dan tidak menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya. Sepatutnya cikgu Zamani melakukan tindakan yang selaras dengan perkara yang dikatakannya. Dia selalu mengatakan orang lain sahaja yang melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi tidak menyedari bahawa dia sendiri melakukan kesalahan.

Fuad pula menunjukkan keprihatinannya dengan mengambil berat terhadap Farhana. Sebagai contohnya, Fuad mengajak Farhana menaiki keretanya dan dia menghantar Farhana ke rumah ibu Farhana di Kuantan. Selain itu, Fuad juga menemani Farhana di hospital ketika ibu Farhana, iaitu Mariana yang diserang sakit lelah dimasukkan ke hospital. Ketika berada di hospital itulah Fuad mengetahui bahawa nama emak Farhana itu sama dengan nama ibu kandungnya selepas terpandang nama emak Farhana pada rekod catatan perubatan ibu Farhana.

Fuad terpaksa menenangkan perasaan Farhana yang agak sukar menerima hakikat bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Fuad cukup bersedia untuk menerima hakikat itu kerana dia sudah biasa hidup dalam keadaan yang penuh dengan cabaran dan masalah. Ayah kandung Fuad juga mengesali perbuatan silamnya yang meninggalkan Mariana selepas tiga bulan berkahwin tanpa sebarang berita. Robert Lim memohon maaf daripada Pak Ismail, Mak Salmah dan juga Mariana atas kesalahan-kesalahannya itu. Fuad juga akhirnya menerima hakikat bahawa Robert Lim ialah ayah kandungnya, Mariana sebagai ibu kandungnya dan juga Farhana sebagai adik kandungnya.

TEMA DAN PERSOALAN

Tema
Kasih sayang.
Hal ini demikian kerana kasih sayang diungkapkan dalam setiap aspek penceritaan peristiwa yang berlaku kepada watak utama dan watak sampingan. Bermula daripada kasih sayang seorang anak kepada ibu bapa sama ada ibu bapa sebenar atau ibu bapa angkat, kasih sayang kepada sahabat, kasih sayang kepada teman seperjuangan dalam bidang pendidikan, kasih sayang kepada pencipta-Nya, kasih sayang kepada anak murid, kasih sayang kepada profesion perguruan, kasih sayang kepada tanah dengan cara berbudi kepada tanah dan sebagainya. Dapat dikatakan bahawa tidak satu inci ruangpun dalam novel ini yang tidak memaparkan persoalan kasih sayang. Dan kerana kasih sayang jugalah timbul kegigihan, kesungguhan dan keikhlasan watak utama dan sampingan untuk mencari jati diri sebagai seorang muslim sejati dan anak yang bertanggungjawab kepada keluarga sendiri. Kasih sayang yang dipaparkan oleh pelbagai watak dalam novel ini bak lautan yang tak bertepi, bahkan jika ada sedikit pergeseran akan segera diselesaikan bak kata pepatah, "biduk lalu kiambang bertaut". Kasih sayang yang wujud secara ikhlas dari dalam diri membolehkan watak utama dan sampingan menerima semua suratan yang ditakdirkan dengan rasa rendah diri dan bersyukur kepada penciptaNya.

Persoalan
1. Ketaatan seorang saudara baru kepada perintah agama • Fuad sentiasa menunaikan solat secara berjemaah.
- Walaupun dia terlewat untuk menunaikan solat maghrib secara berjemaah di tetap ke surau untuk menunaikan solat isyak secara berjemaah
- Fuad belajar mengaji dengan tunjuk ajar Pak Ismail sementara menunggu waktu Isyak ( belum tiada pengetahuan asas kerana baru memeluk Islam )

2. Sikap mengenang budi •
- Fuad sanggup membiayai persekolahan adik-adik sepupunya , Mei Lan dan Ah Soh sebagai membalas budi bapa saudaranya , Peter Lim yang telah membesarkannya selama ini
- Fuad mencuba membalas segala kebaikan Pak Ismail dan Salmah terhadapnya. Fuad membeli sebuah motosikal untuk kemudahan Pak Ismail
- Fuad turut membawa Pak Ismail dan Mak Salmah mengerjakan umrah
- Fuad membalas budi ibu bapa angkatnya Peter Lim yang telah membesarkannya selama ini dengan membayar yuran peperiksaan STPM Ah Soh

3. Ikatan kasih sayang dalam isntitusi keluarga
• Mariana sangat menyayangi anaknya , Abdul Halim / Fuad yang dilarikan oleh bekas suaminya Roslan. Meskipun gagal menjejaki Abdul Halim/ Fuad , Mariana sentiasa merindui anak sulungnya
- Pak Ismail dan Mak Slamah mengambil berat akan Fuad walaupun Fuad hanya anak angkat mereka
- Mak Salmah sangat sayang akan Sofia sehingga kehilangan Sofia menyebabkan dia terlantar di hospital
- Farhana pulang ke Kuantan dengan segera apabila mengetahui ibunya dirawat di hsopital
- Robert Lim / Roslan( seorang usahawan ) mengirimkan wang untuk kegunaan adiknya Peter Lim sekeluarga pada setiap bulan ( Peter Lim hidup dalam kesusahan )

4. Sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang diamanahkan
• - Farhana melaksanakan tugas sebagai Ketua Panitia Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dengan penuh tanggungjawab dengan mengadakan program yang sesuai / mesyuarat dan sebagainya sesuai sebagai ketua . Farhana berkelulusan ijazah pendidikan dari London
- Pernah menegur sikap Cikgu Zamani yang selalu ponteng kelas sehingga menyusahka pelajar
- Walaupun Fuda hanya guru sandaran , Fuad tetap melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi sebagaimana yang diharapkan oleh Cikgu Abas
5. Keikhlasan dalam memberikan pertolongan • - Fuad membantu Borhan membawa anaknya yang demam panas ke klinik walaupun sudah lewat malam
- Fuad telah menghantar Farhana pulang ke kampungnya setelah megetahyui bahawa Farhana tidak mempunyai tiket perjalanan ke sana
- Pak Said menawarkan diri menemani Fuad mencari pusara ibunya di Lembah Klau
6. Redha menerima ketentuan takdir
• - Fuad menerima kenyataan bahawa gadis yang dicintainya iaitu Farhana sebenarnya adalah adik kandungnya dengan reda
- Mak Salmah menerima hakikat bahawa anak angkat kesayangannya , Sofia telah pergi meninggalkannya untuk selama- lamanya.
7. Sikap tidak amanah • Cikgu Zamani sering ponteng kelas
- Tindakannya menyusahkan pelajar untuk menerima pelajaran




WATAK DAN PERWATAKAN

WATAK UTAMA
Fuad (Joshua atau Abdul Halim)
Watak Fuad digambarkan oleh pengarang sebagai seorang anak muda yang kacak, tubuhnya tinggi, berdarah kacukan Cina dan Melayu, iaitu ayahnya berketurunan Cina dan emaknya pula berketurunan Melayu.

Selain itu, Fuad memiliki kelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari universiti ternama di Amerika Syarikat. Fuad bekerja sebagai guru sementara yang mengajarkan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Dia juga seorang yang dedikasi terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas dan sanggup pulang lewat untuk membimbing anak-anak muridnya yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Fuad ialah seorang yang taat akan perintah agama dan sebagai buktinya dia tidak pernah meninggalkan solat walaupun dalam perjalanan jauh atau sebagai musafir dia menunaikan solat qasar. Sebagai contohnya, Fuad berhenti di sebuah masjid untuk menunaikan solat qasar ketika dia dan Farhana dalam perjalanan ke Kuantan.

Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan liku dan dia tidak pernah mengesali nasibnya itu, contohnya dia tabah menghadapi hidupnya tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa dan ibu saudaranya iaitu Patrik Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah. Bukti lain ialah dia tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah adik kandungnya sendiri yang berlainan bapa.

Fuad juga digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan apaknya dan juga adik-adik sepupunya. Buktinya dia sanggup memberikan wang dan menanggung persekolahan Ah Soh yang sedang belajar di tingkatan enam atas.
Fuad turut digambarkan sebagai orang yang suka menolong orang lain. Sebagai contohnya, dia membantu Farhana untuk menjaga ibunya yang sakit di hospital dan mengambil berat akan adik-adik Farhana. Selain itu, Fuad seorang yang murah hati dalam menghulurkan sebarang bantuan, contohnya dia dengan murah hati membayar bil rawatan anak rakannya, iaitu Borhan yang demam panas. Di samping itu, Fuad juga murah hatidengan membelikan Pak Ismail sebuah motosikal untuk kegunaannya seharian. Fuad juga murah hati dengan memberi jagung yang ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru di sekolahnya.

Selain itu, Fuad digambarkan sebagai seorang yang menghormati orang lain, contohnya dia menghormati Pak Ismail dengan Mak Salmah dan tidak pernah meninggikan suaranya ketika berbicara. Contoh yang lain ialah dia menghormati Cikgu Zamani dengan memenuhi jemputan untuk makan malam di rumahnya.

WATAK SAMPINGAN
Farhana
Pengarang menggambarkan Farhana bertubuh kecil molek, berkulit putih dan cantik orangnya. Farhana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris dari universiti luar negara. Farhana berumur dua puluh empat tahun.
Farhana bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Di sekolah itu dia diamanahkan untuk menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris dan membantu Pengetua dan Penolong Kanan dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Farhana ialah seorang yang periang, mudah ketawa dan mudah untuk diajak berbual. Dia juga seorang yang nakal dan lincah.
Dia juga seorang yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas lanjutan seperti yang dilakukan oleh ikgu Zamani. Dia berusaha untuk membantu anak-anak muridnya untuk lulus dalam peperiksaan Bahasa Inggeris. Selain itu, Farhana turut digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan emak dan adik-adiknya. Di samping itu, dia juga menyimpan perasaan sayang terhadap Fuad. Akhirnya perasaan sayang itu bertukar menjadi perasaan sayang kepada abang kandungnya sendiri.
Selain itu, Farhana digambarkan sebagai seorang anak yangbertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri. Sebagai contohnya, Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit itu.

Walau bagaimanapun Farhana juga digambarkan sebagai seorang yangtegas pendirian, contohnya dia tetap mempertahankan pendapat ketika bertengkar dengan Cikgu Zamani yang suka ponteng kelas di sekolah.

Selain itu, Farhana juga seorang yang berani menegakkan kebenaran, contohnya dia berani berhujah dengan Cikgu Zamani yang selalu ponteng kelas dan suka mengkritiknya.
Walaupun perwatakannya nampak kasar dan tegas tetapi Farhana sebenarnya seorang yang sensitif dan beremosi contohnya, dia menangis dan berasa sedih apabila Fuad memberitahunya tentang hubungan mereka sebenarnya ialah adik-beradik. Dia agak sukar untuk menerima kenyataan itu pada peringkat awalnya.
LATAR
Latar bermaksud semua keterangan atau gambaran yang berkaitan dengan tempat, masa atau masyarakat. Latar memainkan peranan penting dalam sesebuah cereka kerana dapat menjelaskan cerita itu lagi. Latar dapat menjelaskan sesuatu cerita berdasarkan pelaku, tempat, dan masa peristiwa itu berlaku. Latar dapat menjelaskan sama ada masanya singkat atau lama. Selain itu, latar turut menjelaskan latar belakang masyarakat dari segi kaum, agama, kepercayaan, amalan, atau budayanya. Latar juga kadang-kadang dipanggil citra, dibahagikan kepada tiga jenis iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.

Latar Masa
Latar masa menggambarkan masa atau waktu, zaman, dan tempoh berlakunya peristiwa-peristiwa dalam cereka. Dari segi masa, mungkin peristiwa tersebut berlaku pada waktu subuh, pagi, petang, dan malam. Tempoh masanya pula mungkin berlaku selama beberapa minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, atau abad. Zaman berlakunya peristiwa terssebut mungkin berlaku semasa zaman sebelum kemerdekaan, darurat, zaman Jepun, zaman selepas merdeka atau pada masa ini, iaitu era globalisasi.

LATAR MASA
Zaman sekarang iaitu dalam era globalisasi Hal ini terbukti dengan adanya penggunaan telefon bimbit, kereta Proton Iswara dan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Waktu pagi Fuad sampai di Sekolah Menengah Seri Setia untuk memulakan tugasnya sebagai guru pada pukul tujuh lima belas pagi. Rujuk halaman 35.
Waktu petang Fuad mengajak Farhana keluar dan makan pada hari ulang tahun Farhana pada waktu petang. Rujuk halaman 137.
Waktu malam Fuad pergi ke rumah Cikgu Zamani yang menjemputnya untuk makan malam. Rujuk halaman 7.

Latar Tempat
Latar tempat merujuk kepada tempat berlakunya perisstiwa dalam sesebuah cereka itu. Biasanya, pengarangan menggambarkan latar tempat ini secara umum sahaja, contohnya pengarang menggambarkan tempat-tempat seperti di kampung, di rumah, di bandar, di warung, di kaki lima, di klinik, di sekolah, di dalam kereta, di surau dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam novel ini pengarang menyatakan nama-nama tempat yang khusus seperti di Kuala Terengganu, Pantai Batu Buruk, Dungun, KLIA, di Dungun, di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, di Sekolah Menengah Seri Setia, Losong, Kuala Lipis, Lembah Klau, dan Sungai Ruan.

LATAR TEMPAT
Di restoran
Fuad dan Farhana mengelilingi pusat bandar dahulu sebelum singgah di Restoran Terapung di Taman Syahbandar. Rujuk halaman 137.

Di rumah Pak Mail
Pak Ismail sudah bersiap-siap untuk ke surau pada pukul tujuh dua puluh petang ketika Fuad tiba di rumah Pak Ismail. Rujuk halaman 16.

Di sekolah
Suasana di sekolah iaitu di bangunan Blok C, Sekolah Menengah Seri Setia masih bising dan hingar-bingar walaupun kelas lanjutan sudah dijalankan. Rujuk halaman 122.

Di rumah Farhana di Kuantan
Fuad bersolat di rumah Farhana pada suatu petang dan selepas menunaikan solat dia pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah bapa saudaranya. Rujuk halaman 85.

Di hospital
Fuad terus bertanya kepada pengawal keselamatan apabila dia sampai di ruang legar hospital di tingkat bawah. Rujuk halaman 183

Latar Masyarakat
Latar masyarakat bermaksud gambaran yang berkaitan dengan masyarakat dalam sesebuah cereka. Gambaran masyarakat biasanya merangkumi aspek latar belakang masyarakat seperti kaum, bangsa, keturunan, adat resam, kepercayaan, aktiviti seharian, dan pekerjaan anggota masyarakatnya.

LATAR MASYARAKAT
Masyarakat yang suka menolong orang yang memerlukan pertolongan
Contohnya, Fuad menolong kawannya Borhan dengan membawa anak Borhan yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Masyarakat yang taat dan patuh akan agama
Contohnya, Fuad dan Pak Ismail tidak pernah mengabaikan solat lima waktu dan mereka kerap pergi ke surau untuk menunaukan solat secara berjemaah. Rujuk halaman 5.

Masyarakat guru yang dedikasi terhadap tugas
Contohnya, Farhana dan Fuad begitu komited dan dedikasi terhadap tugas mereka ssebagai guru dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid mereka. Rujuk halaman 50.

Masyarakat majmuk yang saling memahami
Contohnya, Robert Lim memahami bahawa orang Islam perlu menunaikan solat lima waktu. Rujuk halaman 170.

Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur
Contohnya, Robert Lim yang berbangsa Cina berkahwin dengan Mariana yang berbangsa Melayu. Rujuk halaman 99.

Masyarakat yang menghormati tetamu
Contohnya, Pak Ismail dan Mak Salmah sangat menghormati tetamu yang datang ke rumah mereka. Rujuk halaman 168.

Masyarakat yang rajin bekerja
Contohnya, Peter Lim rajin bekerja untuk menyara keluarganya. Rujuk halaman 87 hingga 88.

PLOT DAN TEKNIK PLOT
Plot bermaksud jalinan cerita atau peristiwa dalam sesebuah cereka. Jalinan tersebut berkembang berdasarkan hukum sebab dan akibat. Peristiwa atau cerita itu selalunya dijalin secara kronologi atau tidak secara kronologi. Jika peristiwa dijalin secara kronologi bermaksud peristiwanya disusun mengikut urutan masa. Sementara itu, jika peristiwa tidak dijalin secara kronologi, bermaksud peristiwanya tidak disusun mengikut urutan masa. Biasanya plot sesebuah novel terbahagi kepada dua iaitu binaan plot dan teknik plot.

Binaan Plot
Binaan plot bermaksud plot cerita terbina daripada beberapa bahagian penting. Kebiasaannya, binaan plot terdiri daripada lima bahagian, iaitu permulaan (eksposisi), perkembangan, perumitan, puncak (klimaks), dan peleraian. Bahagian permulaan atau eksposisi merupakan bahagian yang memperkenalkan watak-watak. Watak-watak akan diperkenalkan dari segi fizikal, emosi serta berkaitan dengan persekitaran dan watak-watak lain. Kemudian watak-watak itu akan berkembang dan berinteraksi pada bahagian perkembangan cerita. Seterusnya, perhubungan antara watak itu akan menimbulkan konflik yang kemudiannya menjadi rumit pada bahagian perumitan. Pada peringkat tersebut selalunya konflik akan berterusan dan menjadi bertambah rumit.

Plot akan terus bergerak ke bahagian puncak atau klimaks cerita. Pada peringkat ini, keadaan menjadi semakin mendebarkan, kritikal, ngeri, dan cemas akibat konflik atau pertentangan antara watak. Selanjutnya, bahagian puncak itu akan mencapai ke satu tahap, iaitu sampai ke tahap penyelesaian. Akhirnya, plot bergerak terus ke tahap peleraian, iaitu semua konflik dan pertentangan akan diselesaikan atau terlerai.

Permulaan (Eksposisi)
Pada peringkat ini pembaca diperkenalkan dengan watak utama novel ini iaitu Fuad. Selain itu pengarang juga memperkenalkan watak-watak sampingan lain seperti Farhana, Pak Ismail, Mak Salmah, dan Cikgu Abas. Perkara ini dibuktikan dalam bahagian-bahagian awal novel ini. Sebagai contohnya, dalam bahagian awal novel ini, pengarang menceritakan Fuad yang lewat pulang pada suatu senja kerana mencari kayu api telah menyebabkan Pak Ismail dan Mak Salmah berasa bimbang. Kita juga mengetahui bahawa Fuad ialah seorang mualaf yang taat akan agama iaitu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan dia selalu menunaikan solat berjemaah di surau. Dia juga rajin membaca al-Quran dengan bimbingan Pak Ismail. Kita juga mengetahui bahawa Fuad sebenarnya anak angkat kepada Pak Ismail dengan Mak Salmah.

Perkembangan
Dalam bahagian ini, pengarang memaparkan perkembangan cerita iaitu Fuad telah memulakan tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dan dia cuba menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah itu. Seterusnya pengarang mengembangkan cerita seterusnya dengan menjelaskan hasrat Fuad untuk mencari kubur ibunya. Sebagai contohnya, Fuad menyatakan hasratnya itu kepada Pak Ismail dan Mak Salmah dan mereka berdua tidak menghalangnya. Seterusnya, dia berusaha untuk mencari kubur emaknya itu melalui maklumat daripada Peter Lim dan Swee Lan, bapa dan ibu saudaranya. Akhirnya, Fuad dibantu oleh Pak Said yang menawarkan diri untuk mencari kubur ibunya itu. Hubungan Fuad dengan Farhana pula menjadi semakin rapat pada peringkat ini.

Perumitan
Dalam bahagian ini, Fuad mendapat maklumat daripada Pak Ngah Lias iaitu jiran datuknya iaitu Seman bahawa ibunya tidak meninggal dunia seperti yang disangkanya. Hal ini dibuktikan oleh Pak Ngah Lias bahawa mereka tidak mengetahui maklumat tentang kubur ibunya itu dan mereka juga tiada maklumat tentang kematian ibunya. Pak Samsudin, jiran Mariah iaitu kakak angkat emak Fuad mengatakan bahawa emak Fuad memang bersalin di Kuala Lipis tetapi tidak meninggal dunia. Perkara ini menyebabkan Fuad berasa lebih bersemangat untuk mencari ibu kandungnya. Sementara itu, hubungan Farhana dengan Cikgu Zamani pula menjadi semakin tegang. Hal ini terbukti melalui peristiwa pertengkaran antara mereka berdua akibat kesalahan Cikgu Zamani yang tidak masuk ke kelas semasa kelas lanjutan. Pada bahagian ini juga, ibu Farhana jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan di Kuantan akibat penyakit lelah. Fuad pergi ke Kuantan dan menemani Farhana yang menjaga ibunya yang sakit di hospital.

Puncak (Klimaks)
Pada bahagian ini pengarang menggambarkan kepada kita tentang peristiwa Fuad terpandang nama ibu Farhana semasa dia menemani Farhana menjaga ibunya itu di hospital. Nama ibu Farhana iaitu Mariana binti Osman itu sama dengan nama emak kandungnya. Hal ini menyebabkan dia berasa terkejut dan mengharapkan agar jika ibunya masih hidup, tetapi bukannya emak Farhana. Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada Farhana, Fuad akhirnya menerima hakikat bahawa emak Farhana itu juga ialah emak kandungnya. Walau bagaimanapun Farhana agak sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dengan Fuad sebenarnya ialah adik-beradik yang berlainan bapa.

Peleraian
Fuad dan Farhana dapat menyesuaikan diri bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Robert Lim, iaitu ayah kandung Fuad juga mengesahkan bahawa Mariana iaitu emak Farhana itu juga ialah emak Fuad, iaitu isteri yang pernah dikahwininya suatu masa dahulu. Farhana juga sudah pulih daripada kejutan kerana mengetahui bahawa dia dengan Fuad ialah adik-beradik kandung. Perasaan sayang sebagai kekasih sebelum itu sudah berubah menjadi perasaan sayang kepada seorang abang kandung. Selain itu, Fuad telah diterima untuk mengikuti kursus KPLI untuk melayakkannya menjadi seorang guru yang terlatih. Seterusnya, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah menunaikan umrah dan ayahnya, Robert Lim mengatakan bahawa dia juga akan menyusul kemudian.

TEKNIK PLOT
Teknik plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik plot yang digunakan ialah dialog, monolog, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.


TEKNIK PLOT
Dialog
Sebagai contohnya, Fuad berdialog dengan Borhan tentang rancangannya untuk membawa anak Borhan dan Masnah yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Monolog
Sebagai contohnya, Fuad berdoa dengan memohon kepada Allah agar hatinya menjadi tabah untuk menghadapi dugaan.

Monolog Dalaman
contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Fuad berkata dalam hatinya tentang nama ibu Farhana.

Pemerian
contohnya pengarang menggambarkan keadaan di bandar Kuala Terengganu pada suatu pagi.

Imbas Kembali
Sebagai contohnya, Swee Lan teringat akan kepulangan Fuad pada suatu senja lebih setahun yang lalu.

Imbas Muka
Sebagai contohnya, pengarang menggambarkan kemungkinan Cikgu Abas akan meluahkan perasaan marahnya kepada guru yang enggan melaksanakan tugas dalam mesyuarat guru esok harinya.

Saspens
Sebagai contohnya, peristiwa Fuad mendapati akaun banknya mengandungi wang lebih daripada dua ratus ribu ringgit telah menimbulkan perasaan ingin tahu para pembaca tentang wang yang begitu banyak yang terdapat di dalam akaun bank Fuad. Pembaca ingin tahu dari mana sumber wang tersebut diperolehnya.

Kejutan
Pengarang menggambarkan teknik ini melalui peristiwa Fuad yang terkejut apabila mendapati bahawa emak Farhana bernama Mariana binti Osman. Peristiwa tersebut mengejutkan para pembaca kerana pembaca tidak menyangka bahawa nama Mariana sama dengan nama ibu Fuad. Hal ini bermakna, mereka berdua ialah adik-beradik kandung.

Nilai dalam Novel Melunas Rindu

NILAI
Kasih sayang
(halaman 201) Nilai ini digambarkan melalui kasih sayang antara Fuad dengan Farhana

Ketabahan
(halaman 192) Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang tabah menghadapi liku-liku dalam hidupnya

Tolong-menolong
( halaman 89) Nilai ini digambarkan melalui watak Robert Lim yang membantu keluarga abang dan kakak iparnya iaitu Peter Lim dengan Swee Lan

Kerajinan
(halaman 23) Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad, Pak Ismail dan Mak Salmah yang rajin mengusahakan tanah yang baru dibeli oleh Fuad

Hormat-menghormati
(halaman 84) Nilai ini digambarkan melalui watak Fuad yang sentiasa menghormati orang yang lebih tua daripadanya seperti dia menghormati emak Farhana.


PENGAJARAN
PENGAJARAN
1. Setiap orang hendaklah menyayangi ahli keluarganya sendiri.
Hal ini dibuktikan melalui Fuad yang mengingati dan menyayangi ayahnya Robert Lim walaupun mereka tidak tinggal bersama.

2. Kita haruslah tabah menghadapi dugaan hidup.
Sebagai contohnya, Fuad begitu tabah menghadapi hidupnya yang penuh dengan cabaran dan dugaan yang hebat.

3. Kita perlulah membantu orang yang memerlukan bantuan.
Hal ini dibuktikan oleh Fuad yang membantu rakannya Borhan dengan membawa anak Borhan yang demam panas ke klinik. Selain itu, Robert Lim menghulurkan bantuan wang perbelanjaan kepada abangnya Peter Lim setiap bulan.

4. Setiap orang yang rajin bekerja pasti akan mendapat hasilnya.
Sebagai contohnya, Fuad yang rajin mengusahakan tanah yang dibelinya itu dengan menanam jagung dan memberikan hasil yang banyak.

5. Sebagai manusia kita perlu menghormati orang lain.
Sebagai contohnya, Fuad sentiasa menghormati ayah dan ibu angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah.

6. Setiap orang hendaklah taat akan agama masing-masing.
Hal ini dubuktikan melalui tindakan Fuad dan Pak Ismail yang tidak pernah mengabaikan solat lima waktu mereka. Elain itu mereka berdua juga kerap menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau.

7. Kita perlulah mengamalkan nilai murah hati dalam kehidupan seharian.
Hal ini dibuktikan melalui tindakan Fuad yang murah hati dengan memberikan jagung yang ditanamnya sendiri kepada guru-guru sekolah di tempatnya bertugas.

8. Kita mestilah memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.
Sebagai contohnya, Mak Salmah memaafkan kesalahan Fuad yang melarikan Sofia daripadanya untuk diserahkan kepada Robert Lim.

9. Setiap orang haruslah menepati janji yang telah dibuatnya.
Sebagai contohnya, Fuad menunaikan janjinya untuk menjenguk adik-adik Farhana di rumah ibu Farhana. Selain itu, Fuad juga menunaikan janjinya dengan pergi ke rumah Cikgu Zamani yang menjemputnya untuk makan malam.

10 comments: