SOALAN
Sempena Bulan Bahasa, pihak sekolah telah menganjurkan satu pertandingan mengulas filem berdasarkan filem yang pernah anda tonton. Anda tertarik dan berminat untuk menyertainya. Sediakan ulasan filem tersebut dengan selengkapnya.
ULASAN FILEM
Judul : Embun
Arahan : Erma Fatima
Penerbit : Filem Negara Malaysia
Pengulas : Radiatun Nadwah binti Dolah
Cinta dan perang ialah dua subjek yang cukup bertentangan di antara satu dengan yang lain. Yang satu membawakan erti kebahagiaan, manakala perang membawa makna penderitaan. Bagaimanapun filem atau karya sastera melihat kontradiksi itu sebagai hubungan yang cukup istimewa dan sering memberikan pengertian yang cukup menarik apabila digabungkan. Filem “Embun” arahan Erma Fatima juga meneruskan tema begini. Filem ini mengambil landskap Perang Dunia Kedua yang sedang menggila melanda Tanah Melayu. Ketika rakyat sedang menghadapi keganasan dan derita perang, sebuah hubungan cinta anehnya berputik.
Lebih menarik hubungan cinta itu berlaku antara dua kekasih dari dua latar yang berbeza. Si gadis daripada mereka yang sedang dijajah manakala si lelaki daripada tentera yang dikenal kerana kekerasan dan kekejaman. Di sebalik kegilaan perang dalam Embun, hubungan cinta itu patut dilihat sebagai membawa semangat feminis yang kuat. Kebangkitan Embun bertitik tolak dari tertangkapnya Bayu dan kematian bapanya di tangan tentera Jepun. Daripada seorang anak gadis yang malu-malu yang sekadar mahu mengikut kumpulan politik Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan abangnya, Embun berubah menjadi wanita yang berani, pendendam, dan bertekad untuk membalas dendam.
Lebih daripada itu, tekad dan dendam Embun sebagai akibat daripada peristiwa dia dirogol oleh tentera Jepun yang diketuai oleh Leftenan Akaishi. Apabila tidak ada golongan pemuda dan wanita yang berani bertindak dan membantunya, Embun terpaksa bertindak sendirian. Embun beruntung kerana dia diselamatkan oleh Leftenan Koishi seorang pegawai penerangan tentera Jepun yang lebih bersimpati dan memahami penderitaan rakyat tempatan akibat perang.
“Embun” memaparkan kemantapan struktur naratifnya dengan dukungan lakonan, fotografi, dan suntingan untuk menjadi filem tempatan yang cemerlang. Skrip yang ditulis oleh Rohiman Haron ini pernah memenangi hadiah dalam peraduan menulis skrip filem anjuran Finas dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama dahulu. Struktur naratifnya diolah dengan baik, struktur dramatik dan konfliknya berkembang seimbang di setiap adegan dan memuncak ke penamatnya apabila Embun akhirnya berjaya membunuh Akaishi dan sekali gus menyelesaikan dendamnya biarpun dia sendiri akhirnya terkorban.
Umie Aida sebagai Embun telah memberikan lakonan yang terbaik. Di wajahnya teralir kenaifan gadis desa dan kemudian secara perlahan menjadi pendendam selepas abangnya ditangkap, bapanya mati dan dia sendiri dirogol secara bergilir-gilir. Izi Yahya berjaya menampilkan lakonannya yang terbaik sebagai pegawai tentera Jepun yang rakus dan kejam. Herot wajah dan gerak tubuhnya sudah cukup untuk memberikan dinamisme pada wataknya. Bagaimanapun antara wajah tentera Jepun yang begitu menangkap dan sukar dilupakan adalah Saito, lakonan Mak Kwai Yuen, dengan riak wajah yang dingin serta lebih banyak mengundang misteri yang menakutkan.
Aspek yang cukup cemerlang dalam filem ini ialah arahan fotografi yang dilakukan oleh Teoh Gay Hian. Fotografinya bukan sahaja cantik tetapi sensitivitinya berupaya menghasilkan mood yang sesuai untuk setiap adegan. Cahayanya terkawal, sudut dan gerak kameranya berupaya menangkap detik-detik yang genting. Ada waktunya imej-imej yang dihasilkan sungguh puitis. Aliran air sungai yang tenang dan hampir beku dilimpahi cahaya malam, sedangkan keganasan dan perang sedang bersemarak. Kameranya berjaya menangkap wajah-wajah penduduk kampung yang ketakutan dalam suasana yang genting itu.
“Embun” sebagai sebuah filem bergerak dalam tempo yang baik dengan unsur dramatiknya yang sentiasa terkawal kerana keupayaan suntingan yang cukup sensitif oleh Kamarudin Abu. Shot-shot yang dipilih bukan sahaja memperkuat adegan, menyarankan makna tetapi juga bersifat sugestif. Bagaimanapun struktur dramatik filem ini yang kuat di peringkat awal terasa agak lembut apabila perjalanan cerita semakin menuju ke akhir. Hal ini lebih terasa apabila hubungan Embun dan Koishi mula terbina. Suasana romantis itu hampir menguasai adegan-adegan selepas itu, mujur adegan memuatkan Bayu dan perjuangannya menguatkan semula kesan dramatik filem ini.
Biarpun filem ini memperlihatkan semangat feminis yang cukup kuat, tetapi beberapa adegan dalam filem ini boleh sahaja menimbulkan persoalan. Embun tidak memberikan gambaran emosi dan psikologi yang seharusnya dialami oleh wanita yang pernah melalui peristiwa hitam dan paling ngeri dalam hidupnya. Apakah peristiwa itu telah meragut emosinya dan kesan psikologinya terus hilang? Kita melihat dalam adegan tertentu dia begitu mudah menerima Koishi yang seharusnya dicurigai kerana pengalamannya masa lepas.
Secara keseluruhan, filem “Embun” ialah filem yang menarik untuk ditonton. Filem ini membangkitkan ingatan kita terhadap sejarah pemerintahan Jepun. Ceritanya telah digarap dengan kemas tetapi terdapat sedikit kelonggaran pada akhir cerita. Walau bagaimanapun, filem ini tetap cemerlang dari segi lakonan, sinematografi, dan penyuntingan.
[680 patah kata]
No comments:
Post a Comment