Monday, August 22, 2011

KARANGAN MINGGU INI


Usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membantu meningkatkan taraf hidup Orang Kelainan Upaya (OKU).

Tidak kuminta lahir ke dunia,
Tidak kuduga cacat begini.
Bukan kuminta kasih dan manja,
Bukan kurayu bantu simpati.

Demikianlah senandung sayu daripada sebahagian lirik lagu yang bertemakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Mereka yang dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna tidak pernah menyesal akan ketentuan-Nya. Sebagai makhluk Tuhan, golongan OKU ini reda dengan takdir-Nya. Di dunia ini, sejak azali lagi terdapat insan yang sempurna kejadiannya, begitu juga sebaliknya. Terdapat insan yang kurang bernasib baik, iaitu tidak sempurna sifat fizikal mereka di dunia ini. Kehadiran mereka menunjukkan kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa dan sebagai manusia yang sempurna sifatnya, kita mestilah membantu golongan OKU menghadapi liku-liku hidup yang mencabar. Oleh itu, beberapa prakarsa boleh kita lakukan untuk meningkatkan taraf hidup golongan OKU.

Antara uslub yang dapat kita lakukan untuk membantu meningkatkan taraf hidup OKU di negara kita adalah dengan memberikan mereka peluang dalam bidang kerjaya. Kita boleh membantu mereka berdasarkan tahap kemampuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Sekiranya mereka mempunyai keistimewaan dalam bidang kraf tangan, agensi tertentu bolehlah mengambil mereka sebagai pekerja atau melatih mereka untuk menambahkan kemahiran dalam bidang tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan berupaya meningkatkan industri kraf tangan Malaysia yang akhirnya menjadi sumber pendapatan negara. Kini, banyak institusi kewangan mengambil OKU sebagai kakitangan mereka kerana kualiti kerja OKU setanding, malah adakalanya lebih hebat daripada manusia normal. Begitu juga dalam bidang ekonomi dan pendidikan, terdapat pakar ekonomi dan pendidikan yang berjaya di negara kita, antaranya Allahyarham Profesor Dato’ Ismail bin Salleh yang buta matanya telah diberi pengiktirafan yang sewajarnya dan beliau berupaya membuktikan golongan OKU sememangnya berupaya melaksanakan sesuatu amanah jika diberi peluang. Oleh itu, janganlah kita sisihkan mereka, hulurkan tangan, ringankan beban, bantulah mereka berdasarkan tahap kemampuan mereka masing-masing.

Selain itu, inisiatif yang boleh dilakukan untuk membantu mereka ialah memperbanyakkan infrastruktur atau kemudahan kepada mereka khususnya di tempat-tempat awam. Kemudahan seperti laluan pejalan kaki atau laluan untuk kerusi roda perlu dibuat untuk memudahkan OKU bergerak dengan selesa. Selain itu, tandas dan tempat letak kereta yang khas untuk mereka juga perlu disedia¬kan. Hal ini demikian kerana, golongan OKU akan mengalami kesukaran kerana ketidakupayaan mereka dari segi fizikal sekiranya menggunakan kemudahan awam yang sama seperti orang yang sempurna sifat fizikaInya. Oleh itu, pelbagai kemudahan perlu disediakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Malangnya, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menggunakan kemudahan yang disediakan kepada mereka. Kita sepatutnya membantu golongan OKU, bukan menyukarkan kehidupan mereka kerana kekurangan yang dimiliki, bak kata peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tuntasnya, kewujudan kemudahan asas yang lengkap mampu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, sekali gus mereka dapat menikmati hidup yang selesa seperti manusia lain akibat daripada kecaknaan kita terhadap kebajikan mereka.

Prakarsa seterusnya ialah, kerajaan perlu menyediakan kemudahan yang secukupnya dalam bidang pendidikan. Kita perlu ingat bahawa golongan OKU ini seharusnya diberikan peluang dan kemudahan dalam pendidikan yang secukupnya untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Kita boleh menyediakan pendidikan khas seperti bahasa isyarat kepada golongan OKU. Terdapat beberapa buah sekolah yang menyediakan kemudahan seumpama ini dan tindakan yang bijak ini perlu dicontohi oleh masyarakat pada hari ini. Selain itu, terdapat juga iqra’ Braille yang dicipta bagi golongan yang buta. Kemajuan teknologi sememangnya mendatangkan maslahat kepada insan, khasnya kepada OKU kerana memudahkan mereka mendapatkan pendidikan yang mendalam berkaitan ilmu-ilmu agama. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlu membantu OKU dengan menyediakan pelbagai kemudahan dalam bidang pendidikan agar mereka tidak terus ketinggalan dalam arus globalisasi, yakni mendapat pendidikan yang berkualiti. Peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, marilah bersama-sama kita jayakan hasrat murni ini demi masa depan OKU kerana aspek pendidikan merupakan aset penting untuk setiap individu mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Tuntasnya, semua pihak perlulah berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan golongan OKU. Segala amal baik yang dilakukan akan merealisasikan visi kudsi negara ke arah melahirkan masyarakat penyayang seperti yang diwara-warakan oleh pemimpin negara. Hal ini bertepatan dengan sikap kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan keluhuran budi, adab dan nilai-nilai murni yang tinggi dan moleklah kita jelmakan nilai tersebut terhadap anggota masyarakat kita yang kurang bernasib baik. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, marilah kita mengatur langkah sederap, seia sekata agar taraf hidup OKU lebih terjamin dan dapat merealisasikan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

No comments:

Post a Comment