Friday, March 2, 2012

PERANAN KELUARGA MENANGANI MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA - PENULISAN SPM

Keluarga Bahagia
Dasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat Malaysia isu kebejatan moral dan keruntuhan akhlak para remaja harapan bangsa yang semakin meruncing. Sering terpampang di dada akhbar, berita-berita yang menguris hati melibatkan remaja seperti pergaulan bebas, merokok, melepak dan membuang anak. Masyarakat menuding jari sesama sendiri menyalahkan orang lain. Masakan pokok bergoyang, oleh itu pasti terdapat faktor-faktor yang menyebabkan hal ini terus membarah dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Namun, ibarat meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri apabila ada yang ingin menyalahkan remaja yang baru berumur setahun jagung setampuk pinang. Setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Maka, jawapan yang dicari-cari untuk permasalahan ini ialah keluarga memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah yang semakin hari semakin parah ini.

Antara peranan keluarga dalam menangani polemik ini termasuklah memperkukuh institusi keluarga. Institusi keluarga sebagai institusi tertua di dunia seyogianya mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Hal ini berlaku demikian kerana nilai-nilai murni adalah vital kepada seseorang agar tidak terjebak dengan perkara atau unsur-unsur yang negatifnya. Misalnya , seorang remaja yang berbudi bahasa dan jujur pasti tidak akan merokok kerana kejujurannya dan janjinya terhadap ibu bapa. Dengan sifat amanah, remaja itu pasti tidak akan terikut-ikut dengan anasir negatif kerana berpegang pada amanatnya kepada nusa dan bangsa untuk menjadi pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja yang mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan pasti menyedari tanggungjawabnya dalam mendukung dan seterusnya melestarikan Wawasan 2020. Tokoh ilmuwan, Hamka pernah mengatakan bahawa, kekayaan seseorang itu terletak pada tingginya akhlak dan budi bahasanya bukan pada harta dan pakaiannya. Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa nilai-nilai murni merupakan elemen penting dalam diri setiap insan yang wajar dipupuk dari kecil oleh institusi keluarga kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nilai-nilai murni dapat menjadi benteng ampuh dan utuh sekukuh Tembok Besar China daripada sebarang anasir-anasir luar yang menerjah.

Selain itu, ahli keluarga terutamanya ibu bapa berperanan menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Hal ini demikian kerana, ibu bapa seyogianya membetulkan kekhilafan diri sebelum membetulkan anak-anak agar tidak seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget. Bak kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya dan jika alur di hulunya bersih, pasti air di muaranya bersih. Hal ini secara eksplisitnya menunjukkan bahawa jika ibu bapanya baik maka anak-anaknya juga baik, kerana bapa borek anak rintik. Oleh itu, ibu bapa dan ahli keluarga yang lain wajar menunjukkan contoh dan teladan yang wajar diikuti dan mampu dibanggakan. Selain itu, seorang ayah tidak wajar menegur anaknya yang merokok jika mereka sendiri yang menunjukkan contoh sedemikian. Masakan anaknya mendengar nasihat yang boleh ditujukan semula kepada bapanya. Namun, itulah realitinya, ayah dan anak sama-sama pula merokok di luar rumah. Oleh hal demikian, ibu bapa sewajarnya menjalankan tanggungjawabnya sebagai suri teladan yang unggul dengan menunjukkan contoh yang berhemah dan berwibawa .

Kasih sayang daripada ibu bapa
Seterusnya, peranan keluarga bagi menangani masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian membarah dalam masyarakat ialah memberikan kasih sayang yang secukupnya. Dalam era globalisasi ini, ibu bapa berlumba-lumba mencari kekayaan duniawi sehingga mengabaikan tugasnya sebagai pendidik kepada anak-anak mereka yang belum mengenal yang mana intan, yang mana kaca. Selain itu, mereka menyangka dapat membeli kasih sayang anak-anak dengan material yang mewah seperti Ipad, Iphone, computer riba dan telefon mudah alih yang tidak tergambar kecanggihannya. Anak-anak yang hidup dalam bayang-bayang arus pemodenan yang rancak berlari berasa terabai dan tidak disayangi, lalu mencari alternatif lain yang boleh mengundang bahaya dan derita. Sebagai tamsilan, membuli orang untuk melepaskan geram dan mencari perhatian, rentetan kurangnya kasih sayang yang diperlukan untuk mengharungi hidup yang penuh mencabar pada era langit terbuka ini. Dengan kasih sayang ibu bapa yang bagaikan menatang minyak yang penuh, hidup remaja akan lebih ceria tanpa mencari alternatif yang lain bagi merawat dan menampal lubang-lubang kosong di hati anak-anak. Oleh hal demikian, kasih sayang merupakan eleman yang penting dalam diri anak-anak agar tidak berasa diabaikan dan tidak disayangi, sesungguhnya, anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya dan menentukan sama ada ingin menjadikan anak-anak mereka Majusi, Nasrani mahupun Yahudi. Ibu bapa tidak sewajarnya membiarkan anak-anak mereka seperti layang-layang terputus talinya. Berdampinglah dan lakukan perubahan bersama-sama dengan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak yang sentiasa dahagakan perhatian daripada orang tua mereka.

Dalam pada itu, ibu bapa juga berperanan mengawal perilaku anak-anak di samping mengetahui pergaulan anak bersama-sama rakannya. Hal ini demikian kerana rakan merupakan orang yang sangat berpengaruh dalam diri remaja. Setiap kata rakan-rakannya menjadi ubat yang mujarab serta azimat penting. Begitulah yang dapat digambarkan betapa besarnya pengaruh insan yang bernama rakan. Pepatah Arab ada mengatakan jika berkawan dengan si pembuat besi, maka kita akan terasa bahang api kepanasannya manakala jika berkawan dengan penjual minyak wangi, maka akan melekat bau kewangiannya kepada diri kita secara tidak langsung. Eksplisitnya, hal ini menunjukkan bahawa jika kita berkawan dengan rakan yang baik akhlaknya, dia juga akan turut bersahsiah baik tetapi sebaliknya jika tersalah pilih rakan maka akan terjebaklah ia ke kancah yang hina. Gurindam Melayu ada menyebut, carilah olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan ubat, cari olehmu kawan, pilih segala orang setia kawan. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam mengawal pergaulan anak-anak dengan rakannya kerana menurut seorang cendekiawan, pengaruh rakan sebaya dalam hidup seseorang remaja ialah 90 peratus, suatu angka yang besar dan dominan. Cegahlah sebelum terlambat kerana mencegah lebih baik daripada merawat kerana mantan Perdana Menteri yang keempat, Tun Dr. Mahathir pernah mengatakan bahawa bahayanya dadah bukan kepada penagihnya, tetapi kepada orang di sekitarnya.

Didikan agama yang secukupnya
Selain itu, ahli keluarga perlu memberikan didikan agama yang cukup untuk menangani masalah kebejatan moral dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku demikian kerana agama merupakan benteng yang ampuh dan jitu dan nescaya dapat menghalang kemasukan anasir-anasir jahat. Selain itu, agama adalah perisai yang kuat agar remaja tidak terdengarkan bisikan syaitan durjana. Sesungguhnya, dengan agama akan melahirkan jati diri yang kukuh dan akhlak yang mulia jauh daripada perlakuan negatif dan tidak bermoral. Sebagai contoh, seorang remaja yang mempunyai moral yang tinggi tidak akan tergengaruh dengan panggilan-panggilan ke arah kejahatan kerana keyakinannya yang tinggi terhadap balasan perbuatan yang jahat dan balasan bagi yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya, dengan iman yang tinggi dapat dijadikan benteng landaan ombak besar pengaruh Barat yang banyak membawa unsur negatif seperti keganasan, pergaulan bebas, minum arak dan lain-lain. Oleh itu, ibu bapa seyogianya memberikan didikan agama yang sempurna sama ada secara formal ataupun tidak formal seperti menghantar anak mereka ke kelas agama agar tidak terjebak ke dalam kancah yang penuh kemaksiatan.

Peranan keluarga dalam menangani masalah ini juga ialah dari aspek penyediaan persekitaran yang harmonis. Hal ini demikian kerana tokoh dari China, Mao Tzu pernah mengatakan bahawa kejadian asal seseorang itu ialah baik dan suci dan akan berubah disebabkan persekitarannya. Dapatlah diambil iktibar di sini, persekitaran yang selamat atau tidak selamat memberikan impak kepada anak-anak. Ibu bapa seyogianya memilih kawasan perumahan yang selamat daripada masyarakat yang mengambil enteng isu negatif seperti pergaulan bebas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya memilih persekitarannya yang kondusif untuk kepentingan seluruh ahli keluarga.

Natijahnya, semua pihak terutama keluarga memainkan peranan yang signifikan dalam mendepani masalah dalam dunia yang mencabar ini. Semua pihak harus bersatu padu bagai aur dengan tebing agar tidak terhantuk baru tengadah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum harapan menjadi kabur, semua pihak harus menyedari dan membuat anjakan paradigma untuk melahirkan remaja pascamerdeka yang berkualiti ke arah Wawasan 2020. Sasterawan Negara Dato' Dr Usman Awang ada menyebut, kalau ingin hidup merdeka, tidak tercapai dengan hanya berkata-kata tetapi ke hadapan maju sekata, maju bersama. Marilah bersama-sama bergabung tenaga melahirkan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara yang disegani dan bersahsiah tinggi.

16 comments:

  1. puan Zainafsiah sy minta nk copy sdikit krangan ini utk jdikan rujukan...:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dipersilakan. Memang itupun tujuannya supaya karangan ini disebarluaskan.

      Delete
  2. Assalamualaikum, cikgu . Terima kasih . Saya suka karangan cikgu . Saya ada ambil isi-isi penting untuk dijadikan panduan ...

    ReplyDelete
  3. Terima kasih, cikgu. Moga Allah memberkati ilmu yang telah cikgu kongsikan ini.

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum cikgu,terima kasih.saya juga ada ambil karangan cikgu.doakan saya cikgu,moga cikgu diberkati Allah

    ReplyDelete
  5. Terima kasih cikgu . Saya copy untuk QVM saya ^^

    ReplyDelete
  6. sedap karangan demo cenggini (Y)

    ReplyDelete
  7. Asalamualaikum ckg...kosa kata menarik cikgu bagus utk pelajar jdkan panduan😁

    ReplyDelete
  8. terima kasih ckgu =) sangat bermanfaat..

    ReplyDelete
  9. Terima kasi Cikgu...saya tertarik dengan kosa kata yang terdapat dalam Karangan ini.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum cg, trime kasih sudi kongsikan karangan cg yg bermanfaat ni. Doakn sy brjaya menjwb dlm SPM 2016.

    ReplyDelete
  11. Terima kasih cikgu saya akan gunakan ilmu ini sebaik mungkin

    ReplyDelete
  12. mohon copy yee..sangat-sangat membantu
    terima kasih cikgu ;')

    ReplyDelete