Aku menangis tanda gembira,
Aku menangis tanda kucinta,
Kepada-Nya.
Lirik lagu dendangan M. Nasir ini telah mengimbau kembali peristiwa sewaktu saya menghadiri majlis rumah terbuka yang dikendalikan oleh kerajaan Malaysia pada tahun lepas. Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tersebut diadakan di Dataran Bandar Raya Johor Bahru yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 11 malam. Sambutan majlis gilang-gemilang ini sangat meriah dan hangat kerana dihadiri oleh rakyat Malaysia yang terdiri daripada multietnik. Acara ini sungguh istimewa kerana dihadiri oleh Menteri Besar Johor, YB Dato Haji Abdul Ghani bin Othman bagi bersama-sama memeriahkan suasana. Tidak dilupakan penyanyi jemputan iaitu Jamal Abdilah turut hadir untuk menghiburkan para tetamu yang sedang menjamu selera. Para pengunjung tidak putus-putus datang bagi menghadiri majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Persoalannya di sini, mengapakah kerajaan begitu beriya-iya menganjurkan majlis seumpama ini sehingga turut dihadiri oleh pelbagai kaum padahal perayaan Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam? Oleh yang demikian, kebaikan dan keburukan rumah terbuka yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan lebih terperinci demi kebaikan semua.
Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menganjurkan majlis rumah terbuka yang dapat dihadiri oleh pelbagai kaum. Sebenarnya, objektif utama kerajaan mengadakan rumah terbuka ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana dengan kehadiran masyarakat sejagat yang berbilang kaum, ikatan perpaduan antara mereka dapat diperkukuh. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa rumah terbuka merupakan medium yang dapat menyatukan rakyat Malaysia yang berlainan bangsa seperti Melayu, Cina, India, Iban dan sebagainya. Situasi ini dapat dilihat apabila semua kaum berkumpul di satu tempat, mereka dapat bergaul dan beramah mesra antara satu sama lain. Melalui majlis ini, rakyat Malaysia dapat bertemu dan berkenal-kenalan dengan lebih dekat. Dengan cara ini, integrasi nasional akan dapat ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dapat hidup di bawah satu bumbung dengan harmoni. Secara tidak langsung, perayaan yang julung-julung kali diadakan ini menjadi wahana integrasi rakyat pelbagai kaum yang membanjiri majlis rumah terbuka tersebut. Jadi, amalan ini baik dan wajar sekali diteruskan dari masa ke masa bagi menyemai perasaan muhibah dalam kalangan masyarakat.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kebudayaan sesuatu kaum dapat dilihat semasa berlangsungnya majlis rumah terbuka. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat beruntung kerana tinggal di bumi Malaysia iaitu setiap kaum di Malaysia mempunyai budaya dan cara hidup yang unik. Kebudayaan tradisional yang telah wujud berabad-abad lama dahulu telah membentuk identiti rakyat Malaysia sehingga terkenal di mata dunia. Bertitik tolak daripada itu, pengunjung pastinya akan dapat menyaksikan keunikan sosiobudaya masyarakat Malaysia. Majlis rumah terbuka akan menjadi lebih menarik apabila sesuatu kaum mempersembahkan acara kebudayaan mereka. Persembahan yang unik dan mengagumkan ini boleh dijadikan simfoni budaya sebagai daya tarikan pelancong. Bukan itu sahaja, juadah yang bakal disajikan juga tentunya mencerminkan kebudayaan sesuatu kaum. Dengan ini, masyarakat Malaysia dapat menyelami budaya sesuatu kaum dengan lebih mendalam. Apabila mereka berpeluang mengenali adat dan kepercayaan suku kaum yang lain secara tidak langsung akan menimbulkan rasa hormat terhadap amalan bangsa lain. Oleh itu, jurang antara kaum dapat dirapatkan manakala tembok perbezaan dapat dirobohkan.
Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sambutan rumah terbuka turut mendatangkan keburukan. Contoh paling ketara yang sering kita saksikan ialah masalah kebersihan. Dalam konteks ini, kebersihan bermaksud bersih daripada segala kekotoran baik dari segi diri, pakaian mahupun tempat. Masalah kebersihan kerap timbul kerana segelintir pengunjung yang memandang enteng akan aspek kebersihan semasa berada dalam majlis tersebut. Kadangkala, terdapat penguujung yang membuang sampah dan sisa-sisa makanan di tempat yang tidak sepatutnya. Bagi majlis yang menggunakan pinggan dan cawan polisterina, pengunjung tanpa rasa bersalah hanya membuang pinggan dan cawan tersebut ke merata-rata tempat sehingga mencacatkan pemandangan. Selain itu, kebersihan tandas juga tidak begitu memuaskan. Situasi sedemikian boleh berlaku kerana tindakan sesetengah pengunjung yang bersikap tidak ambil peduli terhadap kebersihan persekitaran mereka. KIta tidak boleh menuding jari kepada pihak penganjur sahaja. Sepatutnya setiap pengunjung harus sedar dan bertanggungjawab menjaga kebersihan agar pengunjung lain berasa selesa. Tuntasnya, aspek kebersihan perlulah dititikberatkan dalam majlis rumah terbuka demi keselesaan dan kebaikan bersama.
Sebagaimana yang kita ketahui, semasa majlis rumah terbuka juga ada pengunjung yang mementingkan diri sendiri. Fenomena ini dapat dilihat apabila pengunjung mangambil makanan, mereka tidak beratur dengan betul dan berebut-rebut. Malah, terdapat juga segelintir pengunjung yang tamak dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Keadaan ini berlaku disebabkan sikap tetamu yang rambang mata sehingga mangambil makanan secara berlebihan tanpa memikirkan tetamu lain yang mungkin akan kekurangan makanan. Mereka juga mengambil makanan berlebihan sehingga tidak mampu dihabiskan kesemuanya. Situasi ini tentunya akan menyebabkan berlakunya pembaziran kerana makanan yang tidak habis itu dibuang begitu sahaja. Memandangkan keadaan yang sedemikian, ramai tetamu yang tidak berpeluang merasai makanan kerana tidak mencukupi padahal kerajaan telah pun menyediakan makanan yang banyak. Selain itu, terdapat juga pengunjung yang sengaja tidak memberi peluang kepada orang lain duduk walaupun mereka sudah selesai makan. Hanya kerana berebutkan makanan dan tempat duduk, sikap tolak ansur sanggup ditolak tepi disebabkan sikap mementingkan diri sendiri yang amat menebal dalam diri. Natijahnya, sikap mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hendaklah kita kikis dalam menjalani kehidupan kita seharian.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, konsep rumah terbuka perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Budaya mengadakan rumah terbuka telah diamalkan secara meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana terbukti majlis ini banyak mendatangkan faedah. Jadi, setiap kekurangan yang ada perlu diperbaiki dari masa ke masa bagi memperoleh manfaatnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu perkara. Semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak swasta atau orang perseorangan perlu berganding bahu bak aur dengan tebing untuk menjayakan program ini. Kesepakatan rakyat Malaysia pasti terserlah apabila mengadakan majlis seumpama ini. Dengan ini, kita dapat merealisasikan hasrat kerajaan iaitu untuk menyatupadukan masyarakat majmuk di Malaysia. Seandainya semua pihak berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, perkara ini pasti akan mencapai matlamatnya seperti yang diharapkan. Oleh yang demikian, program ini perlu diadakan lebih kerap dan diperluas ke seluruh negara.
Nur Hidayah binti Mail, 5 Berlian
Inilah budaya rakyat Malaysia, semakin jauh dari yang diajar oleh agama Islam.
ReplyDeleteSebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, konsep rumah terbuka perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat.
ReplyDeleteesei yang gempak kut ...!
ReplyDeleteAssalamualaikum. Tahniah Cikgu, karangan pelajar yang baik :)
ReplyDeleteTahniah, Karangan yang baik, banyak belanja bila buat majlis besar sebegini, membazir itu saudara syaitan
ReplyDeleteKarangan yang memuaskan.
ReplyDeleteCikgu terima kasih atas karangan yg penuh isi bermanfaat
ReplyDeletekarangan yang agak mantul, terbaik cikgu!!!!
ReplyDelete