Thursday, August 13, 2015

KARANGAN TARGET SPM 2015 ~ Warisan negara seperti seni budaya dan permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Tulis sebuah rencana tentang kepentingan mengekalkan warisan ini.

Kepentingan Mengekalkan Warisan Negara
Oleh : Ameer Syafiq 


Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan


Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.

Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah negara.

Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. 

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.

Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya, Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini.   Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan mekar meredah zaman.

[925 patah perkataan]
Suhaina Fathima Binti Mohd Shukor
5 Berlian ( 2015 )

1 comment:

  1. IBU SARTIKA/SURWANTO seorang TKI DI HONGKONG
    pengen pulang ke indonesia tapi gak ada ongkos
    sempat saya putus asa apalagi dengan keadaan susah
    gaji suami saya itupun buat makan sehari2. sedangkan hutang banyak
    kebetulan suami saya buka-buka internet Dan mendapatkan
    nomor MBAH KASSENG (0853-4288-2547) katanya bisa bantu orang melunasi hutang
    melalui jalan TOGEL dan dengan keadaan susah, terpaksa saya
    hubungi dan minta angka bocoran hongkong
    angka yang di berikan waktu itu 4D 
    ternyata betul-betul tembus 100% alhamdulillah dapat 269.jt Oleh Karna itu saya posting no HP MBAH KASSENG ini supaya saudarah-saudara ku di indonesia maupun di luar negri yang sangat kesulitan masalah ekonomi (kesusahan) jangan anda putus asa. Karna jalan masih panjang yang penting anda tdk malu atau takut menghubungi MBAH KASSENG. Semua akan berubah Karna kesuksesan ada pada diri kita sendiri. Yakin dan percaya bahwa itu semua akan tercapai

    ReplyDelete