Thursday, April 19, 2012

KEBAIKAN SEKTOR PERINDUSTRIAN

SOALAN:
Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden.  Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara. 
Terangkan kebaikan-kebaikan sektor industri kepada rakyat dan negara.

Penggubalan dasar perindustrian di Malaysia adalah lebih menjurus ke arah untuk meningkatkan sumbangan dan prestasi sektor perindustrian negara. Memetik kata-kata daripada mantan Perdana Menteri Ke-4, Tun Mahathir Mohamed, 1989 yang berbunyi, "usaha-usaha untuk menjadikan sektor perindustiran, terutamanya sektor pembuatan punca utama pertumbuhan ekonomi negara berjalan dengan lancar. Sektor perindustrian bagi sektor pembuatan akan menjadi tulang belakang ekonomi negara pada masa hadapan, kerajaan akan membuat pengubahsuaian segala dasar dan strategi serta berusaha memperluaskan asas perindustrian dalam sektor pembuatan".  Nah,  Sudah terang lagi bersuluh, Malaysia telah melalui proses penekanan ketara dalam meningkatkan tahap industri negara sejak awal tahun 80-an lagi.  Kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam mentadbir negara bermula pada tahun 1981 sehingga 2003 telah menyinarkan cahaya keilmuan yang hampir padam.  Pada Februari 1991, beliau telah mengemukakan ‘Wawasan 2020’ sebagai matlamat jangka masa panjang untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang membangun dan mempunyai nilai kualiti tinggi.  Pendekatan ini telah mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.  Menurut beliau lagi, matlamat kesembilan daripada Wawasan 2020  ini semestinya menjadi keutamaan masyarakat Malaysia untuk tiga dekad yang akan datang.  Seiring dengan dasar tersebut, melalui agenda sektor  perindustrian sudah pasti aspirasi negara maju menjelang 2020 akan dapat direalisasikan.  Malahan, peranan sektor perindustian tidak perlu lagi dipertikaikan kerana banyak membawa kebaikan sama ada kepada rakyat mahupun negara.
                                
Sebagai pembuka kata dan bicara , kebaikan yang dibawa oleh sektor perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu.  Sebagai bukti, import pada bulan Oktober 2009 menurun sebanyak 2.3% berbanding September 2008 disebabkan kemerosotan import barang pengantara sebanyak 10%  terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 8.5% dan produk besi dan keluli sebanyak 28%.    Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor perindustrian negara telah berjaya menghasilkan produk yang sama terutama barangan elektrik dan elektronik pada harga yang lebih murah.  Selain itu, kalau dahulu negara kita pada era 70-an terpaksa mengimport kereta dari negara Jepun atau negara barat tetapi kini  keadaannya amat berbeza sekali seperti langit dengan bumi kerana negara kita sekarang sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri dalam menghasilkan kereta buatan sendiri iaitu Proton mahupun Perodua.  Situasi ini turut memberikan kesan terhadap kadar imbangan perdagangan luar  negara kerana kurang wang yang mengalir ke luar negara untuk membayar barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor-sektor lain.  Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu dapat digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat.  Tegasnya, kemajuan dalam sektor perindustrian berjaya mengurangkan import negara yang dulunya negara kita terlalu bergantung kepada barangan import tersebut.

Ekoran daripada pengurangan import negara terhadap barangan tertentu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa sektor perindustrian juga dapat meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah di negara ini. Pertumbuhan pesat dalam sektor perkilangan sudah tentu membawa peningkatan dalam permintaan terhadap bahan mentah umpama cendawan tumbuh selepas hujan.  Seterusnya, menjadi antara intipati perindustrian untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat di seantero dunia.  Sebagai analogi yang sudah diketahui umum, negara kita pernah ditakluki oleh kuasa asing untuk menguasai sumber bahan mentah negara kerana harganya yang tinggi dan permintaannya meluas dalam pasaran antarabangsa.  Berdasarkan perangkaan terkini, sumber bahan mentah seperti getah, petroleum dan kelapa sawit masih mempunyai pasaran yang meluas di peringkat globalisasi.  Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia pada tahun 2012, didapati pengeluaran minyak kelapa sawit meningkat  sebanyak 7.9% kepada RM4.5 bilion. Keadaan ini tentunya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kerana negara mengeksport sumber-sumber ini ke luar negara. Di samping itu, sumber bahan mentah seperti petroleum diperlukan dalam proses pengetinan makanan dan minyak petrol bagi sektor perindustrian di negara kita.  Malahan, minyak masak dan sabun yang dihasilkan turut menggunakan  kelapa sawit sebagai sumber bahan mentah.  Secara tidak langsung, harga komoditi negara sudah  pasti meningkat dengan mendadak dan memberi keuntungan  kepada negara.  Izharlah, kepesatan dalam sektor perindustrian sudah ketara dapat meningkatkan permintaan terhadap sumber bahan mentah negara.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sektor perindustrian memberikan kebaikan kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan yang luas.  Kilang-kilang yang dibina di kawasan pedalaman mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.  Contoh pekerjaan yang biasa ditawarkan kepada penduduk berdekatan seperti operator kilang, jurutera kilang, pengurus kilang dan sebagainya.  Peluang pekerjaan yang ditawarkan ini seharusnya dimanfaatkan oleh rakyat bagi menampung keperluan hidup mereka.  Sektor perindustrian mampu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan yang luas dari pelbagai peringkat. Antaranya ialah peringkat pengeluaran, pemprosesan, pemasangan, pembungkusan, pemasaran.  Pada tahun 2001 sahaja, seramai 2.2 juta rakyat terlibat dalam sektor perindustrian iaitu bersamaan 22%  daripada jumlah tenaga kerja yang terdapat di Malaysia.  Fenomena ini sudah pasti dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.  Sesungguhnya, sektor perindustrian mampu menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat khususnya dalam bidang perkilangan. 

Pada realitinya,  kepesatan dalam sektor perindustrian juga telah berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat.   Peningkatan taraf hidup ini juga dapat dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat.  Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal.  Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.  Hal ini kerana upah atau gaji hasil daripada titik peluh sendiri dapat menjamin masa depan diri dan keluarga. Daripada realiti ini, dapat kita katakan bahawa masyarakat yang hidup susah, kini dapat meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga mereka. Bertitik tolak daripada itu, kita akui bahawa kemajuan sektor perindustrian yang pesat ini telah memberikan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.   Taraf hidup rakyat juga sebenarnya dapat diukur melalui pendapatan per kapita sesebuah negara.  Situasi ini dapat dibuktikan berdasarkan data World Development Indicators oleh Bank Dunia pada 1 Julai 2009, Malaysia berada pada kedudukan ke-79 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 13.740 per tahun.  Sedangkan, Indonesia berada pada kedudukan ke-146 dengan pendapatan per kapita sebesar US$ 3.830 per tahun.  Berdasarkan perangkaan ini, taraf hidup rakyat negara kita jauh lebih baik daripada Indonesia secara perbandingannya 3.5 kali ganda.  Jelaslah bahawa semua ini terhasil daripada perkembangan yang pesat dalam sektor perindustrian di Malaysia.

Intihanya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat dan negara ini.  Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat mengutamakan sektor ini.  Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.  Sebelum nasi menjadi bubur, sebelum retak menjadi parah, kepentingan sektor pertanian di negara kita juga tidak seharusnya dipandang sebelah mata.  Hal ini disebabkan hasil pertanian merupakan sumber  bekalan makanan kepada rakyat ini.  Oleh itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sewajarnya bekerjasama bagai aur dengan tebing dan menggembleng tenaga untuk memajukan sektor pertanian dan perindustrian di negara kita.  Hal ini kerana sektor pertanian dan perindustrian di negara kita perlu bergerak seiring, bahu-membahu, lengkap-melengkapi  bak seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee bagai irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan. Dalam erti kata yang lain, sektor perindustrian tidak boleh dipisahkan dengan sektor perindustrian.  Selari dengan itu, Malaysia berupaya menjadi sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta dapat berdiri megah dengan negara-negara maju yang lain umpama duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Nukilan kerjasama berkumpulan 5 Berlian 2012

11 comments: