Soalan:
Sejak akhir-akhir ini kegiatan jenayah sering mendapat perhatian daripada pihak media massa. Keadaan ini amat membimbangkan masyarakat mahupun negara.
Bincangkan langkah-langkah menangani masalah jenayah ini daripada berleluasa.
Sedasarwasa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu kegiatan jenayah. Isu seperti ini perlu diberi perhatian yang lebih. Semua pihak sewajarnya bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi mengatasi isu jenayah yang semakin meruncing membunuh manusia ini. Antara isu jenayah yang menjadi tumpuan orang ramai ialah membunuh, merompak, memeras ugut dan merogol. Siapakah yang bertanggungjawab untuk membendung masalah yang semakin berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha yang drastik, pragmatik dan efektif perlu dilaksanakan bagi menangani isu kegiatan jenayah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
Dalam konteks ini, kerajaan memainkan peranan penting dalam memasang kamera litar tertutup di setiap tempat. Dengan cara ini, segala kegiatan yang menyalahi undang-undang dapat dirakamkan dan setiap tindak-tanduk manusia yang mencurigakan dapat diungkai dengan secepat mungkin. Hal ini demikian kerana dengan memasang kamera litar tertutup di semua tempat, penjenayah akan berasa takut untuk melakukan kegiatan mereka. Mereka juga akan memikirkan dua kali untuk melakukan jenayah. Sebagai analoginya, pihak kerajaan seharusnya memasang kamera litar tertutup di kawasan tempat parkir kereta kerana berdasarkan perangkaan terkini, statistik tindakan jenayah banyak berlaku di kawasan tempat letak kereta berbanding kawasan-kawasan lain. Oleh itu, dengan pemasangan kamera litar tertutup di semua tempat, isu jenayah ini dapat dibasmi dan dicegah hingga ke akar umbi.
Selain itu, para penduduk di setiap presint sewajarnya mengamalkan semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. Dengan berbuat demikian, keselamatan di kawasan perumahan akan terjamin dan para penduduk tidak akan berasa bimbang dan gusar tentang keselamatan mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan kaum dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk. Bagi mengatasi masalah jenayah yang kian serius ini, para penduduk seharusnya memaklumkan jiran terdekat jika hendak ke sesuatu tempat. Oleh hal demikian, semangat kejiranan begitu penting dalam menghindari sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Di samping itu, rondaan yang kerap perlu dilakukan supaya kawasan kediaman berada dalam keadaan aman dan selamat. Pihak polis dan masyarakat setempat perlu membuat rondaan pada waktu malam secara berterusan. Dengan cara ini, kes-kes jenayah di kawasan yang kerap berlaku kejadian jenayah dapat dikurangkan. Sebagai contohnya, pihak polis atau ahli Rukun Tetangga hendaklah melakukan rondaan terutamanya pada musim-musim perayaan pelbagai kaum. Hal ini demikian kerana, pada musim perayaan statistik kejadian jenayah adalah lebih tinggi berbanding pada hari-hari biasa. Lantaran itu, pihak polis dan masyarakat setempat perlu mengadakan rondaan lebih kerap lagi bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.
Natijahnya, jika setiap masyarakat berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insya-Allah isu-isu jenayah akan merudum dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai sejajar dengan visi kudsi Wawasan 2020. Oleh hal yang demikian, semua pihak tidak seharusnya melepaskan batuk di tangga malah perlu merealisasikan matlamat ‘Sifar Jenayah’ kerana jenayah ini ibarat api, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Jadi, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga bagi membanteras kegiatan jenayah ini.
Nukilan : Hazreen - Tingkatan 3 Berlian
Berapa patah perkataan eh?
ReplyDelete