Monday, April 16, 2012

PENULISAN SPM : CIRI-CIRI BANDAR IDAMAN SAYA



Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak tentang  isu pembukaan bandar-bandar baharu lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang gah di persada dunia.  Pembukaan bandar-bandar baharu yang canggih menjadikan Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi yang lain.  Jika dikaji sehingga ke akar umbi, terdapat banyak bandar yang canggih dan cantik di negara Malaysia. Antara contoh  bandar yang menjadi buah mulut dan dipolemikkan di kedai-kedai kopi mahupun dewan parlimen ialah bandar Putrajaya di Malaysia.  Selain itu, terdapat juga bandar canggih dan cantik di negara lain seperti bandar Limerick di Ireland dan bandar Kontanz di German.  Oleh yang demikian, semua warganegara Malaysia sudah tentu mengimpikan bandar idaman untuk didiami  bersama-sama keluarga yang tercinta. Tidak terkecuali saya yang turut mendambakan bandar idaman saya yang lengkap dengan segala yang diperlukan.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa  bandar idaman semua mestilah mempunyai prasarana yang memenuhi kehendak rakyat. Begitulah juga halnya dengan diri saya yang menginginkan kemudahan lengkap di tempat saya tinggal seperti kemudahan bekalan air dan elektrik, pengangkutan awam, khidmat Unifi, tandas awam dan perpustakaan awam. Pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi ini, ilmu sudah mendominasi kemajuan sesebuah negara.  Untuk rakyat berkomunikasi dan memperoleh ilmu, khimat Unifi dan kemudahan jaringan internet hendaklah diperluas dan dipermudah untuk dicapai oleh komuniti bandar.  Selain itu, bekalan air dan elektrik hendaklah mencukupi menampung keperluan masyarakat setempat dengan menggunakan kemajuan dalam proses kitar semula. Tidak cukup dengan itu, pengangkutan awam yang diguna pakai di bandar idaman saya mestilah mesra alam.  Sampah-sampah juga dilupuskan dengan menggunakan teknologi insenerator yang telahpun diaplikasikan di negara-negara maju.  Dengan perkataan lain, segala-galanya ada di bandar idaman saya. Tegasnya, bandar idaman saya mestilah mempunyai prasarana yang mencukupi agar rakyat dapat hidup dengan  selesa sambil menikmati segala kemudahan yang disediakan.


Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah bandar yang menjadi idaman saya perlulah berkonsepkan lestari alam semula jadi. Dalam konteks ini, bandar tersebut perlulah dipenuhi dengan tumbuhan hijau serta bebas daripada pencemaran alam. Memandangkan keadaan yang sedemikian, bandar tersebut perlulah berjauhan dari kawasan perindustrian yang pastinya akan menyebabkan pencemaran udara dan pencemaran air. Bukan itu sahaja, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi dapat menyegarkan minda di samping pemandangan yang indah saujana mata memandang. Bertitik tolak daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang dapat menyerapkan gas karbon dioksida perlu ditanam dengan banyak  di sekeliling bandar idaman saya. Hal ini secara tidak langsung, akan mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia dan haiwan sekali gus mengurangkan risiko penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, bandar yang berkonsepkan lestari alam semula jadi yang banyak membawa maslahat merupakan  bandar idaman saya.

  Hakikatnya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bandar idaman saya perlulah bertemakan hiburan. Hal ini adalah kerana bandar berkonsepkan hiburan sudah lama terpahat dalam memori saya untuk dijadikan bandar  idaman saya.  Aspek utama  dalam konsep ini ialah bandar yang dapat memberikan hiburan kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat yang merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja, golongan dewasa mahupun warga tua. Sebagai analoginya, bandar idaman saya mestilah bertemakan hiburan seperti Disneyland di New York, Resort World of Sentosa di Singapura.  Dengan ini, rakyat boleh mengurangkan stres dan melarikan diri seketika daripada memikirkan tekanan di tempat kerja.  Secara tidak langsung, setiap ahli keluarga boleh meluangkan masa pada hujung minggu dengan membawa keluarga pergi ke tempat tersebut yang ada di depan mata.  Tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang besar untuk menikmati bandar bertemakan hiburan yang sama di luar negara.  Izharlah bahawa dengan adanya bandar idaman saya ini, keluarga yang bahagia sudah pasti dapat dilahirkan dan diperkukuhkan.

Sebagai menggulung tajuk yang diperbincangkan, bandar idaman saya mestilah  berunsurkan mesra alam, memiliki pelbagai prasarana dan kemudahan  yang canggih untuk keselesaan komuniti. Dengan ini, sebagai rakyat Malaysia, saya akan sentiasa memberikan sokongan ke atas projek yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti Perbandaran Hijau yang akan menjadi model rintis kepada pembangunan bandar-bandar lain di Malaysia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, bandar-bandar  idaman yang dihasratkan  sudah pasti akan dapat memajukan negara setanding  dengan negara moden serta dapat merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Oleh itu,  masyarakat perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Belajar dari keadaan pentadbiran sekarang dan mempraktikkan dalam pentadbiran akan datang malah berusaha untuk memperbaikinya lagi supaya  semua rakyat Malaysia dapat menikmati kelengkapan kemudahan dan tubuh badan yang sihat dari segi minda mahupun fizikal. Dengan keizinan Tuhan Yang Maha Esa, saya berharap agar bandar idaman saya akan  menjadi realiti sebelum saya menutup mata.




Kerjasama murid-murid  Kelas 5 Berlian 2012

13 comments: