Monday, August 19, 2013

ESEI PENDERMAAN ORGAN 3

PENDERMAAN ORGAN : ANUGERAH HIDUP

Oleh Foo Evelyn

          Beberapa bulan yang lalu, seorang bapa, Azli Mohamed bertindak mendermakan injap jantung, hati dan buah pinggang anak perempuannya yang bernama Farhah Fakhira demi memenuhi hasrat arwah untuk memberikan organnya kepada mereka yang memerlukan. Meskipun sedih, namun ibu bapanya bersyukur kerana hasrat terakhir anak perempuannya berjaya dimakbulkan. Anak gadisnya itu telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pasir Gudang pada bulan Julai yang lalu. Menurut bapanya, anak kedua daripada tiga orang beradik itu melahirkan hasrat untuk menderma organ awal tahun lalu ketika berbual dengan ibunya. Bagi saya, kisah di sebalik perjuangan Farhah Fakhira adalah suatu yang amat mengagumkan kerana hal ini mengenai kisah insan yang sungguh murah hati yang ingin memberi satu lagi peluang hidup kepada orang lain sebelum mereka meninggalkan dunia fana ini. Semua ini adalah bukti bahawa pendermaan organ adalah anugerah hidup yang tidak ternilai. 

      Sudah terang lagi bersuluh, memang tidak dapat dinafikan bahawa pendermaan organ merupakan satu amalan yang mulia. Pendermaan organ bukanlah suatu yang baru di Malaysia dalam dunia perubatan di Malaysia tetapi kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menderma organ masih pada peringkat yang amat rendah. Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat dari tahun ke tahun, namun bilangan pengikrar yang ingin menderma organ setelah kematian masih rendah. Pendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik. Pendermaan dan pemindahan organ melibatkan pertukaran tisu atau organ yang tidak berfungsi seperti organ yang disahkan mati secara klinikal atau dalam kata lain kematian otak. 

          Sebagaimana yang kita ketahui bahawa perlaksanaan pembedahan organ yang berjaya sememangnya dapat memberikan manfaat di mana kualiti hidup penerima organ dapat ditingkatkan. Organ yang didermakan juga berkemungkinan tidak berfungsi sebagaimana yang diharapkan oleh penerima di samping parut luka pembedahan boleh menjejaskan penampilan penderma. Selepas transplantasi organ atau tisu, pesakit dapat menghilangkan penderitaan yang ditanggungnya sebelum ini. Rawatan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan pembedahan memerlukan masa yang lama di samping kemungkinan menerima kesan sampingan dari ubat-ubatan yang diambil. Selain membolehkan sistem badan pesakit berfungsi secara normal, transplantasi memberikan harapan baru kepada pesakit untuk terus hidup. Dengan adanya bank organ, pesakit tidak perlu menunggu begitu lama untuk menjalani pembedahan. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kematian awal. 

          Pada kebiasaannya, pemindahan organ dari penderma hidup hanya dibenarkan oleh ahli keluarga yang ada pertalian darah atau hubungan suami isteri. Isu mengenai pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar untuk diperkatakan apatah lagi untuk mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Keputusan untuk mengizinkan penderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila mereka meninggal dunia, bukan sesuatu yang mudah. 

         Seseorang yang masih hidup boleh menderma salah satu dari buah pinggang atau sebahagian hatinya. Di samping kesesuaian organ penderma dengan tubuh penerima, penderma organ juga mestilah seorang yang mempunyai kesihatan yang baik dari segi mental dan fizikal. Pendermaan organ ketika masih hidup mempunyai risiko tertentu akibat pembedahan termasuk kematian dan juga kesan negatif dari segi psikologi. Risiko pembedahan termasuklah kesakitan di kawasan pembedahan, jangkitan, pendarahan, darah beku di kawasan luka, kecederaan tisu serta organ lain dan sebagainya. Masalah psikologi yang negatif pula boleh berlaku semasa atau selepas pendermaan dilakukan seperti penyesalan, dendam dan kemarahan sebab pembedahan yang dilakukan. 

        Memandangkan keadaan yang sedemikian kad Pengikrar Penderma Organ telah dilancarkan sejak tahun 1999 sebagai kad indikasi pendaftaran seseorang itu sebagai pengikrar penderma organ. Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan menunjukkan bahawa sebanyak 126 000 bilangan pendaftar pengikrar telah direkodkan di Pusat Sumber Transplan Nasional. Bilangan tersebut amat rendah untuk bilangan penduduk Negara yang dianggarkan seramai 27 juta orang. Sehubungan itu, Pusat Sumber Transplan Nasional diwujudkan bukan sahaja untuk menambah bilangan pengikrar penderma organ, malah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, selain memberikan maklumat dan tentang kepentingan pendermaan organ. Selain itu, pada masa ini juga Kementerian kesihatan Malaysia bekerjasama dengan Pejabat Pos Malaysia untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk menderma organ mereka. Hal ini adalah satu tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) untuk menyedarkan masyarakat bahawa ada nyawa yang rakyat Malaysia dengan menderma organ, ada nyawa yang kita boleh selamatkan. Usaha yang berterusan dan menepati sasaran pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan dratisk dilakukan secara bersama oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta. 

          Intihanya, pepatah melayu ada menyatakan bahawa berat mana mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Penderitaan dan kesulitan yang ditanggung hanya difahami oleh mereka yang terlibat sahaja. Namun dalam usaha untuk membantu pesakit berkenaan, perlu dipastikan tidak ada pihak lain pula yang mendapat kemudharatan sama ada yang masih hidup atau yang telah mati. Pendermaan organ merupakan satu tanggungjawab memandangkan setiap agama menyeru penganutnya agar sentiasa mengasihani orang lain. Oleh hal yang demikian, semua masyarakat perlulah berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni agar kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menderma organ dapat ditingkatkan.





No comments:

Post a Comment