Sunday, February 13, 2011

TAJUK UNTUK ULBS

SYARAHAN : GURU BERKUALITI MENJANA INSAN CEMERLANG

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Terima kasih pengerusi majlis,
Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
seterusnya hadirin yang dikasihi,

"Guru Berkualiti Menjana Insan Cemerlang"

Begitulah tajuk syarahan saya pada pagi yang berbahagia ini. Sebelum saya melangkah dengan lebih jauh lagi, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya satu persatu.

Menurut Kamus Dewan, "Guru" bermaksud pendidik, pengajar atau pengasuh. "Berkualiti" pula bererti bermutu tinggi. "Menjana" pula ditakrifkan sebagai menghasilkan manakala "Insan" pula merujuk kepada individu manusia dan "Cemerlang" menurut kamus dewan lagi ialah kejayaan yang tinggi. Daripada definisi tadi, jelaslah bahawa pendidik yang bermutu yang tinggi mampu melahirkan manusia yang terdiri daripada golongan "Al-Muflihun" atau mereka yang berjaya.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,

Kualiti guru yang pertama ialah melaksanakan tugas dengan sepenuh keikhlasan. Jasad yang digerakkan oleh keikhlasan kerana Allah S.W.T akan memampukan seorang guru menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Segala usaha ini dilakukan untuk mendapat keredaan Allah dan diserahkannya kepad-Nya untuk dinilai. Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Bayyinah ayat 5, maksudnya: "Mereka tidaklah diperintahkan, melainkan supaya beribadat kepada Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepadanya". Berhubung ayat ini, Imam Habib Abdullah Hadad mengulas bahawa tanpa keikhlasan maka perbuatan yang dilaksanakan adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Sebagai contoh, lihat sahaja keihklasan guru yang mengajar di pedalaman. Kisah mereka sering dipaparkan di akhbar dan di kaca televisyen. Mereka terpaksa berjalan kaki, menaiki sampan malah ada yang terpaksa berenang untuk sampai ke sekolah. Niat mereka adalah ikhlas untuk mendidik anak bangsa supaya cemerlang, gemilang, terbilang. Jika tiada keikhlasan mana mungkin tugas ini sanggup dilakukan.

Hadirin-hadirat,

Kualiti guru yang kedua ialah berilmu. Tanpa ilmu, guru tidak mampu menyampaikan pelajaran dengan baik kepada murid-murid. Sepertimana yang diungkapkan oleh hadis Nabi S.A.W dari riwayat Anas bin Malik dari "Majmu' Zawaid yang bermaksud;
"Sesungguhnya, orang yang berilmu di dunia ibarat bintang di langit menjadi penunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Hadis ini mengingatkan kita, bahawa guru yang berilmu mampu membimbing para murid ke arah kecemerlangan. Sesungguhnya, ilmu adalah ibarat bintang yang menunjuk arah kepada kita dalam belayar, tanpa ilmu hilanglah pedoman dan sesatlah arah. Justeru, dalam memastikan para guru dilengkapi dengan ilmu mengajar maka setiap guru pada hari ini diberikan latihan terlebih dahulu di Institut-Institut Perguruan di seluruh negara. Bahkan, kerajaan juga turut menggalakkan para guru untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Hadirin-hadirat,

Kualiti guru yang ketiga ialah berhikmah dalam mendidik. Hikmah di sini bererti bijaksana.
Allah berfirman didalam Al-Quran surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud;

"Serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan contoh teladan yang baik". Berhikmah di sini merujuk kepada kreativiti pendakwah dalam mempelbagaikan cara dakwahnya agar sesuai dengan suasana semasa. Begitulah juga peranan guru yang berhikmah. Mencari dan menggunakan kaedah yang sesuai dalam mendidik. Sebagai contoh, guru disaran oleh Kementerian Pelajaran untuk menggunakan teknologi multi media bagi membantu pembelajaran para murid. Penggunaan teknologi adalah kaedah yang bijaksana dan merupakan langkah terbaik meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran

Kualiti guru yang keempat ialah berakhlak mulia. Guru sebagai ibu dan bapa di sekolah merupakan contoh teladan bagi murid. Oleh hal yang demikian, guru perlu terlebih dahulu berakhlak mulia sebelum dapat melahirkan murid yang berakhlak mulia. Sepertimana hadis Nabi S.A.W daripada riwayat Abu Ya'la yang bermaksud; "Sesungguhnya kamu sekalian tidak akan boleh mempengaruhi manusia dengan hartamu, maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan berbudi pekerti.” Jelaslah pada kita, bahawa akhlak mulia mampu merubah manusia sedangkan akhlak buruk yang dipamerkan oleh guru hanya mendatangkan kejelekan. Janganlah jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Lihat sahajalah bagaimana media massa memaparkan beberapa siri keganasan guru terhadap murid. Sikap panas baran dan melampau bukan akhlak yang mulia. Guru-guru terbabit bukan sahaja gagal mendidik , bahkan dicerca kerana tidak menunjukkan contoh yang baik.

Kesimpulannya, guru berkualiti akan dapat melahirkan insan cemerlang di dunia dan di akhirat. Oleh itu sebagai guru marilah kita tingkatkan kualiti diri ke arah melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wabillhi taufiq wal hidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1 comment: