Saturday, February 12, 2011

PIDATO : MAKNA KEMERDEKAAN SEBENAR (ULBS)

Salam mesra pembuka kata,
Bagi memulakan pidato saya,
Salam sejahtera madah bermula,
Kepada hadirin pendengar bicara.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Impian Emas, Puan Asmah binti Abdul Hamid, barisan panel hakim yang tetap berdiri di atas neraca keadilan, guru-guru, rakan-rakan seperjuangan dan para hadirin yang dihormati sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua. Berdirinya saya di pentas yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk “Makna Kemerdekaan Sebenar.”

Para para pendengar yang budiman,

Sudah lebih setengah abad Malaysia mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah. Laungan “Merdeka!” oleh Perdana Menteri pertama kita,Tunku Abdul Rahman masih terngiang-ngiang di telinga anak pramerdeka yang pernah melalui kehidupan terseksa pada zaman penjajahan. Persoalan yang sentiasa timbul dalam benak fikiran kita ialah, “apakah makna kemerdekaan yang sebenar?”

Kemerdekaan dapat ditafsirkan sebagai keadaan yang bebas daripada semua aspek. Pada era globalisasi ini, remaja dilihat sering terikut-ikut dengan cara percakapan, cara berpakaian dan gaya hidup artis dari negara barat. Hakikatnya, budaya ini sememangnya tidak sesuai untuk negara timur terutamanya masyarakat Malaysia. Hal ini bermaksud kita masih belum mencapai kemerdekaan dari segi mental.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Di samping itu, kemerdekaan bermaksud rakyat hidup bersatu dalam keadaan yang harmoni. Perpaduan kaum merupakan faktor utama untuk kemerdekaan dan juga pembangunan negara. Hal ini amat berkenan dengan tema sambutan kemerdekaan kali ini, iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan”.

Selain itu, kemerdekaan memberi makna bahawa kita tidak lagi dikongkong oleh mana-mana pihak. Malaysia harus membuktikan kepada dunia yang rakyatnya mempunyai minda kelas pertama. Dengan ini, tidak perlu lagi kita bergantung kepada tenaga pakar luar untuk memajukan negara. Dalam hal ini, kemerdekaan merujuk kepada kebolehan Malaysia berdikari tanpa bergantung kepada tenaga luar.

Para hadirin yang dihormati,

Kemerdekaan juga bererti pembebasan mutlak daripada gejala negatif. Hal ini bermakna rakyat perlu bekerja gigih ke arah pencapaian model insan yang gemilang. Nilai murni harus dibenihkan ke dalam jiwa rakyat. Pemupukan nilai murni patut dimulakan melalui institusi keluarga dan sekolah.

Perjuangan perajurit pada masa lampau perlu dikenang sehingga akhir zaman. Perjuangan ke arah kemerdekaan bukannya senang, tetapi memerlukan tekad dan azam yang utuh. Oleh hal itu, sebagai pelapis, kita harus memberikan komitmen yang jitu ke arah mempertahankan negara dan mengekalkan keharmonian.

Sebelum mengundur diri, saya ingin menyampaikan serangkap pantun.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Sekian, terima kasih

[370pp]

No comments:

Post a Comment