Wednesday, February 9, 2011

PIDATO : KEMERDEKAAN

PIDATO  :  SEJAUH MANAKAH PENCAPAIAN MALAYSIA SELEPAS KEMERDEKAAN?

“Ting! Ting! Ting!.” Detik 12 malam tanggal 31 Ogos tahun 1957, turunnya bendera Union Jack diiringi dengan laungan “Merdeka!!! Merdeka!!!Merdeka!!!” oleh perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Detik bersejarah yang tersemat kukuh dalam sanubari setiap rakyat Tanah Melayu.  Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya ke mari. Bukan sekadar ingin menghibur hati, tetapi untuk membawa anda semua untuk sama-sama kita menyelami, mendalami dan berkongsi mauduk  bicara yang berbunyi :“Sejauh manakah pencapaian Malaysia Selepas Kemerdekaan.”

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sekalung apreasiasi saya hulurkan buat saudari pengerusi majlis, kombinasi intelektual kehakiman bervisi, penjaga masa yang setia dengan bibit-bibit minit, dif-dif kehormat yang disanjungi seterusnya hadirin-hadirat yang dikasihi. 

Saya kecilkan definisi dengan menumpu sekitar persoalan pencapaian Malaysia selepas lebih 50 tahun kemerdekaan. Frasa capai atau pencapaian mengikut kamus Dewan Edisi Terbaru adalah bermaksud prestasi. Tuntasnya, definisi pidato saya adalah tertumpu dalam skop prestasi Malaysia selepas kemerdekaan pada tahun 1957.

Sidang Pendengar Yang Setia,

Atas kata bicara “Kestabilan ekonomi negara yang jauh lebih baik selepas kemerdekaan“ adalah hujah saya yang pertama. Sebagai contoh Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan sekitar tahun 80-an mencatatkan perkembangan positif yang dimangkinkan dengan pertumbuhan sektor pembuatan telah menukar parameter makro ekonomi negara. Pertumbuhan yang pesat ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia telah mengalami transformasi struktur iaitu daripada bentuk ekonomi yang berasaskan pertanian kepada satu bentuk ekonomi yang pantas menuju ke taraf negara perindustrian. Misalnya, saya bawakan perbandingan angka pengeluaran sektor pertanian yang telah meningkat daripada RM10.2 bilion pada tahun1980 kepada RM17.9 bilion pada tahun 2001. Justeru, peningkatan ini menunjukkan bahawa negara kita kian menampakkan perkembangan yang positif dalam bidang ekonomi.

Hadirin hadirat sekalian,

Meniti hujah saya yang kedua adalah berpaksikan “Integrasi masyarakat majmuk yang semakin utuh”. Dasar pecah dan perintah yang telah dilaksanakan oleh penjajah British telah merosakkan kesatuan tiga kelompok bangsa yang mendiami Tanah Melayu ketika itu. Justeru, pelbagai program dan dasar telah dirangka oleh pihak kerajaan dalam memastikan integrasi kaum dapat dieratkan. Dasar Wawasan Negara, konsep Sekolah Integrasi dan dasar pembawaan konsep “1Malaysia” yang diwara-warakan adalah bertepatan dengan penyatuan masyarakat majmuk dalam negara kita pada hari ini. Orang Melayu misalnya bukan lagi penduduk tetap di desa dan orang India pula sudah keluar daripada kepompong estet dan ladang.

Sidang dewan yang budiman,

Meniti kata kunci saya yang ketiga “Perkembangan sektor pendidikan yang lebih baik berbanding 52 tahun yang lalu”, adalah merupakan hujah penting dalam menampakkan prestasi negara pada hari ini. Jika dahulu kebanyakan masyarakat Tanah Melayu buta huruf namun, pada hari ini kita mampu berbangga dengan pencapaian rakyat Malaysia sehingga mampu mengharumkan nama negara dalam bidang pendidikan. Sebagai contohnya, kejayaan Saudara Najmil Faiz Mohamed Aris, salah seorang pelajar Sarjana Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Nano di Universiti Metropolitan,Leeds yang sebelum ini pernah mendapat perhatian media Malaysia kerana kejayaan beliau mengharumkan nama negara menerusi pembentangan tesis beliau di Parlimen Britain pada tahun 2005.
Meniti isi saya yang keempat adalah bertitik tolak kepada asas “Kemampuan rakyat untuk berdikari dan mengharumkan nama negara”. Saya bawakan nama-nama seperti Dato’ Azhar Mansur, pelayar solo mengelilingi dunia, Dato’ Malik Maidin, perenang yang merentasi Selat Inggeris, Dr Syeikh Muzzaffar Shukor, angkasawan pertama Malaysia dan ramai lagi wira kebanggaan yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Semua ini adalah menunjukkan bahawa betapa rakyat Malaysia mampu berdikari di peringkat perdana.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Prestasi pembangunan modal insan, atas kata bicara "Sirnanya budaya dan tatasusila rakyat timur jika dibandingkan dengan zaman sebelum kemerdekaan". Gejala sosial anak-anak muda, runtuhnya sosial kemasyarakatan dan hilangnya keperkasaan institusi kekeluargaan adalah bahana besar kepada rosaknya modal insan negara. Dunia pada hari ini sudah penat, menyaksikan masalah sosial yang semakin melarat. Seks bebas sudah dijadikan adat. Hubungan sejenis mula mendapat tempat. Untuk menjadi hebat, ilmu tidak lagi diangkat sebaliknya korupsi yang menjadi syarat. Adakah semua ini hanya perlu untuk dilihat? Atau sebenarnya perlu segera diubat! Fikir-fikirkanlah…

Hadirin-hadirat yang dimuliakan,

Kesimpulannya, prestasi Malaysia adalah jauh lebih baik jika dilihat dari sudut ekonomi, pendidikan, integrasi kaum dan kemampuan rakyat. Walau bagaimanapun, saya mahu memberikan hujah kontra berkaitan dengan kemerosotan tingkah laku anak-anak muda dan lunturnya tatasusila budaya timur pada hari ini. Dalam pidato saya pada kali ini, suka saya cadangkan supaya kita menetapkan satu matlamat. Kita hidup bermuafakat dalam kepelbagaian budaya masyarakat. Agama perlu disemat. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Gunung sama didaki, lurah sama dituruni bagi memastikan generasi muda pada hari ini akan mampu mentadbir negara pada suatu masa nanti dengan berkreadibiliti dan berintegriti.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

[738 patah kata]




5 comments: