Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil dan seterusnya hadirin sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan sebagai pembuka tirai bicara. Berdirinya saya di pentas ini adalah untuk membicarakan tajuk syarahan “Membudayakan Amalan Membaca.”
Hadirin yang saya muliakan,
Amalan membaca memang telah disedari kepentingannya oleh semua golongan sama ada pemimpin politik, ibu bapa, pendidik, pentadbir dan masyarakat amnya. Membaca adalah suatu kegiatan yang amat penting dalam kehidupan manusia dan boleh membangunkan masyarakat dari segi intelektual serta membentuk pemikiran kreatif dan dinamis. Tidak hairanlah jika ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” sering kali kita gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam mencari ilmu pengetahuan.
Manusia berilmu selalunya dikaitkan dengan insan berbudaya membaca. Minat membaca adalah berkaitan rapat dengan budaya ilmu kerana minat ini merupakan suatu ciri pembangunan budaya dalam masyarakat yang berorientasikan pendidikan dan pembacaan.
Amalan membaca perlu dijadikan suatu budaya dalam masyarakat kita. Budaya ini pula tidak seharusnya terbatas di sekolah, di universiti atau di bandar sahaja tetapi patut dikembangkan dalam kehidupan masyarakat termasuklah masyarakat luar bandar. Hal ini penting agar masyarakat luar bandar yang sering dikaitkan seperti katak di bawah tempurung akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan seterusnya bersama-sama mengejar arus pembangunan.
Tuan-tuan yang saya muliakan,
Seseorang atau sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahan miliknya tanpa budaya ilmu yang baik. Malah dia akan bergantung kepada orang atau bangsa lain yang berilmu. Buktinya, kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah terdiri daripada masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan kejahilan.
Akhir kata, ingin saya tegaskan bahawa kehidupan yang lebih sempurna akan dapat dibentuk sekiranya masyarakat kita membudayakan amalan membaca. Amalan ini secara langsung akan melahirkan masyarakat berilmu dan bertamadun tinggi.
Sekian, terima kasih.
[329 Patah Kata]
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete