Tuesday, July 30, 2013

AMALAN MEMBACA BERMULA DARI RUMAH


Dalam era ledakan informasi ini, masyarakat Malaysia seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebagai modal bagi mengharungi cabaran sarwajagat.   Dalam dunia kompetitif ini, generasi muda harus berusaha untuk meningkatkan diri mereka dari segi ilmu pengetahuan bagi meraih kejayaan.  Sebagaimana yang kita ketahui, terdapat hadis Rasulullah S.A.W yang berbunyi, tuntutlah ilmu hingga ke negeri  China. Hadis ini menerangkan betapa pentingnya menuntut ilmu pengetahuan. Sesungguhnya, ilmu itu pelita hidup. Tanpa ilmu di dada, kehidupan seseorang itu akan terumbang-ambing bagai layang-layang terputus talinya. Oleh itu, salah satu cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan adalah melalui amalan membaca. Hal ini demikian kerana, membaca merupakan jambatan ilmu. Menyedari hakikat ini, setiap individu perlu sedar bahawa membaca merupakan kunci kejayaan. Umum mengetahui bahawa, amalan membaca seharusnya dijadikan sebagai satu kebiasaan atau rutin untuk dilakukan. Namun hakikatnya, amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia semakin luntur dan seakan-akan tenggelam dalam arus pembangunan. Mampukah seseorang itu berjaya tanpa mempunyai tabiat membaca? Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab menyemai budaya membaca dalam diri anak-anak muda? Oleh hal yang demikian, langkah-langkah yang efektif bagi memupuk amalan membaca yang mewarnai fokus perbincangan bakal dikupas dengan lebih terperinci demi kepentingan bersama.


Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sebuah keluarga merupakan asas kepada sesebuah masyarakat. Jadi, ibu bapa merupakan aset signifikan dalam memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak. Hal ini adalah kerana, sebahagian besar peratusan pembentukan diri anak-anak bermula dari rumah. Dalam hal ini, ibu bapa merupakan insan yang paling akrab dan dekat dengan anak-anak. Semasa mereka kecil, ibu bapa perlu menerapkan budaya membaca dalam jiwa mereka kerana pada masa ini mereka lebih mudah dibentuk dan dibimbing. Pepatah Melayu yang mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya amat sesuai sekali ditujukan kepada ibu bapa. Sebenarnya, pelbagai inisiatif boleh digunakan oleh ibu bapa untuk menyemai amalan membaca dalam diri anak-anak. Seharusnya, para ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa ibarat cermin kepada anak-anak jadi, setiap tingkah laku dan perbuatan ibu bapa akan diikuti oleh anak-anak. Sesuatu kebaikan tidak hanya perlu disuruh dengan kata-kata sebaliknya, perlu dibuktikan dengan perbuatan. Lantaran itu, ibu bapa wajar mempamerkan sikap yang positif agar dapat dicontohi oleh anak-anak. Biar kita ambil contoh, sekiranya ibu bapa membaca, anak-anak juga akan terdorong untuk membaca. Situasi ini bertepatan sekali dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sehubungan dengan itu, anak-anak akan lebih berinspirasi jikalau hadirnya ibu bapa mereka di samping mereka untuk membaca buku bersama-sama. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa menjadi idola terbaik dalam menerapkan nilai positif dalam diri anak-anak terutama amalan membaca.

Bukan itu sahaja, budaya membaca juga wajar diterapkan oleh ibu bapa dengan menyediakan sudut bacaan di rumah. Misalnya, usaha mewujudkan perpustakaan mini di rumah merupakan satu contoh yang terbaik untuk menyemai  tabiat membaca pada peringkat awal.  Sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan satu bilik khas, satu sudut bacaan di dalam bilik anak-anak juga sudah memadai sebagai tempat untuk mereka menbaca.  Namun, suasana bilik bacaan atau sudut bacaan ini mestilah kreatif, menarik dan selesa bagi mengukir minat mereka membaca. Suasana bilik mahupun sudut bacaan yang kondusif mampu merangsang minat anak-anak untuk membaca ketika berada di rumah. Selain itu, sudut ini juga perlu dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis buku sama ada ilmiah, cerita mahupun ensiklopedia yang menarik. Apabila terdapat bahan bacaan yang banyak di rumah, secara tidak langsung boleh membantu memperkaya kosa kata anak-anak di samping membantu meningkatkan proses kemantangan mereka. Bertitik tolak daripada itu, amalan membaca akan menjadi hobi anak-anak pada waktu senggang. Lantas, masa yang terluang dapat diisi dan dimanfaatkan dengan aktiviti yang berfaedah serta tidak membazir masa persis peribahasa masa itu emas. Lama-kelamaan, minat membaca dalam diri mereka akan meningkat kerana mereka berasa seronok dan bersemangat untuk membaca buku. Memang benarlah bahawa ibu bapa bertanggungjawab dalam memainkan peranan supaya anak-anak membesar dalam suasana dan budaya membaca sejak kecil.


Selain menyediakan sudut bacaan, ibu bapa perlu juga menggunakan pendekatan yang bijak iaitu memikirkan cara untuk menarik minat anak-anak mereka terhadap amalan membaca. Antara inisiatif yang dapat dilakukan ialah ibu bapa boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak untuk menyemarakkan budaya ilmu dalam diri mereka. Sebagai analoginya, ibu bapa boleh membeli buku sebagai hadiah untuk anak-anak sempena kejayaan mereka dalam akedemik mahupun sempena hari lahir mereka. Bagi anak-anak yang memperoleh keputusan yang cemerlang, kejayaan mereka merupakan buah tangan yang amat bermakna bagi ibu bapa. Oleh hal yang demikian, ibu bapa wajar memberikan ganjaran sebagai simbol penghargaan terhadap usaha mereka selama ini. Perkara ini tentu sekali membuatkan anak-anak gembira dan rasa disayangi oleh ibu bapa mereka. Apabila anak-anak rasa dihargai, mereka tetap akan cuba membaca buku tersebut meskipun buku itu tidak menarik. Tanpa disedari, dengan berbuat sedemikian, ibu bapa dapat memancing minat anak-anak untuk membaca sedikit demi sedikit. Namun begitu, bagi menarik minat anak-anak membaca, buku yang dihadiahkan mestilah menarik dan bersesuaian mengikut usia mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahkan buku cerita, buku ilmiah ataupun buku rujukan yang berkualiti untuk membantu anak-anak dalam pelajaran. Hal ini pasti akan membakar semangat mereka untuk membaca buku hasil daripada pemberian ibu bapa mereka. Natijahnya, hasil suntikan semangat melalui pemberian buku tersebut, minat untuk membaca dapat dipasakkan dalam jiwa anak-anak.

Di samping menghadiahkan buku, minat membaca dalam diri anak-anak dapat disuburkan dengan membawa mereka ke perpustakaan awam. Sebagaimana yang kita ketahui, perpustakaan merupakan gerbang ilmu pengetahuan. Dengan ini, anak-anak dapat didedahkan dengan pelbagai jenis bahan bacaaan di perpustakaan berbanding di rumah. Oleh sebab di perpustakaan terdapat banyak buku, anak-anak mempunyai pelbagai pilihan untuk membaca buku yang digemari. Sekiranya mereka berkunjung ke perpustakaan, mereka dapat menghilangkan rasa bosan apabila hanya membaca buku di rumah. Sekali sekala tidak salah ibu bapa bertukar angin dan membawa  anak-anak melayari bahtera ilmu di perpustakaan. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke perpustakaan awam semasa cuti sekolah atau pada cuti hujung minggu. Jika waktu peperiksaan hampir tiba, anak-anak boleh meluangkan masa di perpustakaan bagi mendapatkan pelbagai buku rujukan di samping dapat menelaah pelajaran dengan tenang tanpa gangguan. Selain dapat meningkatkan pengetahuan anak-anak, ibu bapa turut dapat meluangkan masa bersama dengan mereka. Sesungguhnya, selangkah ke perpustakaan, sejuta ilmu pengetahuan bakal diperoleh. Tegasnya, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa dengan membawa anak-anak ke perpustakaan awam, amalan membaca dapat dipupuk dan disemai dalam hati sanubari mereka.


Umum mengetahui bahawa pada setiap tahun, pihak kerajaan pasti akan mengadakan pameran mahupun pesta buku secara besar-besaran. Pameran yang julung-julung kali diadakan seumpama ini dapat mempromosikan tabiat membaca kepada anak-anak. Hal ini disebabkan anak-anak lebih gemar menghadiri pesta buku kerana disitu terdapat pelbagai jenis buku daripada pelbagai genre.  Misalnya, Putra World Trade Centre atau dikenali sebagai PWTC yang berpusat di Kuala Lumpur sering dipilih sebagai lokasi untuk mengadakan festival buku pada setiap tahun.   Sehubungan dengan itu, para ibu bapa seharusnya, tidak melepaskan peluang keemasan yang  terbentang di hadapan mata untuk membawa anak-anak mengunjungi pameran buku tersebut. Hal ini demikian kerana, di sini, pelbagai buku boleh didapati dengan potongan harga yang istimewa.  Jadi, pengunjung-pengunjung yang datang bakal memperoleh diskaun bagi setiap buku yang dibeli di situ. Situasi ini pastinya membuat anak-anak rambang mata kerana terdapat pelbagai pilihan buku-buku dan boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di toko-toko buku yang lain. Memang benarlah bahawa ibu bapa mampu menyemarakkan budaya membaca dalam diri anak-anak dengan membawa mereka ke pesta mahupun pameran buku.

Sebagai menggulung segala yang diperkatakan di atas, ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar bagi menanam tabiat membaca dalam jiwa anak-anak. Oleh itu, pendedahan tentang faedah dan peri pentingnya amalan membaca kepada anak-anak merupakan antara ramuan untuk membentuk budaya mencintai ilmu.  Seharusnya, setiap individu perlu sedar bahawa ilmu pengetahuan merupakan kayu ukur kemajuan dalam sesebuah negara. Membaca perlu dijadikan prioriti negara demi menjana masyarakat yang kaya ilmu dan berdaya fikir.  Pada masa yang sama, peranan segenap lapisan masyarakat tidak boleh disisihkan dalam usaha membentuk acuan generasi baru yang memiliki modal intelek dan daya saing yang tinggi. Sekiranya masyarakat Malaysia rajin membaca, tidak hairanlah pada suatu hari nanti, impian Malaysia untuk melahirkan rakyat yang arif lagi budiman akan menjadi realiti.  Secara tidak langsung, amalan membaca dapat mencelikkan minda masyarakat Malaysia supaya tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan. Intihanya, amalan membaca perlu disematkan di dalam hati sanubari setiap individu untuk menjana kemajuan meningkatkan kualiti hidup. Mudah-mudahan, agenda kerajaan bagi melahirkan rakyat yang maju dan saintifik dapat direalisasikan dan bukan sekadar omong-omong kosong.
[1351 patah perkataan]

NUR HIDAYAH BINTI MAIL 
5BERLIAN – SMKIE (2013)

7 comments:

  1. assalamualaikum cikgu . maaf ya cikgu .hadis : "menuntut ilmu ke negeri china" ialah salah satu hadis palsu . sekadar untuk makluman cikgu :)

    ReplyDelete
  2. opppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppp

    ReplyDelete
  3. terima kasih banyak cikgu...idea idea di dalam karangan cikgu melengkapkan resipi kejayaan saya dalam karangan ..in sha allah... doakan saya berjaya dalam pT3 ...terima kasih cikgu!:]

    ReplyDelete