Friday, July 26, 2013

SOALAN GERAK GEMPUR OPS 93 JPNJ

PERANAN SAYA DALAM MEMANFAATKAN FAEDAH LAMAN SOSIAL.              


                  Pada era perindustrian yang serba mencabar akal dan minda kita, isu berkaitan laman sosial sering dipolemikkan di warung-warung kopi mahupun di parlimen. Laman sosial menjadi wahana penting dalam kehidupan seharian mereka memandangkan masyarakat yang tua mahupun yang muda tertarik dengan laman sesawang ini.  Perumpamaan hubungan manusia dengan laman sosial bagaikan lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan.  Begitulah sebahagian lirik lagu yang pernah dipopularkan oleh  P. Ramlee suatu ketika dahulu.  Tambahan pula, dalam dunia yang dilingkari sains dan teknologi, laman sosial makin menjadi kegilaan masyarakat kini terutamanya remaja sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer semata-mata untuk melayari laman sosial. Antara laman sosial yang sering menjadi pilihan pengguna di internet ialah ’Facebook’ , ’Wechat’ , ’Line’ , ’Instagram’ dan sebagainya. Manakala laman sosial ’Facebook’ merupakan laman sosial yang mendapat tempat di hati masyarakat kini. Statistik yang sahih menunjukkan bahawa terdapat 1.5 juta orang yang melayari ’Facebook’ dalam sehari. Oleh hal yang demikian, peranan saya dalam memastikan laman sosial memberikan pelbagai faedah kepada saya yang menjadi fokus perbincangan saya pada hari ini akan dihuraikan dan dikupaskan secara terperinci demi kebaikan kita bersama.

                   Sebagai pembuka mukadimah pembicara, saya ingin melontarkan peranan saya dalam memastikan laman sosial tersebut memberikan pelbagai faedah kepada saya. Namun begitu, apakah yang hendak saya lakukan untuk memastikan saya memperoleh kebaikan bukannya keburukan semasa melayari laman sosial?  Dalam meninjau ranjau dunia yang serba rencam ini, pelbagai jenayah sosial telah meningkat dari hari ke hari akibat ketiadaan kawalan di laman sosial di samping dek iman yang tidak mantap. Oleh hal yang demikian, saya memanfaatkan laman sosial ini dengan mencari bahan-bahan bacaan yang saya perlukan sahaja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa laman sosial merupakan sumber hebahan yang terkini dan tercepat.  Melalui laman sosial, saya dapat mengetahui perkembangan dari luar negara dan perkembangan isu-isu mutakhir yang menjadi tajuk utama akhbar harian di negara kita, Malaysia. Tidaklah saya menjadi seperti katak di bawah tempurung. Laman sosial merupakan wadah yang terpenting untuk mendedahkan kita dengan isu-isu semasa termasuklah isu politik, sosial dan ekonomi. Sebagai pelajar yang dahaga akan ilmu pengetahuan dan pelajar yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya dapat menambah ilmu pengetahuan saya melalui penggunaan laman sosial. Sebagai analoginya, saya dapat mengakses sumber bacaan daripada laman sosial. Selain itu, saya tidak perlu ke perpustakaan untuk mencari maklumat. Bahan bacaan di laman sosial merangkumi ilmu pengetahuan yang tidak dapat dicari di dalam sillibus sekolah. Oleh hal yang demikian, laman sosial merupakan saluran utama saya memperoleh ilmu pengetahuan di luar bilik darjah dalam menjalani kehidupan saya sebagai seorang yang dahagakan ilmu pengetahuan. 

                   Pada realitinya, laman sosial merupakan platform penting dalam kehidupan seharian kita memandangkan laman sosial memberikan kesan yang mendalam dan mempengaruhi corak kehidupan kita.  Melalui laman sosial, saya dapat berkenalan dengan kawan-kawan di alam maya tanpa dibatasi oleh  sempadan negara, agama, dan bangsa. Saya dapat memahami dan mengetahui budaya masyarakat luar dengan hanya satu klik sahaja. Rentetan daripada situasi tersebut, semangat perpaduan dan semangat cinta akan negara dapat disuntik dalam diri saya. Persefahaman antara kaum juga dapat dipupuk dalam diri kita.  Melalui penggunaan laman sosial, saya dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman saya dengan rakan tersebut.  Contoh yang paling dekat ialah saya dapat memuatkan foto-foto apabila menghadiri sesuatu majlis yang melibatkan pelbagai kaum. Dengan ini, rakan saya dapat memahami budaya di negara saya.  Adat istiadat dan pantang larang ini masih diamalkan oleh semua lapisan masyarakat seperti orang Melayu, Cina dan India, bak mutiara kata tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Bagi mereka, biar mati anak, jangan mati adat.  Orang Melayu terkenal dengan baju kurung, manakala orang Cina dan orang India termashyur dengan Ceongsam dan Sari. Namun begitu, kita hendaklah berhati-hati semasa berkenalan. Hal ini demikian kerana kita mungkin akan tertipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan butir-butir peribadi sendiri dan kata laluan. Sebagai contoh, saya tidak bersua muka dengan kenalan di alam maya untuk menjaga keselamatan sendiri. Terdapat segelintir masyarakat terutamanya remaja perempuan berjanji dengan kenalan di internet untuk berjumpa di sesuatu tempat. Hal ini memberikan peluang keemasan kepada penjenayah untuk melakukan gejala sosial seperti rogol.

                   Semakin menjelang ambang 2020, titik permulaan ini menandakan permulaan untuk kesusahan dan cabaran yang bakal menghambat kehidupan manusia. Semua lapisan masyarakat terutama golongan remaja  tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti kemajuan sains dan teknologi yang terkini. Namun begitu, kita seharusnya memanfaatkan laman sosial. Bertitik tolak daripada itu, saya perlu menjadi model dengan memanfaatkan laman sosial. Laman sosial merupakan medan dan ruang untuk saya berhubung dengan rakan sekelas dan saudara mara agar hubungan silaturahim dapat dieratkan bagai isi dengan kuku. Laman sosial membolehkan saya dan rakan sekelas mahupun saudara mara menjalinkan hubungan semula yang telah terputus. Saya dapat mengetahui perkembangan terbaru tentang kawan saya melalui laman sosial. Saya dapat mengimbas kembali peristiwa pahit, manis, masin dan tawar yang pernah saya lalui bersama dengan rakan saya dan saudara mara. Sebagai contoh, saya boleh menggunakan ’skype’ untuk berhubung dengan saudara mara yang tinggal berjauhan. Seterusnya, saya dapat bertanya khabar dan bersembang dengan mereka. Namun, di sebalik keghairahan mengaplikasikan kelebihan yang ada pada ruang maya ini, laman sosial juga mengandungi budaya kuning dari barat yang bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran budaya masyarakat kita. Oleh hal yang demikian, saya akan memastikan diri agar tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di laman sosial dengan berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan budaya timur yang disanjung tinggi ini. Bahan-bahan tersebut boleh diakseskan oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang halangan jika tiada iman di dada. Jika perkara ini dibiarkan, gejala sosial seperti gengterisme dan hedonisme akan menular dalam pemikiran remaja.  Perkara inilah yang akan saya cuba elak sejauh-jauhnya.

                   Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, kita seharusnya memanfaatkan penggunaan laman sosial agar tidak terpengaruh oleh unsur-unsur negatif yang bertentangan dengan agama dan budaya timur  masyarakat Malaysia. Oleh itu,  kita perlulah bertindak secara rasional dan matang tanpa mudah mengikut rentak kemajuan ICT yang begitu kuat mengoda jiwa insani yang leka.  Kita seharusnya menyeimbangkan masa dalam melayari laman sosial supaya tidak mudah alpa dengan keasyikan yang ada pada laman sosial. Kita seharusnya pandai menguruskan masa dan tidak terpedaya dengan kata-kata manis kenalan baru supaya tidak mudah dieksplotasikan untuk kepentingan diri mereka. Laman sosial akan terus menjadi populariti masyarakat kini. Kita tidak boleh mengekang kemajuan ICT yang kian menular di seluruh dunia, tetapi dengan menggunakan minda yang dianugerahi Tuhan ini, kita mampu melakukan anjakan paradigma untuk  memastikan kebaikan sentiasa menyebelahi kita. Lantaran itu, amalan penggunaan laman sosial ke arah kebaikan perlu disuntikkan dalam sanubari  setiap rakyat di Malaysia. Marilah kita bekerjasama memanfaatkan laman sosial ini, umpama aur dengan tebing  dan ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 dalam melahirkan masyarakat yang peka dan celik ICT.
[1 094 patah perkataan]

Hasil nukilan,
Foo Suh Juan,
5 Berlian (2013), SMKIE


No comments:

Post a Comment