PERANAN PIBG MEMBANTU MENINGKATKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK, SAHSIAH DAN KOKURIKULUM MURID-MURID DI SEKOLAH.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan elemen penting dalam sesebuah institusi pendidikan. Hubungan yang erat antara ibu bapa dan guru berupaya meningkatkan kecemerlangan murid dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum. Sering kali kita lihat di dada-dada akhbar bahkan sudah lali di telinga tentang isu ibu bapa menyerang guru dipolemikkan dan menjadi tajuk utama dalam akhbar harian. Pihak sekolah pula mempertikaikan tindakan ibu bapa yang menuduh pihak sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu punca anak mereka didenda ataupun dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak sekolah. Fenomena ini tidak seharusnya terjadi jika wujudnya persefahaman dan kejelekitan hubungan antara PIBG dengan pihak sekolah. Persoalannya kini, apakah prakarsa atau kerjasama yang dapat dijalinkan bagi mencapai kata sepakat sejajar dengan mutiara kata, Bersekutu membawa mutu? Oleh itu, segala elemen penting untuk meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum murid akan dikupas dengan lebih terperinci lagi untuk kepentingan semua pihak.
Sebagai lanjutan huraian di atas, perkara dominan yang harus dititikberatkan ialah kerjasama ibu bapa dan guru dalam bidang akademik. Sebagai contohnya, guru boleh memaklumkan tahap progresif akademik murid kepada ibu bapa mereka pada setiap akhir peperiksaan. Apabila ibu bapa sudah tahu tahap pencapaian akademik anak-anak mereka, melalui perbincangan dalam mesyuarat PIBG, pelbagai insiatif boleh diambil bagi menangani masalah pencapaian akademik anak-anak mereka. PIBG boleh memberikan saranan bagi menambahbaikkan program kecemerlangan yang telah dirancang oleh pihak sekolah. Melalui perbincangan profesionalisme inilah akan lahirnya pelbagai program kecemerlangan seperti Program Menuju Puncak, Program Jejak Gemilang dengan menjemput penceramah yang mahir dan berpengalaman dalam mata-mata pelajaran tertentu. Keprihatinan dan kebertanggungjawaban inilah akan dapat melonjakkan GPS sekolah seterusnya kegemilangan dalam pencapaian akademik akan terserlah. Seterusnya, masa depan negara yang bakal diterajui oleh belia-belia negara sudah pasti bukan lagi menjadi impian semata-mata. Jelaslah bahawa peranan PIBG dalam membantu meningkatkan kecemerlangan akademik murid tidak perlu lagi dipertikaikan terutamanya sumbangan dalam bentuk saranan idea yang bernas mahupun dana kewangan.
Lontaran idea yang seterusnya, kepentingan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam mendidik sahsiah anak nusa bangsa. Pada realitinya, guru merupakan mata dan telinga ibu bapa di sekolah. Hal ini kerana rata-rata murid menghabiskan satu per tiga masanya di sekolah termasuklah kelas tambahan, aktiviti sukan dan sebagainya. Biar kita ambil contoh yang paling dekat dengan kita, murid yang bermasalah dari segi sahsiahnya lazimnya akan dipanggil oleh guru disiplin. Obligasi guru pula adalah dengan memaklumkan tingkah laku anak mereka di sekolah. Melalui Mesyuarat Agung PIBG, segala permasalahan disiplin murid yang menjadi agenda perbincangan turut dibahaskan dengan pelbagai usul dikemukakan oleh ibu bapa. Pada masa yang sama, PIBG tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab membentuk keperibadian yang syumul anak-anak mereka kepada pihak sekolah sahaja. Sebagai contohnya, pada Hari Terbuka ibu bapa seharusnya mengambil peluang keemasan ini untuk bertemu dan berbincang dengan guru bagi mengetahui perkembangan semasa anak mereka di sekolah lebih-lebih lagi tentang masalah disiplin anak mereka. Persis mutiara kata yang mengatakan bahawa kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Peribahasa tersebut menjelaskan bahawa setiap perbuatan itu ada sebab dan musababnya. Ibu bapa seharusnya mendidik anak mereka sejak usia mereka setahun jagung, darah setampuk pinang lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Izharlah bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kecemerlangan sahsiah murid.
Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam memantapkan kokurikulum tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti di luar bilik darjah yang amat digalakkan untuk penyertaan semua pelajar. Selain menyahut seruan kerajaan 1Murid 1Sukan, kegiatan kokurikulum juga akan mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda murid-murid di sekolah. Sebagai analoginya, PIBG boleh memberikan komitmen yang padu dalam penganjuran Hari Sukan Tahunan dengan menjemput semua ibu bapa hadir untuk memberikan sokongan dan memeriahkan Hari Kejohanan Sukan tersebut. Galakan yang diberikan secara tidak langsung akan meningkatkan semangat kesukanan murid. Hal ini demikian kerana dengan adanya ibu bapa tersayang memberikan semangat, pelajar akan terdorong dan lebih teruja untuk memenangi sesuatu acara sukan tersebut. Guru-guru pula dapat berkenalan dengan ibu bapa pelajar sekali gus membincangkan potensi-potensi yang dapat dicungkil daripada anak mereka. Rentetan daripada itu, bidang kokurikulum dapat ditingkatkan ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Seharusnya kita lebih mengerti pengaruh PIBG dalam menjayakan aktiviti kokurikulum ini melalui komitmen, sokongan padu dan galakan ibu bapa terhadap penyertaan anak-anak mereka dalam kegiatan kokurikulum ini. Tambahan pula, pencapaian kokurikulum turut diambil kira dalam prasyarat kemasukan ke IPTA. Jadi, ibu bapa dan gurulah yang perlu mencorakkan hala tuju mereka ke arah yang lebih baik. Tuntasnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru amatlah penting dalam meningkatkan kecemerlangan kokurikulum sekali gus meniupkan harapan senada dalam memenuhi aspirasi negara seiring dengan slogan ‘Majulah sukan untuk negara’.
Sudah terang lagikan bersuluh, Persatuan Ibu Bapa dan Guru berupaya membantu dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum. Usahlah kita memandang enteng dengan potensi yang ada dalam wira bangsa anak-anak kita dengan mengagung-agungkan masyarakat luar umpama anak di pangkuan diletakkan, kera di hutan disusui. Oleh hal yang demikian, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru wajarlah mengambil langkah dan prakarsa yang konkrit, sistematik dan pragmatik bak peribahasa sediakan payung sebelum hujan, sebelum nasi menjadi bubur. Sesungguhnya dengan berkat semua pihak yang saling berganding bahu bagai aur dengan tebing, bergerak seia sekata, kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum dapat direalisasikan demi menyahut Wawasan 2020 yang bakal menjelang tiba sekali gus melahirkan rakyat yang sihat sejahtera serta berketerampilan dalam segala bidang.
[861 patah perkataan]
Sumbangan daripada,
Putri Aliah – 5 Berlian 2013/SMKIE.
No comments:
Post a Comment