Monday, July 29, 2013

GERAK GEMPUR OPS 93 (2013) - JPNJ / BAHAGIAN B : SOALAN 4

Warisan budaya bangsa sesebuah negara wajar diketengahkan sebagai tarikan pelancong dari luar negara.
Kemukakan saranan anda tentang usaha-usaha yang harus dilakukan oleh negara tersebut.


        Setiap negara mempunyai keunikan warisan budaya bangsanya yang tersendiri. Warisan budaya bangsa merupakan adat dan cara hidup sesebuah kaum atau bangsa yang diamalkan sejak turun-temurun. Adat dan budaya ini selalunya diajar oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi untuk membiasakan anak-anak itu dengan budaya bangsa mereka. Warisan budaya bangsa mestilah dipertahankan dan diamalkan serta perlulah diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain agar khazanah itu tidak pupus ditelan zaman. Adat istiadat sesebuah bangsa itu perlulah dilaksanakan dengan meriah agar generasi muda pada zaman ini dapat mengetahui budaya kaum masing-masing seperti perayaan. Oleh hal yang demikian, warisan budaya bangsa perlulah dijaga dengan baik untuk menyumbang kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, keunikan dan keharmonian budaya dan adat masyarakat Malaysia boleh dijadikan aset penarik pelancong dari luar negara untuk melawat negara kita yang mempunyai kepelbagaian  adat dan kebudayaan ini. Pihak kerajaan perlulah mengatur strategi yang mantap dalam mengeksploitasikan warna-warni citra kebudayaan masyarakat dan adat negara sebagai alat tarikan pelancong sekali gus meningkatkan sektor pelancongan negara.

  Antara usaha yang boleh dilaksanakan adalah dengan mempromosikan negara di media massa kerana langkah ini merupakan cara terpantas dan mudah untuk berhubung dengan negara luar.  Kementerian Pelancongan Malaysia hendaklah mengemukakan idea-idea yang bernas bagi mempromosikan warisan budaya negara agar dapat menarik minat pelancong asing untuk melawat negara kita. Sebagai contoh, Malaysia telah lama melancarkan kempen Cuti-Cuti Malaysia untuk membantu meningkatkan pendapatan negara dari sektor pelancongan. Iklan mengenai keunikan budaya dan adat masyarakat setempat perlulah disiarkan di saluran televisyen antarabangsa dalam usaha mempromosikan negara.  Contoh yang boleh diambil ialah perkahwinan anak perempuan Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Chef Wan Ismail yang penuh dengan adat istiadat perkahwinan kaum Melayu ditayangkan oleh TV Astro saluran Asean sedikit masa dahulu.  Masyarakat berbilang kaum yang hidup dengan aman dan harmoni di bawah satu bumbung yang sama, penuh dengan pelbagai adat dan kebudayaan yang bervariasi juga perlu ditonjolkan untuk melambangkan perpaduan rakyat yang jitu.  Selain televisyen, internet juga merupakan antara kaedah terpenting dalam mempromosikan negara untuk menarik minat pelancong kerana kita boleh berhubung dengan masyarakat di seluruh dunia melalui internet.

    Selain itu, pihak kerajaan mahupun swasta hendaklah memperbanyak program ‘homestay’ di negara kita.  Apabila pelancong asing tinggal di ‘homestay’ tempatan, mereka akan mempelajari adat dan budaya tradisional  amalan masyarakat setempat yang sememangnya unik dan menarik. ‘Homestay’ yang selalunya dilaksanakan di kawasan perkampungan dapat membantu mengetengahkan budaya bangsa masyarakat tersebut kerana kebanyakan mereka yang menetap di kawasan perkampungan masih mengamalkan budaya dan adat yang diturunkan dari nenek moyang mereka, tidak seperti kebanyakan penduduk bandar yang sering kali terpengaruh dengan budaya Barat yang  tidak sesuai dengan etika budaya Timur. Tuan rumah kepada ‘homestay’ tersebut boleh mendedahkan kepada para pelancong mengenai cara hidup, cara makan dan cara mereka berkomunikasi antara satu sama lain.  Perkara seperti ini akan menarik minat pelancong asing untuk mendalami setiap adat yang diamalkan dan dipraktikkan oleh mereka dalam aktiviti seharian mahupun perayaan sesuatu kaum. Para pelancong juga boleh diajar untuk memasak makanan tradisional masyarakat setempat agar mereka lebih tertarik dengan menu harian negara itu.

  Seterusnya, kepelbagaian makanan yang memenuhi pelbagai selera daripada masyarakat yang berbilang kaum hendaklah dijadikan elemen untuk menarik minat pelancong. Makanan tradisional di sesebuah negara itu hendaklah dieksport ke negara luar untuk berkongsi tentang warisan budaya bangsa tempatan.  Santapan tradisional juga perlu dipromosikan dan didemontrasikan ke peringkat antarabangsa agar pelancong asing akan berminat untuk melawat Malaysia. Sebagai contoh, pembuatan perencah rendang atau tempoyak di Malaysia harus dipergiat lagi untuk diperluas ke pasaran global kerana makanan-makanan itu merupakan makanan tradisional di Malaysia dan perlu diketengahkan di mata dunia dalam usaha menarik minat pelancong dari negara luar untuk datang melawat Malaysia. Makanan tradisional di Malaysia telah menjadi tarikan ramai pelancong sejak dulu lagi kerana variasinya daripada manis hinggalah pedas disebabkan wujudnya masyarakat berbilang kaum yang mempunyai budaya makanan dan warisan masakan yang berbeza antara satu sama lain dan mempunyai keunikan yang tersendiri.

    Di samping itu, industri seni tradisional di sesebuah negara itu mestilah ditekankan lagi dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan. Produk seni halus tradisional hendaklah diiklankan serta dipasarkan ke peringkat antarabangsa.  Seni tradisional yang berbentuk persembahan pula perlu sering kali diadakan untuk menunjukkan keunikan dan tarikan sesebuah bangsa tersebut. Persembahan oleh penari-penari atau pelakon tempatan hendaklah dipromosikan ke luar negara untuk menarik minat pelancong asing melawat Malaysia. Sebagai contoh, persembahan tarian zapin ataupun wayang kulit hendaklah diadakan di luar negara sebagai wahana untuk menarik minat pelancong dari luar negara dengan kelainan budaya di Malaysia justeru dapat meletakkan industri seni tradisional ke mata dunia. Kain-kain batik serta songket yang ditenun halus oleh masyarakat Malaysia yang sangat berbakat hendaklah dieksport sehingga ke peringkat antarabangsa agar penduduk asing berminat dengan produk buatan Malaysia seterusnya ingin melawat sendiri negara Malaysia yang indah ini.   Oleh hal yang demikian, industri seni tradisional di sesebuah negara itu harus ditingkatkan dalam usaha menarik minat pelancong dari luar negara.

  Konklusinya, warisan budaya bangsa di sesebuah negara itu penting dalam usaha memajukan sektor pelancongan. Setiap individu seharusnya menghargai dan mempertahankan serta mengamalkan budaya dan adat kaumnya sendiri agar warisan itu akan terus kekal selamanya bak peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek pasan.  Pihak kerajaan seharusnya memanfaatkan warisan budaya bangsa yang berwarna-warni dan sememangnya mampu memikat hati para pelancong untuk meningkatkan pendapatan negara seterusnya menaikkan taraf hidup rakyat agar mereka dapat lebih menyumbang tenaga dan masa untuk membantu memajukan nusa yang tercinta justeru merealisasikan gagasan Wawasan 2020 yang dikemukakan oleh Tun Dr. Mahathir itu. Oleh hal yang demikian, warisan budaya bangsa ternyata merupakan elemen utama dalam usaha menjadi negara maju dan perlu dikekalkan sehingga akhir zaman.
[911 patah perkataan]

Karya;
Mas Dinah Farisah – 5 Berlian 2013


No comments:

Post a Comment