Monday, August 19, 2013

ESEI PENDERMAAN ORGAN 4

PENDERMAAN ORGAN : ANUGERAH KEHIDUPAN


Oleh Foo Suh Ching

Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh pancaroba ini, isu pendermaan organ sering kali dipolemikkan sama ada di warung-warung kopi mahupun dibahaskan di parlimen. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, berjuta-juta orang yang memerlukan oran atau tisu yang baru untuk meneruskan kehidupan mereka. Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa antara tahun 1997 sehingga September 2005, seramai 90000 penderma organ bersetuju untuk menderma organnnya. Sebenarnya, pendermaan dan pemindahan organ melibatkan pertukaran tisu atau organ yang tidak berfungsi. Organ yang dipindahkan biasanya adalah daripada organ yang disahkan mati secara klinikal atau dalam erti kata yang lain otak sudah tidak berfungsi lagi. Namun demikian, kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ masih pada peringkat yang amat rendah. Hal ini disebabkan dari aspek agama dan kekurangan pengetahuan tentang pendermaan organ dan lain-lain lagi.  Persoalaannya, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menggalakkan pendermaan organ dalam kalangan masyarakat? Oleh hal yang demikian, isu pendermaan organ yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas secara terperinci untuk kepentingan semua pihak.

Pada realitinya memang tidak dapat dinafikan bahawa pendermaan organ merupakan satu amalan yang mulia. Namun demikian, kejahilan dan kurang kefahaman tentang pendermaan organ merupakan faktor utama yang menyebabkan kesedaran yang begitu rendah dalam kalangan masyarakat kini. Orang ramai tidak mengetahui faedah pendermaan organ. Sebaliknya, mereka hanya mengambil berat tentang kesan buruk yang akan berlaku bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing walaupun permindahan organ hanya akan dijalankan selepas seseorang itu disahkan meninggal dunia. Dalam hal ini, kerjasama antara pihak kerajaan dengan media massa seperti surat khabar, radio dan televisyen amat diperlukan dengan komitmen yang padu dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Media massa yang berperanan sebagai penyebar maklumat kepada semua lapisan perlu menyiarkan rancangan dan program dari semasa ke semasa bagi menggalakkan orang ramai mendermakan organ. Biar kita ambil contoh, temu bual dengan pesakit yang memerlukan organ boleh disiarkan secara menerus. Selain itu, media cetak dan media elektonik haruslah mengekhaskan satu program untuk menyiarkan semua maklumat dan berita tentang pendermaan organ. Usaha yang berterusan dan menepati sasaran pasti akan membuahkan hasil. Jelasnya, rancangan dan program yang giat pasti dapat meningkatkan kesedaran orang ramai. 

Sebagai kesinambungan idea saya, terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa pendermaan organ menyalahi dari segi hukum agama. Bertitik tolak daripada itu, badan-badan agama boleh memainkan peranan mereka dengan memberikan penjelasan mengikut agama masing-masing. Dari perspektif keagamaan, pendermaan organ boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan oleh agama Islam kerana pendermaan organ melibatkan anugerah nyawa kurniaan Allah dan merupakan satu sifat yang mulia. Dengan perkataan lain, badan-badan agama seharusnya membantu pihak berkenaan dengan menggalakkan penganut-penganutnya mendaftarkan diri sebagai penderma. Semua penganut agama harus diterangkan kemuliaan menawarkan diri sebagai penderma. Hal ini boleh ditegaskan bahawa pendermaan organ adalah satu tanggungjawab memandangkan setiap agama menyeru penganut agar menderma organ. Natijahnya, pendidikan agama sememangnya boleh memainkan peranan yang sangat berkesan dan efektif dalam meningkatkan kesedaran dalam program pendermaan organ. 

Lanjutan daripada huraian yang telah diperkatakan di atas, keluarga adalah dunia kecil yang harmoni dapat membentuk ahli masyarakat bahkan ‘Rumah Syurga‘ merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan anak-anak. ibu bapalah memainkan peranan vital dalam memupuk kesedaran terhadap peri penting pendermaan organ dalam diri anak-anak. Hal ini demikian kerana sebahagian besar peratusan pembentukan diri anak-anak bermula daripada rumah. Pepatah Melayu yang mengatakan meletur buluh biarlah dari rebungnya amat bersesuaian ditujukkan kepada para ibu bapa. Para ibu bapa sepatutnya menunjukkan perlakuan yang baik dengan mendaftarkan diri sebagai penderma organ. Hal ini kerana tingkah laku ibu bapa akan diciplak habis-habisan oleh anak–anak. Sikap ini samalah seperti kata peribahasa warisan bangsa yang berbunyi bagaimana acuan begitulah kuihnya; manakah tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tambahan pula, ibu bapa juga sepatutnya menyokong anak-anak mereka menderma organ dan bukannya mencari pelbagai helah untuk menghalang mereka. Galakan yang kuat daripada ibu bapa amat diperlukan bagi anak-anak untuk melaksanakan tindakan mulia ini. Dengan memberikan sokongan dan galakan, mereka akan lebih yakin terhadap keputusan untuk menderma organ. Izharlah bahawa tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa benih yang baik apabila jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan jatuh ke bumi menjadi penawar. Demikianlah, betapa besarnya peranan ibu bapa ke arah memupuk kesedaran anak-anak tentang pendermaan organ.

Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya,maka sebagai akhirukalam pelbagai usaha perlu diteruskan dan dipergiatkan untuk menarik minat orang ramai mendaftarkan diri sebagai penderma organ. Rentetan itu, sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tenteng pendermaan organ. Menurut akhbar Kosmos, isteri kepada seorang pegawai polis, Tom Otten berjaya mencari penderma yang sesuai, iaitu Roxanne Boyd Williams, 30, seorang ibu dari Washington. Transplan membolehkan dia hidup seperti biasa dan mempunyai kekuatan untuk menjaga sepasang anak kembar serta seorang bayi berusia tujuh bulan. Seminggu selepas pembedahan bersejarah itu berlangsung, Irene bertemu dengan Roxanne. Sambil memegang tangannya, dia berkata: "Ia (buah pinggang) sememangnya satu hadiah amat besar untuk diberikan kepadanya.” Yang paling nyata, pendermaan organ merupakan anugerah hidup yang tak ternilai. Oleh itu, ayuh rakyat Malaysia! Marilah sama-sama kita mendaftarkan diri sebagai penderma organ demi menyelamatkan nyawa orang lain. Janganlah takut dan beringatlah nyawa orang lain yang memerlukan organ dan tisu untuk hidup lagi penting dari segalanya.

2 comments: